• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Memahami Asnaf Fisabilillah

Byadmin

Oct 29, 2010

Soalan: Apakah maksud sebenar asnaf fisabilillah dan apakah perbezaan dalam pengamalannya jika dibandingkan hari ini dan zaman dahulu?

Jawapan: Asnaf fisabilillah disebut secara jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran (ayat 60 surah at-Taubah): “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk fakir, miskin, amil, mualaf, gharimin, riqab, fisabilillah dan ibni sabil.”

Daripada sudut pengamalan, memang ada perbezaan. Ini kerana, pada zaman dahulu fisabilillah ini dipergunakan bagi tujuan pengembangan agama Allah atau lebih tepat dalam peperangan. Ia digunakan bagi membiayai tentera Islam yang berjuang menegakkan kalimah Allah. Tentera Islam berhak mendapat zakat ini walaupun mereka kaya.

Firman Allah: “Dan berperanglah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu,” (al-Baqarah: 190) dan Dr Abdul Karim Zaidan (Ensaiklopedia Fiqh Wanita, hal. 144) telah membahaskan tentang asnaf fisabilillah ini secara panjang lebar di dalam kitabnya.

Namun ulamak berbeza pandangan, adakah asnaf fisabilillah itu juga meliputi orang yang tidak pergi berperang. Imam Abu Hanifah misalnya, menyatakan asnaf fisabilillah ini boleh digunakan untuk menampung belanja menunaikan haji bagi orang yang tidak mempunyai bekal yang cukup. Tetapi, Ibn Qudamah misalnya, memetik pandangan Imam Ahmad bahawa tidak boleh digunakan peruntukan fisabilillah ini untuk tujuan haji, selain untuk berperang.

Sementera itu, ada ulama yang memberikan keluasan asnaf fisabilillah ini kepada orang yang dalam usaha mencari ilmu. Di dalam tafsir al-Alusi, beliau menjelaskan bahawa ungkapan fisabilillah juga termasuk dalam konteks pencari ilmu agama dan beliau hanya membataskan wilayah fisabilillah kepada mereka sahaja.

Ada juga ulama mufassirin yang memberikan keluasan makna fisabilillah kepada pelbagai jenis kebajikan, misalnya membeli pembelian kain kafan, membangunkan masjid, membina benteng, jambatan dan lain-lain lagi (Dr Abd Karim Zaidan, 148).

Pun begitu dalam konteks semasa, ulama fikah telah mengembangkan lagi maksud asnaf fisabilillah ini. Misalnya Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dalam mendefinisikan asnaf fisabilillah telah memetik pandangan Dr Yusuf al-Qaradawi, bahawa maksud asnaf Fisabilillah itu adalah setiap perbuatan atau perkara yang menjurus kepada keperluan dan maslahah untuk menegakkan syiar Islam (Fatwa Agihan Zakat Selangor, 1994).

Maka, di dalam asnaf fisabilillah itu termasuklah juga pembiayaan kepada penuntut di pelbagai bidang, seperti perubatan dan kejuruteraan dan tidaklah hanya tertakluk kepada penuntut di bidang agama sahaja.

Oleh itu, hendaklah kita fahami bahawa pengagihan zakat kepada asnaf fisabilillah tidaklah sekadar terbatas kepada usaha menegakkan agama Allah menerusi peperangan semata-mata dan tidak juga dibatasi hanya kepada usaha menuntut ilmu dalam bidang agama semata-mata. Sebaliknya, segala usaha yang bertujuan mendekatan diri kepada Allah dan mencari keredaannya dan manfaatnya kembali kepada Islam dan umatnya, maka ia boleh disantuni dengan wang zakat di bawah asnaf fisabilillah. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply