• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Manusia akhir zaman di sisi Ramadan

Byadmin

Aug 22, 2009

Salam Ramadan! Adakalanya, saya pelik dengan kelaku sesetengah manusia yang enggan meraikan Ramadan, yang datangnya hanya setahun sekali, dengan sambutan yang paling hangat sepatutnya mereka beri. Ada yang menghadirkan diri untuk berjamaah, alhamdulillah. Namun, masih ramai yang enggan berubah. Rumah Allah dipandang sebelah mata sahaja. Mereka lalu di hadapannya; mereka lintasi jalan di tepinya, tapi mereka langsung tidak berusaha menziarahinya. Bagi mereka, rumah mereka lebih utama di dunia! Adakah mereka lupa: “Hanyasanya, yang layak memakmur / memeriahkan rumah-rumah Allah di muka bumi ini, ialah mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,” (at-Taubah: 18), maka tidakkah mereka teringin dianggap orang yang beriman khasnya di persinggahan Ramadan ini?

Ada pula orang yang datang berjamaah, tetapi enggan memenuhi tuntutan di rumah Allah sebagaimana sepatutnya. Mereka suka datang ke surau atau masjid, bukanlah kerana pada malam Ramadan dianjurkan agar berqiyam; tetapi kerana mereka suka bersembang, bercok-cek dan berlabun hingga tengah malam. Saat manusia lain berdiri menghadapkan diri atas nama Tarawih dan berselawat ke atas nabi, mereka sibuk mengepulkan wasap rokok di serambi surau, bercerita entah apa dan akhirnya, sama-sama pula meneguk kopi dan mengunyah behun goreng apabila moreh disaji. Adakah mereka tidak pernah terjumpa sabda Rasul bahawa: “Sesiapa yang berpuasa dan menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampuni dosanya bagai baharu sahaja dilahirkan?” (Riwayat Ahmad dan Nasaie).

Sesetengahnya pula, bangun dan lari apabila ustaz tampil menyampaikan tazkirah. Ada-ada sahaja kerja yang mahu dilakukan, ke dapurlah, ke bilik airlah, ke tandaslah…kemudian, langsung tak masuk-masuk dah. Golongan ini beranggapan sesi tazkirah di selang waktu antara Tarawih dan Witir tidak penting, atau mungkin merasa ilmu mereka sudah penuh di dada, maka tiada perlunya lagi menadah telinga. Lalu, dengan muka selambanya mereka berlalu tanpa sedar itulah seburuk-buruk laku di atas dunia. Adakah mereka tidak terjumpa Firman Allah SWT: “Dan berilah peringatan (inzar) dengan apa yang diwahyukan itu kepada orang-orang yang takut akan dihimpunkan kepada Tuhannya (pada hari kiamat), sedang bagi mereka tidak ada seorang pelindung dan pemberi syafa’atpun selain daripada Allah, agar mereka bertakwa,” (al-An’am: 51).

Tadarus juga majlis yang sering dikesampingkan. Mereka ini, tidak endah jika tadarus tidak dijalankan. Bahkan, apabila mereka diajak meramaikan tadarus, mereka melayan dengan muka ‘ala…orang lain la…’ Mereka merasakan tadarus ini ada dan tak ada, sama sahaja. Bila ustaz kata, rugi tak ada tadarus…nabi dan Jibrail a.s pun bertadarus, maka jawapan mereka, eh…kami pun tadarus apa, kat rumah la… Adakah mereka tahu makna tadarus? Dengan siapa mereka bertadarus? Siapakah guru atau rakan tadarus yang arif mengenai tajwid yang akan menegur jika mereka tadarus sendiri-sendiri di rumah? Sedangkan sabda Nabi SAW: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya (yang membacanya),” (Riwayat Muslim) dan juga: Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang,” (Muttafaqun ‘Alaih).

Wallahua’lam!

Related Post

Leave a Reply