• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

MELIHAT INDONESIA DARI JENDELA MALAYSIA – SIRI 1

Byadmin

Jun 11, 2012
Laluan terhad hanya kepada kenderaan berpenumpang tiga orang ke atas pada waktu terbatas di Jakarta.

“Indonesia is no stranger to poverty. A recent World Bank survey found that 12.5 percent of the country’s 240 million people struggle to afford basic goods.”

Petikan di atas adalah dari akhbar The Jakarta Globe versi internet, atau lebih tepat lagi saya petik dari mukaddimah dalam sesi wawancara akhbar berkenaan dengan para warga Jakarta yang di muatkan dalam sebuah kolum, iaitu My Jakarta.

Wawancara itu dilakukan oleh wartawannya bersama Wali Atmamudin, seorang pemuzik yang bercita-cita mahu mengangkat harkat dan darjat rakyat Indonesia yang miskin melalui lagu-lagu dan muziknya, lewat 5 Jun 2012 yang lalu.

Persepsi saya mengenai Indonesia sebelum tahun 2009 adalah agak negatif. Saya membayangkan, Indonesia atau khususnya Bandaraya Jakarta, adalah tipikal negara dan kota yang mundur. Saya tidak tahu mengapa saya beranggapan seperti itu; tetapi saya percaya ‘label kemiskinan’ itulah yang menyebabkan saya mempunyai persepsi sedemikian mengenai Indonesia dan Jakarta.

Kala menjejakkan kaki buat pertama kalinya di Jakarta pada Jun 2009, saya bagaikan ‘rusa kekandangan’. Maksud saya, persepsi saya selama ini salah. Jakarta bukanlah sebuah kota yang mundur dan tidur; bahkan ia adalah sebuah bandar besar yang serba membangun dan rancak pula kemajuannya.

Di hadapan mata saya, Lapangan Terbang Seokarno Hatta bukanlah sebuah lapangan terbang yang daif. Apatah lagi kala melihat kereta besar dan mewah menjalar di jalan raya, mustahil orang-orang miskin mampu memilikinya. Bahkan, kala melewati Kota Jakarta, saya tambah teruja dengan bangunan-bangunan pencakar langitnya yang tumbuh bermaharaja lela di mana-mana.

Sekurang-kurangnya, persepsi awal saya bahawa Indonesia adalah negara miskin dan mundur itu salah. Namun, nanti dahulu. Izinkan saya terus menyimpan sedikit lagi persepsi sedemikian.

Bundaran Indonesia di tengah-tengah Kota Jakarta yang sering macet total.

Apabila kereta yang saya naiki memasuki gerbang kota Jakarta, kian terserlah rupa kemiskinannya. Pemandangan pertama yang mengesani lensa saya ialah, ramai orang berdiri di tepi jalan dan mengangkat tangan untuk menumpang.

Akhirnya, teman saya memaklumkan: “Mereka itu adalah ‘car jockey’. Mereka menumpang kereta itu, agar pemiliknya boleh memasuki kawasan bandaraya Jakarta dengan aman tanpa bimbang disaman pihak polis. Dalam masa yang sama, mereka juga mendapat upah atas pekerjaannya.”

Saya agak terkejut mendengarnya, kerana hal seperti ini tiada di Malaysia. Persoalannya, mereka yakni para ‘car jockey’ itu ternyata berani mempertaruhkan dirinya untuk menumpang sebuah kereta yang mereka sendiri tidak kenal siapa pemandunya. Bukankah hal sedemikian mendedahkan diri dan kadang-kadang anak yang dibawanya kepada jenayah? Itu fikiran saya.

Akhirnya, saya fahami bahawa itulah salah satu keunikan di Jakarta. Di sebalik kesusahan bagi orang lain, ia menjadi kesenangan bagi yang lain pula. Risikonya tetap ada, seperti mana yang sering saya baca sama ada di media internet atau kala menontonnya di TV (sudah semestinya sewaktu saya melancong ke Indonesia); bukan sedikit daripada ‘car jockey’ ini yang ditangkap oleh pihak berkuasa dan dimasukkan ke dalam penjara. Ada juga yang terdedah kepada risiko ‘kenakalan’ pemandu, dan semuanya mereka lalui demi rupiah dan kehidupan.

Kemudian, kala kegelapan malam menyerkup Bandaraya Jakarta, saya menyaksikan fenomena luar biasa. Kanak-kanak tidak berada di rumah; sebaliknya mereka mendatangi deretan kereta dan kenderaan yang menunggu lampu merah di persimpangan jalan. Mereka membawa pelbagai barang jualan, ada air mineral atau paling kurang di tangan mereka ada ‘feather duster’ dan dengannya mereka melakukan kerja demi wang. Mereka inilah yang digelar pengamen jalanan.

Inilah wajah salah seorang pemuda yang menjadi pengamen, dia menjual buku salah seorang calon Timbalan Presiden Indonesia pada tahun 2009 yang lalu.

Rupa-rupanya, fenomena ini sesuatu yang amat biasa di Jakarta dan akhirnya, seluruh Indonesia mungkin. Ya, saya berkata begitu kerana setakat ini, saya sudah mengembara ke banyak bahagian di Pulau Jawa dan Sumatera, dan fenomenanya masih sama. Di mana-mana, saya akan terjumpa dengan golongan peniaga jalanan ini yang mencari rezeki tanpa letih, menatang barangan di tangan dan mengharapkan para pengguna jalan membeli jualan.

Sungguh, fenomena ini tiada di Malaysia. Bahkan saya yakin, jika ada maka para penjual ini akan ditangkap oleh polis dan penguatkuasa dengan segera. Jangankan menjual barang di simpang jalan atau di pembahagi jalan; menjual di atas bahu jalan pun dilarang jika tiada lesen kebenaran. Inilah keunikan di sana yang setakat ini masih terkawal di Malaysia. Biar pun akhirnya saya tahu, hal ini juga tidak mendapat restu kerajaan Indonesia, namun ia berleluasa bagaikan suatu fenomena biasa. (Bersambung, insya-Allah)

Related Post

Leave a Reply