• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Memperkasa Ibu Tunggal

Byadmin

Aug 20, 2009
Ramai dalam kalangan ibu tunggal mencipta kejayaan setelah diberikan jalan oleh LZS

Oleh Hamizul Abdul Hamid
Ketua Unit Perhubungan Awam
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Nota: Telah disiarkan di Utusan Malaysia pada 20 Ogos 2009

Mukadimah

IBU tunggal oh ibu tunggal. Tidak seperti ‘bapa tunggal’, kehadirannya bahkan sering menjadi sebutan. Kelibatnya menjadi tarikan. Ibu tunggal bahkan kekadang disinonimkan dengan ‘ibu tinggal’.

Ditinggalkan suami lalu terkontang-kanting tanpa haluan. Banyak pihak tampil menghulurkan bantuan tidak kurang juga yang mahu mengambil kesempatan. Inilah imej lumrah ibu tunggal yang sering meraih simpati masyarakat, dipotretkan sebagai insan malang yang perlukan pembelaan.

Di Selangor, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) sering menjadi dahan buat kalangan ibu tunggal ini berpaut. Maka, ramailah ibu tunggal yang mengadu nasib. Segala sejarah duka-lara dikisahkan kembali, meleleh air mata membasahi pipi.

Semuanya dengan satu hasrat, terbitlah simpati dan moga bantuan akan diperolehi, bukan untuk sesiapa tetapi buat buat anak-anak yang berderet dan juga buat diri sendiri.

Alhamdulillah, sejak tertubuhnya LZS (MAIS) 10 tahun yang lalu, bukan sedikit keringat yang tumpah, bukan sedikit wang dicurah. Apa yang penting, potensi diri dan upaya ibu tunggal harus dikerah.

Ilmu disemai, kemahiran dicanai. Semangat dilentur, keyakinan digembur. Jangan mudah mengalah jika parang belum diasah. Sesungguhnya Allah SWT suka kepada orang yang terus berubah. Maka, tercatatlah pengalaman-pengalaman manis mengiringi usaha membina nasib ibu-ibu tunggal ini.

Asnaf yang bernaung di bawah nama si miskin, yang dibantu mencipta masa hadapan dengan yakin.

Kegigihan mereka tiada tandingannya

Berjuang demi anak

Anak-anak biasanya pembakar semangat ibu-ibu tunggal. Entah kenapa, sering terjadi suami lari meninggalkan tanggung jawab dengan anak-anak pula terus terbeban di pundak isteri. Banyak kes ditemui, ibu tunggal ini harus menjadi ibu merangkap ayah pada detik yang sama. Siang membanting kudrat, malam pula menjadi tempat anak-anak bermanja.

Rupa-rupanya, hikmah Allah sering tidak terduga. Anak-anak yang tidak berayah itulah sebenarnya yang menjadi pembakar semangat buat ibu meneruskan sisa-sisa usia. Kala pahit menelan kenangan, diherdik dan ditinggalkan suami tanpa harta dan bekalan, anak-anak itulah penghidup cahaya penyuluh kegelapan.

Kilatan mata hitam anak-anak itulah penunjuk masa hadapan. Rengek manja suara anak itulah pencetus kekuatan.

Syarifah Hanafiah, 42, dari Desa Kasih Merbau Berdarah, Sungai Besar adalah contoh ibu tunggal yang perkasa menongkah arus kehidupan. Wanita ini ditinggalkan suaminya yang pulang ke rahmatullah setelah bergelut dengan penyakit buah pinggang.

Namun, kehadiran sembilan anak di sisinya adalah suatu motivasi. Beliau kini boleh berbangga apabila anak sulungnya, Maryam Muneerah Ahmad, 20, bakal bergelar pendidik tidak lama lagi.

Anak sulung beliau ini telah memenuhi impian seorang ibu apabila berjaya menggondol gelaran antara pelajar terbaik di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Batu 38, Sabak Bernam, Selangor.

“Kini, saya sudah mampu berinteraksi dengan baik sekali di dalam Bahasa Arab. Malah saya mendapat pangkat Mumtaz (cemerlang) di dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Dan saya sudah pun beroleh panggilan untuk mendaftarkan diri ke Universiti Malaya bagi menyiapkan kursus Bahasa Arab dan Linguistik. Insya-Allah, tidak lama lagi saya akan mendaftar”.

Demikianlah bangga dan gembiranya perkongsian rasa Maryam Muneerah, anak sulung Syarifah semasa ditemui penulis beberapa tahun lalu.

Demikian jugalah pengalaman dan perkongsian rasa Hamidah Mohd. Nor, 49, dari Sungai Besar. Beliau juga kematian suami pada tahun 2000. Namun, kegigihan membesarkan anak-anaknya yang berjumlah tujuh orang patut diberikan pujian. Beliau sanggup bergolok bergadai demi melunaskan wasiat suaminya untuk memastikan setiap anak mereka mendapat pendidikan yang baik.

Tak benar tak melata, Hamidah mengota apa yang dikata. Kini anak-anak beliau hampir kesemuanya sudah berjaya mencapai apa yang dicita. Anak pertamanya, Hatta, 24, sudah menamatkan pengajiannya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka dalam bidang Elektronik Industri.

Anak keduanya pula, Farhana, 23 mengambil ijazah pendidikan di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Sains Fizik. Anak ketiga beliau, Hidayat, 20 menekuni sarjana mudanya di Universiti Teknologi Petronas, Perak dalam bidang Kejuruteraan Kimia. Anak keempat pula, Fatimah, 19 sudah menggondol 10A di dalam Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2006 dan kini melanjutkan pendidikan ke Republik Chez dalam bidang perubatan.

Mereka menjadi bukti, status bukan penghalang kejayaan diri

Tidak mengaku kalah

Di samping kehadiran anak-anak sebagai bara semangat, ibu-ibu tunggal juga menjadikan keadaan diri mereka yang serba kekurangan itu sebagai pencetus semangat. Mereka tidak mengaku kalah; sebaliknya bingkas menebus maruah.

Mereka seolah-olah wanita besi yang tegar merempuh apa sahaja galangan demi anak-anak dan masa hadapan yang lebih menjanjikan harapan.

Pengalaman Halimatus Saadiah Muhammad, 31, yang berpisah dengan suaminya dan turut membawa bersama dua orang anaknya, boleh dijadikan iktibar. Beliau berusaha sedaya mungkin, dengan lelehan keringat juga air mata.

Semasa penulis menemuramah beliau pada tahun 2006 dahulu, wanita ini sudah pun memiliki sebuah restoran di Sepang. Bahkan beliau telah pun menikmati hasil di sebalik kejerihan dirinya dahulu.

Bahkan tidak mustahil, kedua-dua orang anaknya, Siti Hana Shaukina, 10, dan Siti Hasnah Suhaila, 8, mungkin akan terus merasai keperitan hidup jika beliau sedari awal mengambil jalan mudah menangisi kehidupan tanpa usaha mengubahnya. Inilah dia semangat seorang wanita yang patut dijadikan tauladan. Maka tidak hairanlah, LZS (MAIS) telah menganugerahkan Tokoh Usahawan Berjaya sempena Konvensyen Usahawan Asnaf Zakat 2006 kepada beliau.

Manakala kecekalan seorang wanita lagi, Afidah Sahit, 34, juga wajar menjadi kisah tauladan buat kita. Saat kematian suami pada tahun 2002, beliau mewarisi empat orang anak yang masing-masing berusia mentah. Hatinya sedih dan merawan hiba.

Namun, kemudian beliau bangkit dengan semangat waja. Kini, wanita muda ini mampu berbangga dengan berdiri megah sebuah perusahaan bernama Daily Deliveries Chocolate Muffin.

Pada hari ini, Afidah sudah mampu tersenyum lebar. Sementelah pada Ramadan 2007 yang lalu, beliau mencatatkan satu sejarah manis dalam diari hidupnya sekeluarga apabila beliau telah mampu keluar dari garisan kemiskinan sepenuhnya. Lebih bererti daripada itu, tangannya sendiri sudah menjadi saksi apabila zakat buat pertama kalinya telah beliau lunasi.

“Terharu saya amat terharu. Sungguh saya tidak menyangka, kini saya merupakan seorang pembayar zakat pula. Betul segala pesanan yang saya terima selama ini, nasib kita maka kitalah yang menentukan. Allah tidak akan mengubah diri kita andai kita sendiri enggan mengubahnya.”

Demikianlah ucap beliau keharuan dan penuh kesyukuran.

Mereka menjadi obor buat menerangkan keluarga tercinta

Kesimpulan

Sesungguhnya pepatah Melayu ada menyatakan, jika mahu membantu maka berilah kail sebagai umpan dan jangan berikan ikan.

Maka, berpegang kepada falsafah itulah, LZS (MAIS) sentiasa mendidik para ibu tunggal yang bernaung di bawah payung LZS (MAIS) agar dapat berdikari. Mungkin masih terlalu awal untuk menyatakan kejayaan mereka secara total; namun ini sudah memadai sebagai mukadimah untuk kejayaan masa hadapan yang lebih gemilang. Bagi kami, memperkasakan ibu tunggal adalah satu cabaran dan insya-Allah, kami di LZS (MAIS) ada caranya.

Related Post

Leave a Reply