• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Mari Mengaji…

Byadmin

May 27, 2009

ayang3

‘Abang Yang di surau’

Semalam, saya memberikan sedikit penerangan kepada beberapa jemaah muslimah di surau. Mereka belajar tajwid dan biasanya saya akan susuli dengan sedikit penerangan mengenai ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Mereka sudah pun menghabiskan surah al-Fatehah…kini baharu masuk surah al-Baqarah.

“Ustaz, jika boleh cubalah ulas sikit apa yang ayat tu sebut…” Kata salah seorang daripada mereka.

Saya maklum, surau di taman kami memang agak ‘kelam’ dengan majlis ilmu. Semasa saya mula-mula pindah ke taman ini pada akhir 2006 lalu, satu-satunya majlis yang hidup ialah majlis bacaan Yaasin pada setiap malam Jumaat. Lalu, mulai saat itu saya cuba mengisi kekosongan setakat termampu.

Kini, setiap Selasa saya membuka kelas tajwid dan para pelajarnya ialah kaum ibu. Kaum bapa…agak dingin sambutannya? Entahlah…mungkin mereka malu dan segan. Sedih, ini kerana saat mereka membaca al-Fatehah, masih banyak juga celanya pada pendengaran saya.

Semalam, kami sudah memasuki ayat ke 6 surah al-Baqarah. Selesai mengaji dan menerangkan aspek hukum tajwid, di mana panjang, di mana pendek, dengung dan tidak, berapa harakatnya, di mana ikhfa dan di mana izhar…maka saya menyinggung makna ayat ke 4 di dalam surah berkenaan.

Ayat ke 4 di dalam al-Baqarah antara lain menyentuh aspek keimanan kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada kita, iaitu al-Kitab. Jika kepada umat Nabi Muhammad SAW, maka kita diberikan al-Quran al-Karim; namun kita juga wajib mengimani kepada apa-apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT sebelum daripada al-Quran, iaitulah kitab-kitab Taurat, Zabur dan Injil serta suhuf-suhuf…

Tiba-tiba anak saya mengangkat tangan. Saya membiarkannya. Ini kerana, memang sepanjang pengajian anak kedua saya, Ihya’ Hakim banyak juga mencelah. Bila saya minta para kaum ibu membaca al-Quran, habis suara mereka tenggelam dalam ketinggian suaranya. Bila saya bertanya hukum apa…dialah dahulu yang menjawabnya…susah saya, sebab itu saya minta anak saya ini mengangkat tangan jika mahu mencelah, jaga adab belajar.

Saya mengulas lagi, betapa ayat keempat itu juga menegaskan kewajipan kita beriman kepada hari akhirat. Ini kerana, hanya orang yang hatinya meyakini hari akhirat sahajalah, maka mereka takut melakukan dosa dan kefasadan di atas muka bumi ini. Mereka tahu, apabila mati maka amalan mereka akan dihisab oleh Allah dan sesudah itu, mereka akan dibalas setimpal dengan apa yang mereka usahakan…

Firman Allah SWT di dalam surah yang lain:

Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amal yang saleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk surga, mereka diberi rezki di dalamnya tanpa hisab.  (al-Mu’min atau Ghaafir 40: 40)

Lantas saya menegaskan bahawa di dalam al-Quran, Allah SWT memberikan panduan agar kita dapat hidup selamat dengannya. Al-Quran adalah dustur atau perlembagaan. Semua aspek kehidupan dimuatkan di dalam al-Quran. Aspek pendidikan, ekonomi, kekeluargaan bahkan perundangan.

“Kita tidak boleh menilai hukum Allah SWT yang terkandung di dalam al-Quran ini dengan akal semata-mata. Tidak semuanya boleh dirasionalkan. Misalnya, jika kita terkentut maka batal wudhuk. Maka, untuk solat kita wajib mengambil wudhuk semula. Timbul persoalan, yang kentutnya ialah ‘punggung’ sedangkan anggota wudhuknya tidak pun melibatkan bahagian punggung. Jadi, di manakah logiknya?”

Begitu jugalah aspek hukum-hakam yang lain. Saya nyatakan kepada mereka:

“Allah SWT mewajibkan hukum zina, misalnya sebat 100 kali kepada penzina yang belum berkahwin dan rejam sehingga mati kepada penzina yang sudah berkahwin…pasti ada sebab dan hikmahnya.”

Saya mengulas…ada pun penzina yang belum berkahwin, yakni belum pernah merasai nikmat ‘persetubuhan’ halal…maka saintis menjumpai satu alasan, iaitu tubuh badan mereka mampu merembeskan sejenis hormon yang kuat bagi melawan sebarang virus, dan ia terkeluar apabila bahagian belakang mereka disebat 100 kali. Tapi, bagi mereka yang sudah berkahwin dan merasai nikmat ‘persetubuhan’, maka hormon itu tidak akan keluar lagi. Maka, jalannya hanyalah dengan direjam…demi mengelakkan penularan virus merbahaya seperti HIV dan sebagainya.

Anak saya mengangkat tangannya lagi…saya membiarkan sahaja…masih awal untuk dilayan. Nanti panjang berjela jadinya…

Lagi satu, kata saya…hukuman Allah SWT adalah bersifat pencegahan. Dalam bahasa Arab dipanggil ‘al-wiqayah khairun minal ‘ilaj’…mencegah itu lebih baik daripada merawat. Orang puteh pula menukarnya kepada ‘prevention is better then cure.’

“Cuba lihat statistik jenayah di Arab Saudi dan New York di US…sehari kejadian jenayah di New York menyamai 10 tahun di Arab Saudi… Kenapa? Ya, kerana Arab Saudi melaksanakan hukuman Allah. Maka, Allah beri jaminan, Allah campakkan rasa takut ke dalam hati manusia untuk berbuat jahat dan melakukan jenayah.

“Cuba perhatikan, jika takdir kita terjumpa seseorang yang kudung tangannya dan bila ditanya, rupa-rupanya tangannya dipotong kerana mencuri! Dengan segera dan automatik hati kita menjadi gerun. Ia lebih berkesan berbanding hukuman penjara yang ada pada hari ini…langsung tidak memberikan kesan kepada orang yang masih belum mencuri. Maka, tiada unsur ‘pencegahan’ di situ berbanding hukuman Allah SWT.”

Anak saya masih mengangkat tangan. “Ya…Abang Yang, ada apa-apa persoalan?” Kata saya…

“Abi…suhuf itu apa?”

“Suhuf adalah risalah yang diutuskan kepada nabi-nabi terdahulu…”

“Persetubuhan tu pula…apa abi?”

Er….terkedu saya…

“Itu….itu…ha, bila Abang Yang dah pandai minum Kopi Tongkat ALi nanti…baru Abang Yang faham…”

“Hish abi ni…Abang Yang tanya elok-elok…”

Saya pun bangun, mengemas al-Quran dan enggan lagi mendengar soalannya…sekurang-kurangnya pada saat itu!

Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply