• Fri. Jan 22nd, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Memesrai orang Kampung Patagas, Sabah

Byadmin

Jul 23, 2010

22 Julai 2010 – Saya, Marul dan dua anak kami – Abang Yang dan Hanim – terbang ke Sabah. Pertama kali ke saya sini ialah pada tahun 2007. Buat kali ini, insya-Allah, enam hari kami di sini.

Penerbangan MH 1268 kami mendarat jam 6.10 petang. Suasana sudah kelam diserkup malam. Mujurlah Azmari, menantu jiran kami – En. Harun – di Kepong Indah yang baik hati dan peramah, sedia menyambut ketibaan kami di lapangan terbang.

Lega hati disambut begitu, jika tidak pasti kami kelam-kabut juga mencari hotel untuk bermalam nanti.

Azmari tinggal di Kampung Patagas, hanya terletak kira-kira 2 KM dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Lalu, kami hanya mengambil perjalanan kira-kira 10 minit sahaja untuk tiba ke rumahnya. Pengalaman masuk ke kawasan perkampungan orang Sabah, memberikan sedikit perbezaan. Rumah mereka sedikit berbeza dengan rumah orang Melayu di Semenanjung. Kebanyakannya rumah bertiang dan berdinding papan, kedudukannya pula rapat-rapat dan senibinanya tidaklah mempunyai ciri-ciri khusus, seperti beratap melengkung bagi orang Minang atau berbumbung limas bagi Melayu Semanjung.

Bapa Azmari, seorang imam rawatib di masjid Kampung Patagas dan juga seorang pesara Telekom, menyambut kami dengan hangat. Begitu juga ibunya, hangat menyambut kami. Kemesraan yang diberi, membuatkan kami tidak terasa begitu janggal untuk berbual bersama mereka. Kendatipun adakalanya mereka berbicara dalam ‘bahasa daerah’ yang menyebabkan saya hanya mampu mendengar tanpa memahaminya, namun mereka sangat menjaga kami sebagai tamu mereka.

Rumah mereka juga agak besar dan selesa, bahkan kami turut diminta menggunakan bilik ‘pengantin’ untuk bertukar pakaian dan tidur nanti. Azmari dan Ayu (merekalah sebenarnya pengantin), pula menggunakan bilik lain. Bimbang juga kedatangan kami mengganggu, tetapi Azmari berkeras agar kami menggunakan biliknya untuk tidur. Bahkan mereka turut memberikan sebuah kipas angin besar agar kami tidur dalam kedinginan nanti.

Makan malam ini bagi saya sungguh menyelerakan. Kami dihidang sejenis makanan tradisi orang Melayu Sabah, iaitu buah macang (atau disebut kuinin atau bacang) yang dijeruk asin dengan sambal khas. Juga ikan tongkol goreng, sayur pakis dan sayur air. Ayam juga ada. Kata bapa Azmari, udang yang dijadikan rampai dalam sayuran itu baharu sahaja ditangkap di pantai berdekatan. Wah! Padanlah rasanya begitu manis dan sedap sekali…kami makan sehingga kekenyangan.

Dalam perbualan lanjut kami, di sini sudah menjadi satu tradisi untuk menyambut sesuatu majlis perkahwinan dengan penuh kemeriahan. Sebenarnya, mereka sedang bersedia untuk melangsungkan majlis pernikahan Azmari dan Ayu (yang sudah pun diakad-nikahkan di Kepong pertengahan Jun lalu) pada 31 Julai ini.

Biasanya, seminggu sebelum hari kenduri, setiap malam mereka akan memainkan alat muzik tradisi dan majlis itu dinamakan ‘bertitik’. Adik Azmari siap menunjukkan rakaman videonya kepada saya. Majlis ‘bertitik’ itu akan diadakan sehinggalah ke malam ‘berinai’, yakni esoknya hari kenduri. Bagi memeriahkan majlis, mereka juga masih mengekalkan acara berzanji dan berawi – marhaban. Majlis kenduri juga sepenuhnya turut disediakan secara gotong-royong. Di tempat memasak, siap disediakan tempat tidur sementara, agar tukang masak boleh berehat jika penat memasak.

Saya maklumkan, bahawa di semenanjung semakin pupus acara tradisi seperti itu. Gotong-royong kini diganti dengan katering. Ya, majlis marhaban sendiri makin hilang tarikannya. Orang-orang muda kurang berminat menjadi generasi penerus. Mereka lebih suka berkaraoke daripada berselawat ke atas nabi.

Hujan agak galak turun di sini. Kami berbual hingga agak larut malam. Esoknya – Jumaat, 23 Julai 2010, saya dan famili akan ke Promenade Hotel. Acara Marul menilai tesis pelajar eksekutifnya adalah pada Sabtu dan Ahad. Azmari mencadangkan kami ke Kundasang. “Tidak sempurna jika tidak ke Kundasang…” Demikianlah kira-kiranya dia menegaskan. Kami juga bercadang untuk ke beberapa lokasi lain lagi dalam kunjungan kami ke Sabah pada kali ini, Insya-Allah…

Related Post

Leave a Reply