• Wed. Jan 20th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Memberilah sebanyak-banyaknya

Byadmin

Mar 22, 2010

Dalam dunia ini, ada dua jenis manusia sahaja. Pertama, mereka yang memberi dan kedua, mereka yang menerima. Dalam menentukan kedudukan antara keduanya, Islam meletakkan orang yang memberi adalah mulia, berbanding orang yang menerima. Sebuah nukilan daripada Rasulullah SAW yang sangat ringkas menyatakan: “Tangan yang di atas adalah lebih mulia daripada tangan yang di bawah,” (Hadis riwayat Bukhari).

Kenapakah Islam menggalakkan kita agar gemar memberi berbanding menerima? Ini kerana, seseorang yang memberi itu syaratnya mestilah terlebih dahulu menjadi orang yang berharta. Orang yang berharta itu pula, syaratnya mestilah terlebih dahulu berusaha mencari hartanya. Orang yang mampu berusaha dan berkerja, syaratnya mestilah terlebih dahulu seorang yang sihat tubuh badan dan akal fikirannya.

“Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu…”

Ia adalah suatu mata rantai yang saling berkesinambungan. Maka, sudah pastilah untuk menjadi orang yang memberi itu, seseorang itu mestilah sihat tubuh badannya lagi cerdas akal fikirannya, sehingga mampu mengeksploitasi pelbagai peluang ciptaan Allah SWT di dunia ini. Untuk siapa lagi, jika bukan untuk maslahah diri sendiri dan umat manusia seluruhnya. Maka, tepat jugalah saranan Rasulullah SAW, agar setiap orang tidak menjadikan nikmat kesihatan dan kelapangannya sia-sia. Abdullah ibn Abbas r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu (nikmat) kesihatan dan kelapangan (yang sering diabaikan – penulis),” (Riwayat al-Bukhari)

Di samping itu, dengan memberikan harta ia bermakna seseorang itu sudah mampu menguasai sifat tamak haloba dalam dirinya. Ini kerana, bukan suatu perkara yang mudah untuk menundukkan hawa nafsu, khususnya nafsu kepada harta. Sebab itulah Allah SWT berulang kali menegaskan di dalam al-Quran, bahawa harta adalah salah satu daripada tiga ujian besar kepada manusia. Misalnya Allah SWT menyatakan: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sehahagian harta yang kamu cintai,” (Ali Imran: 92)

“Sikap suka memberi yang dimiliki oleh Robin Hood itulah…”

Dalam sejarah tamadun manusia, memang ada orang yang suka memberi dan nama mereka diingati zaman-berzaman. Dunia Barat memiliki idola mereka sendiri, iaitu Robin Hood yang dikatakan sering merompak harta kekayaan orang-orang kaya, kemudian diagihkannya pula kepada orang-orang miskin yang melata. Kisah ini cukup popular di kalangan anak-anak kecil, walaupun hakikatnya kaedah yang dilakukan oleh Robin Hood adalah salah di sisi agama. Niat yang baik untuk membantu orang susah; tidak menghalalkan cara sehingga merompak dan menjarah. Ia tetap tertolak di sisi Islam. Namun, intipatinya sikap suka memberi yang dimiliki oleh Robin Hood itulah yang wajar kita teladani.

Dalam dunia Islam sendiri, kita tidak sukar untuk mencari modelnya. Bukankah Nabi Muhammad SAW sendiri adalah manusia yang paling pemurah di kalangan manusia seluruhnya. Nabi Muhammad SAW jika mahu menjadi si kaya yang tamak, maka peluang itu terbuka luas di hadapannya. Bukankah Allah SWT mengizinkan Rasul-Nya mengambil 1/5 daripada harta rampasan perang untuk diri dan keluarganya? Namun, nabi tidak menjadikan itu sebagai tiket untuk mencipta kemewahan. Bahkan nabi terkenal sebagai insan yang paling bersederhana dalam hidupnya. Sehinggakan pada saat kewafatan menjemput diri, dikhabarkan nabi masih terhutang dengan seorang Yahudi, justeru sifat suka memberinya yang begitu tinggi, menyebabkan tiada dirham lagi yang berbaki.

“Jadilah kamu orang yang suka memberi dengan sebanyak-banyaknya…”

Begitu juga dengan sosok mulia Siti Khadijah al-Khuwalaid r.ha yang mulia, peneman nabi yang paling setia. Khadijah adalah wanita kaya-raya semasa zamannya, sehinggakan seluruh kekayaan Khadijah mampu mengatasi kekayaan para pemuka Mekah yang lain. Namun, Khadijah tidak lokek memberi apabila tiba saatnya. Hatta sebelum bersuamikan Rasulullah SAW, Khadijah sudah sedia berkongsi dengan memberi. Maka, sifat itu bertambah subur setelah suaminya sendiri berbudi luhur. Maka, tercatatlah di dalam sejarah bahawa Muhammad dan Khadijah adalah pasangan paling ideal yang menjadikan amalan memberi sebagai bumbu bahagia rencah ceria dalam kehidupan mereka.

Kesimpulannya, jadilah manusia yang suka memberi, kerana ia bakal mengundang barakah daripada Allah SWT disamping kegembiraan sesama manusia. Bak kata Pak Harfan sang guru di dalam Laskar Pelangi (sebuah filem Indonesia berlatar belakangkan kemiskinan di Pulau Belitong): “Jadilah kamu orang yang suka memberi dengan sebanyak-banyaknya; bukanlah orang yang suka menerima sebanyak-banyaknya.” Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply