• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Mari Fahami Agihan Zakat

Byadmin

Oct 20, 2011

Menanggapi isu-isu zakat, maka ada dua perkara dasar yang tidak dapat dipisahkan, iaitu kutipan dan agihan. Dewasa ini, umumnya umat Islam semakin tertarik membicarakan isu agihan zakat. Ini kerana, tidak dinafikan bahawa institusi zakat di Malaysia sudah mampu membuat kutipan zakat yang kian membaik tahun demi tahun.

Seperkara yang tidak wajar dinafikan, kejayaan institusi zakat di Malaysia mencapai jumlah kutipan zakat yang tinggi ini hakikatnya adalah berpunca daripada usaha yang penuh tekun, penuh penelitian dan dilakukan secara konsisten dan sistematik untuk menjayakannya. Idea dan inovasi ditumpahkan. Segala cabaran diharungi demi melagang kemajuan zakat.

Natijahnya, Alhamdulillah mutakhir ini umat Islam di Malaysia bahkan non-muslim sendiri sudah tidak kekok membicara pelbagai jenis zakat, misalnya zakat pendapatan, zakat saham dan sebagainya lagi.

Oleh itu, kita boleh mengandaikan bahawa fasa pemerkasaan kutipan zakat sudah hampir siap ataupun barangkali kian mencapai titik kesempurnaannya. Maka, zaman umat Islam bertegang leher isu wajib atau tidak zakat pendapatan sudah lama berlalu. Kini umat Islam beralih kepada isu baharu, iaitu bagaimanakah zakat yang berjuta dan berbillion dikutip itu dapat diagih dengan berkesan. Ini isu baharu yang memerlukan jawapan yang tangguh, penuh kredibeliti dan bukan mainan.

Agihan zakat, adalah sepenting kutipan zakat kerana ia melambangkan kesempurnaan syariat Allah SWT. Zakat yang diutuskan Allah SWT, punya peranan yang amat besar dan mendasar dalam mendepani keperluan umat Islam, hari ini dan masa hadapan. Ini sesuai dengan kaedah fikah dalam Islam, bahawa Islam itu sifatnya ‘mencegah lebih baik daripada merawat.’ Maka, zakat ini hakikatnya adalah elemen pencegahan kepada permasalahan masa ini dan masa hadapan.

Zakat mencegah umat Islam yang hari ini kaya daripada jatuh kepada kemiskinan, mencegah dari hari ini dalam kemiskinan daripada terus jatuh kepada kefakiran. Zakat mencegah orang yang hari ini Islam daripada menjadi murtad; bahkan zakat mampu menarik seseorang yang hari ini menjadi musuh agar esoknya menjadi sahabat – dan kisah al-Aqra’ bin Habis, seorang yang digeruni dan dilunakkan Rasulullah SAW dengan zakat wajar ditauladani di sini.

Zakat juga mencegah agar kekayaan tidak bertumpuk dalam golongan tertentu sahaja; sehingga ketidak-adilan sosial menjelma dan menjadikan masyarakat kacau dan huru-hara. Secara alami, orang miskin yang merasa tertindas selamanya tidak akan merasa puas, dan penindasan sudah pasti dibalas dengan tindakan nekad, mencuri dan merompak misalnya. Maka, zakat menangani keruwetan ini dengan menyediakan hak tertentu bagi mereka. Ini baharu secebis kebaikan zakat.

Lalu, tidak peliklah jika Allah SWT awal-awal lagi sudah menegaskan lewat firman-Nya: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah: 71)

Inilah kehendak agihan zakat, menjadi mekanisme tolong-menolong sesama umat. Si kaya membantu si miskin. Orang senang menolong orang susah. Orang berada menolong yang papa. Maka, apabila zakat gagal berperanan sebagaimana yang dikehendaki Allah menerusi syariat-Nya, ada banyak perkara yang harus disemak. Misalnya, bagaimanakah zakat diagihkan, apakah bentuk sistemnya, mekanisme pengagihan, prosedur yang digunapakai, dasar dalam agihan dan segala tatacara yang berkaitan dengan agihan zakat.

Dalam hal ini, Allah SWT telah memberikan garis panduan yang jelas sebagaimana kehendak-Nya: “Allah berkehendak memberikan kemudahan bagi kamu, dan Dia tidak menghendaki memberikan beban kesukaran kepadamu.” (al-Baqarah: 185)

Jadi, perkara asas dalam agihan zakat ialah ‘memudahkan’. Inilah ‘kunci’ agar zakat benar-benar dapat sampai kepada mereka yang memerlukan dengan mudah, cepat dan tidak banyak karenah. Hujah ini jugalah yang dikemukakan oleh ramai pihak, agar institusi zakat tidak mencipta pelbagai prosedur yang kelak menjadi karenah dalam memohon zakat.

Namun begitu, seperkara yang tidak wajar diabaikan juga adalah, zakat ini ibadah wajib yang ketentuan agihannya sudahpun digazetkan secara qatie’ (putus) di dalam dalil naqli. Allah SWT menetapkan, ada lapan golongan sahaja yang berhak ke atas zakat dan hanya mereka inilah yang boleh menerima agihan zakat, iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil (at-Taubah: 60).

Oleh itu, dapat juga kita fahami bahawa kegagalan mematuhi ketetapan ini, memungkinkan keseluruhan kehendak dan falsafah zakat itu tidak mencapai maksudnya yang sebenar, yakni roh zakat sebagai peneraju keseimbangan sosio-ekonomi ummah gagal dijelmakan dan segala ungkapannya hanya gimik kosong dan bersifat utopia semata.

Maka, Institusi zakat yang amanah wajib menyeimbangkan di antara tuntutan ‘memudahkan’ dengan kehendak memenuhi roh zakat menerusi ketetapan lapan golongan asnaf. Di sini, tidak dianggap keterlaluan apabila institusi zakat menerusi ruang lingkup kuasa yang ada, cuba menguruskan amanah yang telah dibebankan ke pundak mereka agar tidak tempang dan tersasar daripada ketentuan Tuhan.

Misalnya, menerusi wewenang kuasa yang ada, maka institusi zakat menggubal tatacara permohonan yang objektifnya bukan sahaja memastikan keberkesanan agihan zakat; tetapi juga dapat mengelakkan ketirisan yang di luar kawalan. Harus disemat dalam minda, institusi zakat bermain dengan wang dan di mana-mana, isu wang adalah sensitif. Ini kerana, wang amat senang untuk tiris dan mudah menggelapkan mata manusia, maka ia perlu diawasi dan transaksinya perlu teratur dan sempurna.

Namun begitu, segala dasar, mekanisme dan sistem serta prosedur agihan zakat yang dicipta hakikatnya tidak patut terus mengekang pihak-pihak pengurusan zakat dalam meningkatkan keberkesanan agihan zakat. Apa yang penting, asnaf zakat adalah tidak berubah; namun perubahan dalam pendekatan adalah sesuatu yang munasabah dan adakalanya bersifat suatu tuntutan.

Misalnya, dalam menilai kecukupan hidup, maka formula had al-kifayah perlu seiring dengan senario ekonomi semasa. Dalam menilai jenis-jenis bantuan, perlu juga melihat kepada keperluan zaman. Bahkan tidak keterlaluan, para asnaf zakat juga perlu kepada pendefinisian yang terkini, agar tetap valid kewujudannya. Asnaf riqab ataupun hamba, mungkin sudah perlu didefinisikan semula agar sesuai dengan kondisi semasa. Bahkan asnaf mualaf, perlu juga melihat kepada keperluannya kepada dakwah Islamiyah yang lebih global, yakni tidak hanya menghadkannya kepada seseorang yang baharu memeluk Islam sahaja.

Kesimpulannya, memahami agihan zakat adalah sama pentingnya dengan memahami kutipan zakat. Mungkin makalah ini adalah sentuhan pertama, sebelum menyusulnya beberapa tulisan lain agar kita mampu mencernakan agihan zakat dengan lebih baik. Tujuannya hanya satu, agar umat Islam faham bahawa agihan zakat bukan sekadar mengagihkan wang; tetapi ia juga menyangkut kelestarian masa hadapan umat Islam yang lebih gemilang. Wallahua’lam.

HAMIZUL ABDUL HAMID merupakan Eksekutif Komunikasi Korporat di Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan telah hampir 10 tahun terlibat secara langsung dalam dunia pengurusan zakat.

Related Post

Leave a Reply