• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Memahami erti 12 Rabiul Awwal

Byadmin

Feb 27, 2010

Saya turut diundang menyampaikan ceramah sempena Maulidur rasul. Dalam khutbah Jumaat juga saya harus menyinggung mengenainya. Justeru maulidur rasul bagi kita umat Islam di Malaysia ini, merupakan satu daripada hari-hari kebesaran Islam yang dijadikan acara rasmi dalam kalendar negara. Statusnya sama seperti dua hari raya dan juga hari nuzulnya al-Quran. Menyambutnya dianggap suatu ‘sunnah’ yang mendatangkan pahala.

Sebelum pergi lebih lanjut, suka saya nyatakan bahawa Maulidur rasul ini bukanlah suatu amalan sunnah. Baik yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW sendiri mahu pun disunnahkan oleh para sahabat baginda. Ia tidak ada dalam diari sepanjang pemerintahan empat orang khulafak ur rasyidin. Mengikut satu pembacaan saya lama dahulu, maulidur rasul ini mula dirayakan adalah pada zaman pemerintahan Dinasti Fatimiyyah di Mesir yang bermazhab Syiah. Untuk makluman, kerajaan inilah yang mula-mula mengasaskan Universiti al-Azhar yang kekal menjadi mercu tanda ketamadunan Islam hingga kini.

Maknanya, sesiapa yang mahu menyambut maulidur rasul maka sambutlah. Tapi, jangan sekali-kali menyatakan ia adalah sunnah nabi, jauh sangat dari sunnah. Bagi saya, ia adalah suatu bid’ah tetapi bid’ah yang baik (hasanah), justeru Kerajaan Fatimiyyah semasa mula-mula mengadakan sambutan ini pun, adalah untuk mencetuskan kembali sentimen ‘beragama’ dan ‘cintakan rasul’ di kalangan umat Islam, yang dewasa itu sudah menjauh melupakan sang nabi.

Makanya bagi saya yang kurang ilmu ini, apa yang utama bagi kita dalam menyambut maulidur rasul ini bukanlah sahaja dengan berarak (atau di kampung saya di Lenggong, Perak kami panggil belarak) dengan mengusung sepanduk pelbagai corak, atau berselawat sampai kering tekak semata-mata…tidak. Hakikatnya, falsafah di sebalik maulidur rasul ini amat besar sebenarnya untuk  sekadar yang itu sahaja.

Walau bagaimanapun, saya tidaklah cenderung untuk terus mengharamkannya sebagaimana fatwa sesetengah ulama’, Ben Baz misalnya. Menyambut maulidur rasul itu tidak salah bagi saya, kerana pertamanya ia adalah syiar Islam yang sepatutnya mampu dijadikan wahana dakwah bil hal kepada non-muslim jika segala pra-syarat dakwah terlebih dahulu dijaga. Bahkan mengalunkan salawat ke atas junjungan rasul juga adalah mulia dan mendapat pahala, nak-nak pula jika dialunkan dengan penuh merdu dan syahdu seperti mana kumpulan Raihan mengalunkannya, ia amat menyentuh kalbu dan meruntun jiwa. Tidak mustahil, ia mampu mencairkan segunung kesombongan diri dan menundukkan sebongkah keegoaan selama ini, untuk kembali sujud dan bertafakur kepada Allah SWT.  Alamak…meleretlah pula saya.

Baiklah, saya hanya mahu berkongsi bahawa ada pengajaran besar di sebalik sambutan maulid ini.

1. Kita patut jadi lebih kenal siapakah Muhammad yang kita akui sebagai nabi dan rasul itu

2. Kita patut lebih faham, apakah tujuan sebenar Muhammad dibangkitkan sebagai rasul kepada kita

3. Sayugianya kita semua menjadi lebih kuat keimanan dan ketakwaannya selepas menyambut maulid ini

Saya juga ingin menanyakan sesuatu, khususnya kepada semua AJK masjid dan surau yang beriya-iya mempromosikan sambutan ini, sudahkah di rumah kita mempunyai koleksi buku mengenai sirah rasul? Jika belum ada, malulah kita. Kita menggalakkan orang lain mengingatkan tarikh kelahiran insan agung; walhal mungkin diri sendiri masih gagal menyelami kehebatan insan itu. Lebih malang lagi, jika di rumah tiada langsung waima sebiji buku mengenai Muhammad, yang kita yakini sebagai nabi dan rasul terakhir itu. Hendaknya, janganlah kita bak kakak tua yang bijak berbicara sahaja atau bagai si ketam mendidik anaknya…kata orang Kuale Perak…’peyroo mike!’

Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply