• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Memesrai antara mazhab

Byadmin

Jul 31, 2009

Hari ini umat Islam sudah dipuak-puakkan dalam pelbagai cara. Ada umat Islam yang dipuakkan kerana politik kepartian, dipuakkan kerana negara-bangsa, dipuakkan kerana keturunan dan dipuakkan kerana mazhab. Kenapa saya menulis begini? Iya, kerana saya melihat dan mendengar, saya menganalisis, bahawa kepelbagaian yang melanda umat Islam bukan lagi mengukuhkan mereka; tetapi memecah-belahkan mereka.

Kita tidak akan membicarakan perpecahan umat Islam lewat perbezaan faham politik kepartian, cukuplah, di Malaysia sendiri, sebuah negara kecil ini – sudah teruk mengalami kerosakan akibat politik kepartian yang sempit ini. Kita juga tidak mahu melihat dari aspek negara-bangsa, yang merupakan suatu istilah tercipta demi menunjukkan satu bangsa satu negara – Negara-bangsa Malaysia misalnya, bermakna yang ada hanya Bangsa Malaysia di dalam negara Maysia; tiada lagi Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Dusun, Dayak dan sebagainya. Malah lebih merbahaya jika identiti agama turut hilang di sebalik negara-bangsa ini. Maka, umat Islam saling berbangga dengan negara-bangsa mereka dan inilah yang sedang meresap masuk ke dalam pemikiran umat Islam. Atas kefahaman inilah, apabila negara jiran diserang musuh maka sebuah negara Islam lain sanggup berpeluk tubuh. Anda tidak perlu memerah fikiran mencarinya, cukup menghalakan pandangan anda ke Asia Barat, ingat tak lagi saat Ghazah dibelasah Israel, apa tindakan Mesir?

Kita juga tidak akan membahaskan isu kepuakan disebabkan oleh keturunan. Apa yang akan kita bahaskan saat ini ialah, umat Islam menjadi berjuzuk-juzuk juga lantaran mazhab. Mereka yang bermazhab A tidak bersetuju dengan mereka yang beraliran B, demikianlah C dan D dan E. Maka, yang ada ialah, aku mazhab A, maka orang mazhab B jangan tunjuk pandai, atau jangan memandai-mandai nak lawan mazhab aku ni!

Pernah terjadi di tempat saya, seorang Pak Haji singgah solat Zuhur di sebuah masjid India, ketika itu sedang berlangsung solat Zuhur berjemaah. Pak Haji tadi, tidak menyertai jemaah tersebut sebaliknya bersolat sendirian di bahagian belakang. Selepas solat, dia ditanya kenapa tidak menyertai jemaah, jawapannya amat naif sekali: “Mereka tu India Muslim, mazhab Hanafi…saya Syafie, mana sama. Nanti tak sah solat saya!”

Pelikkan? Imam Hanafi itu Islam atau tidak? Apakah Imam Syafie lebih tinggi darjatnya daripada Imam Hanafi. Ini baharu satu contoh dan banyak lagi jika kita mahu membahaskannya. Pernah juga seorang sahabat saya dimarahi sewaktu berwudhuk di sebuah musollah, ini kerana percikan wudhuknya mengenai ‘jiran’ di sebelah. Kata jirannya yang agak sudah berumur: “Hai, batal wudhuk saya. Kamu jaga sikit air sembahyang kamu tu…jangan memercik kepada saya, nanti mustakmal air wudhuk saya ni!”

Lebih dahsyat, sesetengah orang yang bermazhab ini, terlalu fanatik kepada mazhab masing-masing sehingga sanggup mengenepikan hadis Rasulullah SAW. Saya pernah berhujah dengan segelintir orang, iaitu mengenai status saff kanak-kanak semasa solat berjemaah di surau dan masjid. Mereka mengemukakan pandangan berdasarkan tokoh-tokoh tertentu, sedangkan saya menyandarkan kepada al-hadis, namun mereka masih mahu menegakkan pandangan si tokoh berkenaan. Adakah mereka lupa, imam-imam mazhab itu sendiri pernah berpesan bahawa jika terjumpa dengan dalil daripada Rasulullah SAW, maka tinggalkan pendapat mereka dan ambillah hadis itu.

Wallahu’lam! (Nak kena bersiap, petang ni ada forum di Proton…)

Related Post

Leave a Reply