• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Manusia yang rugi pada Ramadan

Byadmin

Aug 26, 2010

Tidakkah kita merasa pelik, kenapa manusia hanya ghairah pada malam-malam permulaan Ramadan. Surau dan masjid melimpah. Saffnya penuh dengan jemaah. Ada yang terpaksa memasang khemah. Ada yang sejadah melintang di atas jalan. Begitulah hebatnya pada awal Ramadan.

Entah mengapa, manusia itu hanya ghairah pada tahap permulaannya sahaja. Menjelang minggu kedua Ramadan, manusia yang meruah dan melimpah sudah hilang. Jika ada pun, saff di luar masjid dan surau makin lengang. Khemah dan jalan pun sudah lengang. Jemaah masih ramai; namun makin kecil jumlah dan bilangan.

Menjelangnya minggu ketiga dan keempat, maka saff solat tarawih makin memendek. Jika dahulu penuh seisi masjid dan surau; kini tinggal separuh sahaja. Jika dahulu, awalnya jamuan moreh mencecah ratusan orang; kini hanya puluhan sahaja. Tetapi, tetap masih ramai berbanding di luar bulan Ramadan walaupun hakikatnya, ia makin mengurang.

Kepelikan makin menjadi-jadi menjelang 10 hari terakhir Ramadan. Padahal itulah saat paling utama, kerana dijanjikan malam al-Qadar padanya. Sebaliknya, pada tempoh itulah manusia berbondong-bondong pula mengunjungi segala gerai dan bazaar. Agaknya, baju raya lebih menarik berbanding teh tarik dan roti canai waktu moreh.

Lalu, inilah fenomena di negara ini. Secara umumnya begitu, walau mungkin di sesetengah tempat tidak sedemikian. Mungkin di kawasan yang kuat pengaruh agamanya, misalnya di lingkungan pusat pengajian pondok, suasana Ramadan kekal dengan keghairahan hingga ke penghujungnya.

Maka, persoalan yang membusa di cepu minda ialah, kenapa? Kenapa manusia hanya berbondong-bondong ke rumah Allah pada awal Ramadan? Kenapa manusia makin lesu menjelangnya hujung Ramadan. Bagi kaum ibu, mereka lesu di saff tarawih; tidak pula lesu membuat kuih.

Kita patut sedar, Ramadan datangnya hanya setahun sekali. Jika kita berjaya menemuinya pada tahun ini, itu adalah rezeki. Namun, siapa mampu menjamin kita akan menemuinya lagi tahun hadapan. Belum tentu kita dipanjangkan umur. Belum tentu kesihatan kita mampu menjalaninya dengan sempurna, andai kita masih berusia. Maknanya, kita mesti menjadikan Ramadan ini sebagai yang teristimewa.

Pada zaman dahulu, Ramadan disambut dengan pestaan ibadah. Nabi menyeru, agar dihidupkan Ramadan. Siangnya berpuasa, malamnya dididirikan qiyamullail – iktikaf, tarawih, witir, tadarus dan sebagainya. Kini, Ramadan disambut dengan pestaan juadah. Siangnya bazaar Ramadan menanti; malamnya pula di mana-mana orang tetap membeli.

Umar al-Khattab menangis hiba meninggalkan Ramadan. Hari ini, manusia ceria menyambut Ramadan kerana membayangkan fulus yang menunggu daripada bonus dan hasil jualan. Malah makin ceria di hujungnya kerana raya yang menjelang. Tidak kurang manusia yang bosan dengan Ramadan, kerana susahnya mereka untuk makan siang.

Maka, tidakkah kita merasa pelik. Kepelikan ini sepatutnya menjadikan kita lebih berfikir, bahawa manusia hari ini sudah lupa akan nikmat Tuhan mereka. Mereka hidup tanpa merasa terhutang budi kepada Allah. Lalu, mereka jalani kehidupan sesuka hati. Sehingga, kedatangan Ramadan pun tidak menimbulkan apa-apa dalam jiwa mereka. Lalu…alangkah ruginya mereka!

Sabda nabi antaranya: “Rugilah manusia yang hidup sehingga Ramadan tetapi gagal mendapat pengampunan (daripada Allah),” (hadis riwayat Kaab bin Ujrah)

Hayatilah Ramadan yang masih berbaki. Marilah kita tangisi kealpaan diri. Iringilah malamnya dengan ibadah. Biar jiwa kita terus membugar dalam dakapan Ramadan.Biarlah orang lain meninggalkan kita bersama Allah. Kita adalah kekasih Allah dan apalah maknanya kekasih Allah, jika mereka meninggalkan rumah-rumah Allah kosong dan kesepian!

Related Post

Leave a Reply