• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

MEMORI MEDAN 1#

Byadmin

May 11, 2012

19 April 2012, Kami tiba di Polonia International Airport dalam jam 2 petang waktu Indonesia. Buya Ridhuan sudah sedia menunggu.

Usai urusan di kaunter imegresen, kami segera bergegas menuju ke mobil wisata. Para porter bandara cekatan membantu. Tapi awas ya, ia bukan gratis (percuma). En. Jamil terkena kerana telah membayar Rp200 ribu bagi dua orang porter yang membawa begnya. Saya sendiri hanya membayar Rp50 ribu dan bila mereka meminta lebih, seperti biasa saya akan senyum dan berkata dengan lenggok bahasa Indonesia: “Ya..cukuplah tu mas buat dikongsi bersama.”

Percayalah, jika kita bisa berbahasa Indonesia, maka ia banyak membantu kita ‘menangani’ ulah para manusia di sini.

Setelah masuk ke dalam mobil, Mas Anwar yang menjadi jurupelancong kami menjelaskan, cukup hanya diberi Rp20 ribu seorang…dan En. Jamil pun ‘tepuk’ dahi kerana sudah terkena dengan ulah mereka!

Kami harus mengisi perut dahulu. Pak Syarif teman kami di UKM yang memang asal orang Medan telah berpesan agar kami jangan sesekali makan nasi padang di Medan. “Mahal!” Katanya. Jika mau. Makan aja menu yang lain, gado-gado atau apa aja, asal bukan nasi padang.

Lalu kami dibawa ke Waroenk Nenek. Menunya bercirikan khas orang Indonesia, antaranya Nasi Uduk. Saya memesan jus alpokat. Kami makan dengan lahap kerana perut sebenarnya memang sudah lapar. Dalam penerbangan tadi, kami hanya dijamu segelas jus buah-buahan dan sebiji muffin.

Habis menyantap, kami harus segera menuju ke Parapat. Menururt Mas Anwar, kami harus menempuhi perjalanan selama empat jam. Pokoknya, kami harus mempersiapkan mental dan fizikal, justeru perjalanan di bumi Indonesia selalunya sukar diduga. Dengar macam dekat; tapi jauh. Dengar macam sekejap; tapi jenuh dok merayap.

Tepat seperti dugaan saya. Perjalanan kami tidaklah selancar dan selaju yang dimahu. Di jalanan pula, kenderaan daripada pelbagai jenis mengambil posisi masing. Dari sekecil-kecilnya sepeda hinggalah treler, menderum di jalan raya. Namun, saya tertarik kerana di Medan ini turut popular dengan Beca Motor. Jika di Jakarta lebih popular dengan Bajai. Angkutan juga masih ada; tapi tidaklah semeriah di Pulau Jawa.

Kami singgah utk solat jamak takhir di sebuah masjid. Kanak-kanak ceria bermain di situ. Rupa2nya mereka adalah anak pengurus masjid. Saya sempat berbual-bual dengannya. Tiada apa yang menarik, kecuali dia menyatakan keseronokannya menjadi pengurus di masjid itu. Dia juga menyatakan betapa jalan raya yang sibuk di hadapan masjid itu terus sibuk sepanjang masa, walaupun malam.

Saya berbasa-basi, kemudian membeli Teh Botol Sosro daripada isterinya yang berniaga di tepi masjid dan kami melanjutkan perjalanan ke destinasi. Pemandangan yang menguasai di sepanjang perjalanan tidak banyak yang menarik. Kecuali tugu-tugu atau pintu gerbang khas yang dibina, selebihnya pemandangannya agak hampir sama di mana-mana. Apa yang ketara, jika di Kota Medan ialah, keadaan rumah adalah besar dan mewah, di kawasan kampung, daif dan susah.

Apa yang saya perhatikan juga, di sepanjang peerjalanan agak banyak gereja dan pemandangan ini agak luar biasa, kerana setahu saya di Indonesia majoritinya muslim. Namun kemudiannya, mas anwar memberitahu: “mereka itu kebanyakannya orang Batak, mereka kristian.”

Oh…padanlah.

Saya capek meneruskan perjalanan. Saya merungut dalam hati, satu-satunya perkara asas untuk pembangunan dan kemajuan fizikal negara ialah, jalinan pengangkutan yang baik. Dalam hal ini, ialah jalan rayanya.

Saya tidak pelik, kenapa Indonesia di kebanyakan kawasan khususnya luar Jakarta mundur, ia tidak lain adalah masalah ini. Sayangnya, saya tidak nampak kesungguhan pihak pemerintahnya untuk mengatasi masalah ini.

Hasilnya, kita akan berhadapan dengan masalah kesesakan luar biasa. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 2 jam menjadi dua kali ganda lamanya. Bukankah ini amat merugikan bahkan menjera minda!

Kami terus bergelut dengan kesesakan dan keributan jalan. Lori memecut, motorsikal meleintas, mobil memotong, beca menyonsong. Menjelang maghrib, kami melewati kawasan bernama Serdang. Jemaah solat maghrib sudah didirikan di masjid-masjid yang banyak di sepanjang jalan.

Kami tidak berniat berhenti, kerana kami bisa jamak lagi. Namun si supir mahu solat dan kami berehat juga sebentar di sebuah masjid yang agak indah. Teringat saya saat Azam dalam filem KCB mahu pulang ke desanya di kartasuro, Jawa Timur dan mereka singggah solat subuh di sebuah musolla. Syahd sekali!

Saya melihat jam di mobil, kami sudah meghabiskan masa lebih kurang lima jam dan nampak gayanya masih tiada tanda2 akan segera sampai. Badan sudah lenguh sebenarnya dan anak kecil saya si Ilham juga sudah mulai merengek. Dalam hati, jika beginilah keadaannya saya mungkin keberatan lagi untuk berkunjung ke sini lagi.

Akhirnya kira-kira jam sembilan waktu Indonesia, kami tiba di Parapat. Tetapi awas, di sini jika mau makan harus mencari Rumah Makan Minang, kerana ia diusahakan oleh orang Padang yang beragama Islam. Jika rumah makan lain, mungkin dimiliki oleh orang Kristian, seperti manaa penjelasan Mas Deny supir kami. Kala kami melintasi bandar Siantar.

Katanya: “Di sini boleh dibilang semuanya kristian” demikianlah ujarnya.

Kami yang amat keletihan diasak keadaan jalan raya, mengambil keputusan untuk membungkus sahaja makanan. Kami seramai 10 orang sepakat memesan nasi goreng. Ada juga restoran menjual satay Madura tapi kami takut untuk mencuba. Selepas membayar harga makanan kami pun bergerak untuk ke destinasi. Rupa-rupanya, kami sudah terlepas feri untuk menyeberangi Danau Toba ke Pulau Samosir. Feri terakhir ialah jam 9 malam. Kami terpaksa menginap di sebuah villa. Dalam kegelapan malam, kami masih bisa nampak bayang-bayang Danau Toba dan Pulau Samosir di tengah-tengahnya. Rupa-rupanya, villa kediaman kami betul-betul mengadap ke Danau Toba dan Pulau Samosir tersebut.

Usai makan malam, berwuduk dan solat, saya tidak mampu lagi menahan diri untuk mencari tilam dan bantal demi menyulam mimpi dan melupakan kepenatan tadi…capek banget pak!

Alhamdulillah, kembara hari pertama kami sampai ke penamatnya.

Related Post

Leave a Reply