• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Bicara Zakat: Zakat simpanan arwah bapa

Byadmin

Mar 9, 2011

Soalan: Arwah bapa saya ada menyimpan sejumlah wang di dalam akaun sebuah bank semasa hayatnya. Saya difahamkan oleh ibu saya bahawa arwah bapa tidak pernah menunaikan zakat simpanannya. Kini wang simpanan tersebut diwariskan kepada ibu saya dan beliau ingin menzakatkan wang tersebut. Untuk makluman, ibu saya tidak tahu berapa jumlah wang simpanan tersebut semasa hayat arwah bapa saya masih hidup. Apakah cara terbaik untuk menzakatkan wang tersebut bagi menggantikan jumlah zakat yang tidak dizakatkan oleh arwah bapa saya sepanjang hayat beliau?

Jawapan: Terima kasih kerana bertanya. Secara umumnya, persoalan ini memang telah dibahaskan oleh para fuqaha. Ada yang menyatakan, zakat hendaklah dilunaskan apabila adanya wasiat daripada pihak si mati. Namun, pandangan terkuat, zakat si mati hendaklah dikeluarkan sekali pun tanpa wasiat, kerana ia adalah hutang kepada Allah SWT (rujuk Terjemahan Bidayatul Mujtahid, Juz 1, hal. 519)

Fuqaha besar seperti Imam as-Syafie rahimahullah ada menyatakan, jika hutang sesama manusia harus dibayar, maka apatah lagi hutang kepada Allah SWT. Ia tetap wajib dibayar demi mengelakkan masalah di akhirat kelak. Ini kerana, jika tidak dilunaskan di dunia, ia akan menjadi ‘hutang’ yang tetap dituntut di akhirat nanti.

Kenapakah ia begitu diberatkan kepada umat Islam? Ini kerana, zakat adalah kewajipan ke atas harta yang bersangkut-paut dengan maslahah (kepentingan) umum. Menidakkan zakat bermakna menzalimi orang lain. Sebab itulah zakat amat besar keutamaannya dan wajib ditunaikan, demi mengelakkan orang yang berhak terzalimi.

Oleh itu, wang yang disimpan tersebut, tidak kiralah sama ada disimpan di bank atau di mana sekali pun, wajib dizakatkan apabila cukup nisab dan haulnya. Jika sudah berlalu tahunnya, maka hendaklah dikirakan secara tahun ke belakang (back dated) agar si mati tidak lagi terhutang kepada Allah SWT.

Oleh kerana arwah bapa semasa hayatnya dahulu tidak pernah menzakatkan wang simpanannya, maka wajiblah bagi warisnya menunaikannya (menjadi qada zakat). Masalahnya, si waris tidak tahu secara pasti jumlah simpanan. Namun, bagi saya pihak waris boleh mengetahuinya kerana wang itu disimpan di bank. Maka, pihak bank boleh membantu mencetak penyata tahunan dan dari situ, kita boleh tahu jumlah simpanan setiap tahun.

Setelah mengetahui jumlah simpanan setiap tahun, maka ambillah jumlah baki wang simpanan yang terendah pada tahun-tahun berkenaan. Jika baki terendah itu melebihi nisab (sila hubungi pusat zakat untuk mengetahui nisab pada tahun-tahun lalu), maka darabkanlah dengan 2.5 peratus. Itulah jumlah zakat yang wajib dikeluarkan sebagai qada.

Saya berdoa, semoga Allah SWT memberikan pertunjuk dan kekuatan kepada waris si mati untuk melunaskan segala hutang-piutang zakat berkenaan. Mudah-mudahan ia dapat meringankan ujian bagi si mati, insya-Allah. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply