• Wed. Jan 20th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Mari berta’aruf dengan sahabat nabi…Bilal

Byadmin

Jan 31, 2010

Dalam sejarah, Bilal adalah manusia berkulit hitam yang ditakdirkan lahir sebagai hamba. Bapanya bernama Rabah manakala ibunya bernama Hamamah. Mereka menjadi manusia hamba kepada keluarga Bani Abdul Dar – yang diceritakan kejam dan amat tidak berperi kemanusiaan. Bilal mempunyai seorang abang bernama Sahib.

Dikhabarkan bahawa, ibu bapa Bilal berasal dari Habsyah dan mereka mahu mengubah nasib dengan cuba mencari rezeki di Mekah. Sayangnya, dalam perjalanan ke Mekah itulah, mereka diserang, ditangkap dan akhirnya dijual sebagai hamba sahaya di Pasar Ukaz. Mereka akhirnya dibeli oleh keluarga Bani Abdul Dar yang kaya-raya itu dan saat itu, gelaplah anganan masa hadapan yang mereka nyalakan selama ini; sebaliknya bermulalah zaman kegelapan hidup terpasung sebagai hamba yang hina-dina di sisi tuan mereka.

Bilal walaupun anak berkulit hitam; namun tubuhnya sasa, kuat dan sihat. Bilal dan abangnya Sahib diperah tenaga mereka oleh tuannya sejak muda. Mereka dikerah membanting tulang semahu-mahunya. Saat Umayyah bin Khalaf melihat kelibat Bilal dan Sahib, timbul niat di hatinya. Suatu rencana yang akan memisahkan Bilal daripada saudara kandungnya, rencana yang akan meremuk-redamkan hati Hamamah dan Rabah.

“Aku melihat Sahib hambamu itu gagah perkasa orangnya, jika aku bawa ke Yaman dan aku jual, pasti harganya berlipat kali ganda. Mahukah kamu aku menjualnya di sana? Nanti untungnya kita bahagi dua.” Umayyah memasang perangkap. Dia adalah kelibat yang membawa celaka kepada Hamamah dan Rabah juga Bilal yang ketika itu masih mendambakan kasih-sayang seorang abang.

Tanpa belas kasihan, Sahib dibawa dalam kurungan ke Yaman. Dia akan dijual di sana. Demikianlah nasib seorang hamba. Sahib meraung di dalam sangkar, Hamamah terkulai layu di atas tanah, Rabah hampir rebah tanpa daya dan Bilal bakal kesunyian ditinggal saudara.

Demikianlah secebis gambaran awal kehidupan Bilal bin Rabah di bawah kekuasaan keluarga Bani Abdul Dar. Kehidupan yang sulit sentiasa mengiringi. Namun, Rabah dan Hamamah sentiasa berharap, agar kelak lahirlah seorang penyelamat yang akan membebaskan mereka daripada belenggu perhambaan. Rabah dan Hamamah berpimpinan tangan mengadu kepada Latta dan Uzza di sisi Ka’abah; sedang Bilal memerhati dari jauh.

“Ayah dan ibu, bagaimana mungkin batu-batu berhala itu mampu menyelamatkan abang Sahib…sedangkan diri mereka sendiri tidak mampu bergerak sedikit pun!”

BERSAMBUNG…

 

 

Related Post

Leave a Reply