• Wed. Jan 20th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Masihkah wajib zakat di negara kafir?

Byadmin

Feb 28, 2011

Nota: Disediakan untuk siaran Utusan

Soalan: Saya dan suami bekerja di luar negara. Mufti di tempat kami tinggal menyatakan kami tidak perlu mengeluarkan zakat, memandangkan kami sudah pun diwajibkan membayar cukai yang tinggi oleh pihak kerajaan (sehingga 50 peratus) dan cukai itu digunakan kepada rakyat di negeri berkenaan. Saya tidak tahu, adakah saya masih wajib mengeluarkan zakat atau hanya cukup sekadar cukai kepada pemerintah?

Jawapan: Tahniah di atas kesedaran puan dan suami terhadap kewajipan zakat. Walau bagaimanapun, justeru puan berkerja di luar negara dan negara itu pula mewajibkan cukai yang tinggi sehingga 50 peratus, maka pastilah ia memberi kesan secara langsung kepada pendapatan dan kehidupan puan sekeluarga.

Secara dasarnya, Islam tidak mengiktiraf cukai untuk dikenakan kepada umat Islam. Perkara ini telah dibahaskan dalam siri Bicara Zakat yang lalu. Oleh itu, jika dilihat kepada polisi Islam, maka wajiblah puan membayar zakat kendati pun puan sudah membayar cukai. Ini kerana, zakat itu hukum Allah yang sudah qati’e (mutlak) manakala cukai pula adalah suatu yang mendatang.

Saya ingin meluaskan persoalan ini. Memandangkan puan tidak menyatakan, negara itu negara umat Islam atau sebaliknya, maka saya mengandaikan bahawa negara itu bukanlah Negara Islam yang meraikan kewajipan umat Islam. Maka, saya berpandangan ada dua isu di sini. Pertama, isu orang Islam berkerja di negara bukan Islam dan kedua, isu cukai yang tinggi sehingga membebankan puan dan suami.

Bagi isu pertama, saya berpandangan puan mungkin perlu mencari pekerjaan di negara lain jika dengan cara itu, puan tidak dibebankan dengan cukai yang tinggi dan membolehkan puan berzakat. Ini kerana, cukai itu bukan zakat dan zakat adalah rukun yang wajib dilaksanakan.

Dalam konteks lebih ekstrem, misalnya umat Islam dilarang mengamalkan ajaran agama oleh pemerintah bukan Islam, maka ulamak menyarankan agar mereka berpindah demi menjaga kelestarian agama mereka. Mereka hanya boleh berada di negara itu atas sebab-sebab tertentu, misalnya dalam usaha dakwah.

Hal ini telah dibahaskan oleh para fuqaha dan boleh puan merujuk di dalam Fatawa Lajnah daimah lil buhuth ilmiyah wal ifta (2/69) berdasarkan firman Allah di dalam surah an-Nisa’ ayat 97-98 dan juga hadis Nabi Muhammad SAW riwayat daripada Abu Daud (nombor 2645) dan riwayat at-Tirmidzi nombor 1604 dan 1605.

Namun begitu, ada juga ulama yang berpandangan bahawa cukai boleh menjadi zakat apabila pemerintah mengambilnya dengan kadarnya yang sama dengan kadar zakat (misalnya 1/10 bagi cukai kharaj yang menyamai zakat pertanian) dan orang yang memberikan cukai itu meniatkan ia sebagai zakat. Maka, baharulah kala itu cukai sudah memadai bagi diri seseorang muslim dan hal ini dibahaskan secara lebih dalam oleh Imam an-Nawawi dan Imam Ahmad (rujuk al-Nawawi di dalam al-Majmu’, jilid 5 hlmn 541-542 seperti mana dinukilkan oleh Ahmad Husni Abd Rahman di dalam kertas kerjanya, Zakat Itu Cukai Viceversa).

Dalam hal ini, kemungkinan besar mufti berkenaan menyandarkan pendapatnya kepada pandangan ini demi meringankan bebanan umat Islam di negara berkenaan dan puan berhak membuat pertimbangan dengan apa yang sedang puan hadapi. Ini kerana, pendapat terkuat dalam kalangan fuqaha ialah, cukai sama sekali tidak dapat menghilangkan kewajipan zakat.

Lagi pun, kadar 2.5 peratus zakat itu adalah terlalu kecil dan sepatutnya sama sekali tidak membebankan seseorang itu bahkan ia patut dilihat sebagai asbab untuk datangnya barakah dan rahmat daripada Allah SWT. Saya berdoa semoga puan diberikan jalan keluar yang terbaik di dalam isu ini. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply