• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

MANFAAT DI SEBALIK UJIAN

Byadmin

Dec 2, 2011

Foto dari inoeinoe.multiply.com

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (al-Ankabut: 2-3)

Inilah dia intisari kehidupan.

Setiap insan, pasti diberikan ujian. Ujian itu, ada masanya bersifat kesenangan dan ada waktunya, ia datang berupa kesakitan dan kesusahan. Kedua-duanya, mempunyai maksud yang sama, mahu menguji parameter iman dan takwa, sejauh mana kuatnya tawakal seorang hamba kepada Tuhan-Nya.

Maka, kala diuji kesenangan, ada manusia merasa amat selesa dengannya. Ini kerana, mereka menganggap kesenangan itu tandanya Allah SWT sayang. Dengan kesenangan itulah, mereka mudah berbuat ibadah. Kecukupan dan kekayaan, menjadikan mereka suka bersedekah. Mereka memberikan contoh, betapa Abdul Rahman bin Auf memanfaatkan kekayaannya demi Islam dan dia mampu berbuat demikian, kerana dia diberikan kekayaan.

Namun, dalam pada itu ada pula orang berkata, kesenangan yang melimpah ruah, bisa pula membuat manusia lupa daratan bahkan jadi serakah. Akhirnya, mereka menjadi manusia yang dimurkai Tuhan. Dalil mereka, ada manusia menjadi derhaka kerana kesenangan melampau, misalnya Qarun. Dalil mereka lagi, ada juga dalam kalangan sahabat merasa susah hati, bila Allah tidak menguji mereka lebih dari tiga hari, contohnya Sayidina Ali. Ini kerana, ujian menjadikan diri mereka lebih dekat dengan Tuhan, lagi dan lagi. Tanpa ujian, seolah-olah diri mereka telah dilupai.

Maka, betulkah demikian?

Adakah kesenangan itu baik, dan adakah kesusahan itu juga baik. Atau kedua-duanya tidak baik. Dalam aspek yang lain, bukankah susah dan senang itu datangnya daripada Allah. Bahkan, dalam konteks yang lebih luas, Allah SWT memang menjadikan keseluruhan hidup manusia ini sebagai suatu medan ujian. Di medan inilah, tempatnya Allah SWT menyediakan undakan demi undakan (anak-anak tangga), bagi menapis siapa yang benar-benar beriman dan siapa yang enggan atau hidupnya sarat kepura-puraan.

Firman Allah SWT: “(Allah) yang menciptakan kematian dan kehidupan (di atas dunia ini), buat menguji siapakah dalam kalangan kamu yang lebih baik amal perbuatannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (al-Mulk: 2)

Hakikatnya, Allah SWT yang Maha Adil sentiasa memberikan manusia pilihan di sebalik ujian yang datang. Mereka boleh menukarnya menjadi peluang, samalah seperti kita menukar kesusahan sebuah peperiksaan menjadi peluang bagi mendapat keputusan cemerlang dan dengannya, melayakkan kita memasuki universiti paling gemilang. Inilah namanya, asalnya sesuatu itu susah, akhirnya kita mendapat tuah. Itulah pun ajaran pakar motivasi. Menukar cabaran menjadi peluang untuk direbuti.

Bandingan Kesusahan

Namun, jika dibandingkan kesusahan kita hari ini, rasanya tidak akan dapat menyamai sekelumit pun kesusahan yang pernah dialami oleh para nabi dan sahabat pendokong perjuangan mereka. Hari ini, kita tidak perlu menahan sakitnya dada menahan sabar dicaci dihina. Kita tidak perlu bersusah payah mengelakkan intaian musuh untuk menadah ilmu di masjid dan surau bersama kekasih Allah. Kita tidak perlu pun mengangkat senjata bagi mempertahankan keselamatan akidah dan Islam, seperti mana sahabat nabi zaman silam berdada dengan musuh di medan berdarah yang rusuh.

Inilah kita, hingga kesenangan akhirnya hampir menjadikan kita terlupa atau lalai segala. Mungkin inilah taktik musuh-musuh Islam, seperti mana madah Snock Hungrodge kala menjulang al-Quran, seraya menyatakan: “Kita mesti menjauhkan umat Islam dari buku ini, jika kita mahu mengalahkan mereka.”

Kekayaan, kemewahan dan kesenangan akhirnya menjadi tuba dan racun yang memabukkan ramai umat Islam, sehingga tenggelam dan arus banjir dunia. Busa-busa keseronokan ini, menjadi umpan para pendengki, sehingga ramai umat Islam larut menjadi daki noda dan dosa duniawi. Lihatlah, betapa ramai umat Islam yang kaya, menjadi boneka dunia. Mereka mempromosikan kehidupan lagha. Rumah ibarat syurga, membazir sekehendak rasa dan lupa kemiskinan umat Islam lain yang masih wujud dan melata di dunia.

Penyambung Bicara

Lebih malang, ada umat Islam yang kaya turut sukarela menjadi penyambung bicara sistem jahiliah. Riba diangkat menjadi medium transaksi, penipuan secara halus berlaku tidak disedari, keuntungan dikaut menekan sekali, hingga si miskin tidak mampu berkutik lagi. Alangkah bahayanya penyakit ini. Tidak peliklah, Rasulullah SAW telah berulang kali menegaskan: “Janganlah kamu saling berdengki, tipu-menipu, benci-membenci, belakang-membelakangi antara satu sama lain. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim, dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan atau kemiskinan), membohongi dan menghinanya. Ketakwaan itu di sini (sambil baginda mnunjukkan jarinya kea rah dadanya sebanyak tiga kali).” (Sebahagian hadis riwayat Muslim)

Maka, akhirnya tidak hairanlah Allah datangkan kepada manusia ujian, buat mengingatkan mereka yang sekian lama dalam kealpaan. Allah datangkan ribut taufan, goncangan bumi, bukit gelongsor, kemarau dan tanah yang merekah, hujan dan banjir meruah melimpah, gempa di lautab dan tsunami yang ganas serta sebagainya lagi, agar manusia sedar kembali kelalaian mereka. Agar kesusahan itu, mampu menarik mereka untuk kembali bersujud kepada Allah yang Maha Esa. Agar manusia sedar, hidup ini, kemudaratan atau kebaikan, semuanya adalah daripada Allah SWT. Dialah Tuhan yang di sisi-Nya tidak akan bergerak hatta sebesar zarah tanpa keizinan-Nya, Dialah juga tempat kita akan kembali nanti, bersama bekalan amal yang dicari selama hayat di dunia ini.

Inilah manfaat di sebalik ujian, bagi menjentik hati manusia, agar kembali merujuk kompas agama untuk kembali mencari-Nya. Firman Allah SWT: “Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melain Dia dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu,” (al-An’am: 17). Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply