• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Masa Untuk Tunai Zakat Fitrah

Byadmin

Aug 11, 2010

Soalan: Bolehkah zakat fitrah ditunaikan sejak awal Ramadan dan bilakah berakhirnya masa menunaikannya?

Jawapan: Ittifaq dalam kalangan fuqaha bahawa zakat fitrah hanya wajib pada Aidilfitri yang beriringan dengan Ramadan. Ia sabit pada dua keterangan Ibnu Umar: “Telah mewajibkan Rasulullah SAW zakat fitrah pada bulan Ramadan,” (Nail al-Authar, jilid 4, hal. 181) dan juga: “Rasulullah SAW telah memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah sebelum orang-orang keluar melaksanakan solat Aidilfitri,” (Hukum Zakat, hal. 959).

Umumnya ulamak fikah mempunyai dua pandangan tentang waktu wajib membayar zakat fitrah. Pertama, ia wajib setelah terbenamnya matahari pada akhir Ramadan. Pandangan ini dikongsi oleh Imam Syafie, Ahmad, Ishaq, Tsuri dan Imam Malik. Kedua, zakat fitrah wajib dengan terbitnya fajar hari raya dan ditunaikan sebelum mendirikan solat Id. Ia didokong oleh Abu Hanifah, Imam Laits, Abu Tsaur dan juga pandangan kedua Imam Malik sendiri.

Dalam pada itu, Imam Bukhari juga menukilkan bahawa Ibnu Umar pernah menyatakan, bahawa para sahabat nabi sendiri pernah mengeluarkan zakat fitrah satu atau dua hari sebelum hari raya.

Pada sisi Syafie, beliau berpandangan bahawa zakat fitrah boleh dikeluarkan sejak dari hari pertama berpuasa pada bulan Ramadan. Ini kerana, sebab kewajipan fitrah adalah kerana berpuasa pada Ramadan. Bahkan pada pandangan Abu Hanifah dan Zaidi, mereka memberikan kelonggaran lebih awal daripada itu, yakni sebelum masuk Ramadan (Hukum Zakat, halaman 961).

Tentang batasan masa, Ibnu Abbas meriwayatkan: “Sesiapa yang menunaikan zakatnya selepas solat (sunat Id), maka ia adalah suatu sedekah daripada beberapa sedekah (yang ada),” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). Maka, ada ulama fikah yang menyatakan masa tamat zakat fitrah ialah selepas solat sunat Id.

Namun begitu, fuqaha berpandangan bahawa melengahkan Zakat Fitrah sehingga selesai solat adalah dikira sebagai makruh (tidak diutamakan) (Hukum Zakat, hal. 960). Manakala melengahkannya sehingga terbenamnya matahari satu Syawal dikira sudah haram dan berdosa; namun masih wajib dikeluarkan dan pada waktu itu dikira sebagai qada (Ensaiklopedia Fiqh Wanita, hal. 184).

Oleh itu, kesimpulannya masa menunaikan zakat fitrah dibahagikan kepada empat. Pertama, sunat iaitu bermula awal Ramadan. Kedua, wajib iaitu tenggelamnya matahari akhir Ramadan sehingga saat didirikan solat sunat Id. Ketiga, makruh yakni selepas solat Id dan keempat haram, yakni selepas terbenam matahari satu Syawal. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply