• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Masjid Kubah Emas: Sebuah visi memakmurkan ekonomi di Indonesia

Byadmin

Apr 23, 2010

Nota: Posting ini adalah sebahagian daripada penulisan dalam ‘travelog’ saya di Kota Jakarta dan beberapa bahagian di Indonesia, Jun tahun 2009.

kubah-emas31Kunjungan saya, isteri dan anak bongsu ke Kota Jakarta memberikan seribu satu kenangan. Semuanya berbaur, menciptakan sebuah memori yang menarik untuk dikongsi bersama. Kota dengan 12 juta penduduk ini sarat dengan pelbagai cerita. Suka duka warganya menanggulangi kehidupan. Macet jalan raya yang menguji kesabaran. Panorama kaya miskin yang beriringan. Juga keunikan masjidnya yang sentiasa menarik perhatian.

Biasanya orang akan bercerita tentang Masjid Istiqlal di Jakarta. Kemasyhuran Istiqlal sebagai antara masjid terbesar di dunia, membuatkan saya hampir tidak dapat membayangkan berapa besarkah saiznya. Namun, setelah puas merayau dari Kota Jakarta membawa ke Bandung langsung ke Cianjur kemudian mendaki ke Puncak dan bersantai sebentar di Bogor, saya dicadangkan oleh supir rasmi kami di sana, agar menziarahi Masjid Kubah Emas Ibu Hj. Dian Al Mahri, di Depok.

Masjid ini tepatnya bermukim di Kelurahan Meruyung, Kecamatan Limo, Kota Depok. Pengasasnya adalah seorang wanita berjiwa besar, iaitu Ibu Hajah Dian Juriah Maimun Al Rasyid. Pembinaan awalnya bermula seputar April 1999 dengan idea asalnya ialah merealisasikan sebuah Pusat Islam Dian Al Mahri, yang bakal menempatkan masjid, pusat pendidikan pesantren serta pelbagai kemudahan dakwah Islam. Ia dirasmikan tanggal 31 Disember 2006 bertepatan dengan 13 Zulhijjah 1427. Menariknya juga, bersempena itulah buat pertama kalinya solat sunat Hari Raya Aidiladha didirikan.

Masjid ini dibina di atas sebidang tanah seluas 70 hektar. Menurut kisah penduduk tempatan, sebelum masjid ini kubah-emas2dibina, Ibu Hj Dian telah membina perumahan yang cantik dan sempurna lalu ditawarkan kepada penduduk tempatan, sebagai imbalan terhadap tanah mereka yang akan diambil. Ibu Hj Dian malah turut memberikan pampasan dalam bentuk wang. Dengan kebijaksanaan beliau, maka penduduk merasa senang hati menyerahkan tanah mereka untuk dibina sebuah kompleks Pusat Islam. Seorang supir mobil peribadi bernama Mas Wardi dengan bangga menyatakan: ”Ibu Dian bukan sekadar memberi ganti rugi; tetapi beliau memberi ’ganti untung’ kepada penduduk di sana.”

Apa yang menarik, Ibu Hj Dian membangunkan masjid dan segala prasarananya secara individu; tanpa sesen pun bantuan daripada pihak pemerintah Indonesia. Apabila ditanya, apakah rahsia kekuatannya, beliau menyatakan: ”Sesungguhnya, jawapannya kembali kepada pada diri kita sendiri. Apakah kita percaya dan yakin dengan balasan yang dijanjikan Allah, ketika kita berjihad dengan harta kita, demi tertegaknya syiar-syiar Islam? Jika kita percaya dan yakin, mungkin terfikir dalam benak kita, bahawa untuk tidak sekadar berinfak hanya 2.5 peratus, bahkan jika perlu 50 peratus.” Rupa-rupanya, beliau berwawasan agar pembangunan masjid ini kelak, mampu memberikan suntikan nilai ekonomi kepada kawasan sekitarnya yang sebelum ini diulit dengan kemiskinan.

Masjid Kubah Emas yang keseluruhannya berkeluasan 8000 meter persegi ini akhirnya menjadi mercu tanda paling gemilang di daerah miskin Meruyung ini. Masjid ini diziarahi setiap hari apatah lagi pada hujung minggu sebagai tempat rehlah dan rekreasi yang bersifat religi (Islami), sehingga mencecah 40,000 pengunjung. Seiring dengan pembukaannya juga, bermulalah era kepesatan ekonomi kawasan sekitarnya yang dipacu dengan pelbagai pembangunan lain, seperti jalinan jalan raya, transportasi, perumahan, perniagaan dan juga nilai ekonomi tanahnya. Masjid ini telah menjadi ’umpan’ yang melirik mata para usahawan untuk menanam modal  di kawasan ini. Maka tidak hairanlah, harga tanah di daerah miskin ini yang dahulunya hanya bernilai Rp50 ribu – Rp75 ribu semeter persegi pada tahun 1998, kini sudah pun mencecah jutaan rupiah.

kubah-emasIkon ’Kubah Emas’ menjadi mercu tanda unik, kerana bahagian tertentu masjid ini memang dibina dengan emas sebagai bahan asasnya. Pertama, serbuk emas (prada) digunakan pada tiang utama masjid, kedua saduran emas yang terdapat pada lampu gantung, railing tangga ke tingkat mezanin, pagar mezanin, ornament kaligrafi di kubah dan ornament dekoratif di atas mimbar mihrab dan ketiganya ialah penggunaan mozaik emas solid di kubah utama dan kubah menaranya.

Masjid ini juga terbahagi kepada ruang utama, ruang mezanin, halaman dalam, selasar (koridor) luar dan dalam serta beberapa ruangan pelbagai fungsi yang lain. Masjid ini mampu menampung sehingga 15,000 jamaah solat pada satu-satu masa dan bagi majlis taklim (majlis ilmu) ia mampu memuatkan sehingga 20,000 jemaah sekaligus.

Masjid Kubah Emas ini direka dengan bercirikan tipologi arkitektur masjid biasa, tetapi dilengkapi dengan elemen geometris dan obleisk bagi memperteguhkan elemen ke-Islamannya. Ciri-ciri lain yang menarik pada masjid ini ialah, halaman dalamnya yang luas, enam buah menara berketinggian 40 meter menjulang angkasa berbentuk segi enam yang melambangkan rukun iman, dengan balutan batu granit Uraku, memiliki pintu gerbang berbentuk portal serta hiasan geometris dan obleisknya serta lima kubah yang lazimnya menjadi identiti utama masjid di India dan Parsi dan sekaligus menjadi simbol lima rukun dalam Islam sebagai paksi agama.

Sementara itu, kaligrafi masjid ini bergaya khat thuluth yang terukir di sekeliling ruangan solat utama dengan bahan asasnya ialah batu mar-mar hitam dan putih dengan aplikasi teknik ’water jet.’ Apa yang amat menjolok pemandangan ialah, lelangit pada kubah utamanya yang bercirikan lelangit betul dengan tompokan awan di dada langit biru. Ia dilengkapi dengan 33 buah jendela di kubah utamanya, dengan dasar kubah diletakkan sebentuk cincin berwarna emas sebagai batas cakrawalanya. Berjuntaian di tengahnya ialah sebiji lampu kristal yang sama sepertimana terdapat di Masjid Sultan Oman.

Sesungguhnya tidak mampu bagi saya menghuraikan dengan kata-kata mengenai keindahan seni bina masjid ini di sini. Saya sempat menunaikan Solat Maghrib berjamaah, diimamkan oleh seorang imam muda yang lunak bacaannya. Jiwa saya terbuai dan tenggelam dalam keindahan qiraatnya. Tanpa sedar, mengalir doa saya agar usaha Ibu Hj Dian ini direstui Allah SWT. Seperti mana katanya: ”Masihkah kita ragu dengan janji Allah…” Berkat berdirinya masjid ini, makin suburlah ekonomi penduduk daerah ini dalam meneruskan tatih hayat mereka di pinggir Kota Jakarta yang begitu mencabar serba-serbi di segala seginya.

Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply