• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Menanti satu lagi janji nabi

Byadmin

Feb 2, 2010

Dua hari ini, 1 & 2 Februari 2010, saya mengikuti kursus bersama Fitrah Perkasa, milik Ustaz Shukri moderator Halaqah TV9. Apa yang menariknya, di dalam salah satu slot yang diadakan siang tadi, ada disentuh tentang pembukaan Kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fateh atau dikenali sebagai Mehmed II pada tarikh 29 Mei 1453. Menurut hadis, orang yang berjaya membuka Kota Konstantinopel atau dalam bahasa Arab Konstantiniyeh, maka dia adalah sebaik-baik raja dan tentera yang berjaya membukanya, adalah sebaik-baik tentera.

Sebelum Sultan Muhammad al-Fateh berjaya membuka kota ini dari cengkaman Maharajanya yang beragama Kristian, sudah banyak kali cubaan dilakukan oleh para khalifah sebelum dari itu. Sejak zaman Khalifah ar-rasyidin, Khilafah Bani Ummayah, Bani Abbasiyyah sehinggalah ke zaman Bani Uthmaniyyah…banyak kali percubaan sudah dibuat. Masing-masing memasang angan-angan, jika mereka berjaya membuka kota ini, maka merekalah yang diisyaratkan oleh nabi bahawa sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera itulah yang akan membuka kota ini.

Alhamdulillah, kota ini akhirnya berjaya dikuasai oleh Islam. Sultan Muhammad telah menukarkan nama Konstantinopel kepada ISLAMBUL yang bermakna Kota Islam. Namun, selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniyah pada 1924, namanya telah ditukar kepada Istanbul. Maka tepatlah sabdaan Nabi Muhammad SAW saat menggali parit sebagai persiapan dalam Peperangan Khandaq: “Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad) (Foto: Keindahan Isntanbul memang dicemburui oleh sesiapa sahaja)

Kini, peristiwa bersejarah yang menjadi salah satu mukjizat rasul itu telah pun berlaku ratusan tahun dahulu. Namun, rupa-rupanya masih ada satu lagi janji nabi yang belum dilaksanakan atau terjadi, iaitu pembukaan kota kedua milik Kristian iaitu Kota Roma di Itali. Menurut penceramah di dalam kursus tadi, Dr Yusuf al-Qaradawi ada menyebut akan hal ini di dalam bukunya yang bertajuk kira-kira ‘Berita gembira buat Umat Islam,’ dan kata beliau, Dr Yusuf al-Qardawi berfirasat bahawa, Kota Roma Itali itu akan dibuka oleh umat Islam dengan menggunakan senjata yang dicipta oleh musuh mereka sendiri, iaitu internet.

Saya teruja dengan kenyataan ini. Seharusnya saya wajar untuk mula mencari akan hadis berkenaan dan sekiranya mampu, ya…dapat memiliki buku berkenaan lagi bagus. Andai kita berfikiran positif, memang internet adalah ciptaan Barat yang awal-awalnya menjadi senjata untuk merosakkan umat Islam. Namun, berita mutakhir yang diperolehi misalnya seperti yang didedahkan oleh Majalah I edisi Januari 2010, semakin banyak gereja yang menjadi MASJID di sana. Arus ini pula amat kuat di Amerika Syarikat dan di Britain – dua tempat yang dianggap amat kuat anutan Kristiannya. Fenomena ini berlaku setelah gereja banyak yang menuju kebankrapan akibat ditinggalkan para penganutnya sendiri, kemudian dibeli oleh orang-orang Islam lalu dijadikan masjid. Sekadar menyebut beberapa nama, misalnya Masjid Jamek London, Masjid Didsbury, Masjid Brent dan ini semua di Britain (Foto: Masjid Pecham di Britain).

Sebagai umat Islam, hal ini adalah satu motivasi buat kita dalam mendepani nasib agama Islam dan umatnya. Memang kita sedih dengan kesegalaan yang berlaku, namun jangan kita terus menyerah kepada takdir dan waktu. Kita harus mengisi rongga-rongga yang terlohong, khususnya memanfaatkan internet ini demi menyebarkan Islam. Inilah tugas kita, agar kita sama-sama menjadi umat Muhammad SAW yang berusaha, berjasa dan tercatat namanya di hari akhirat kelak, selaku manusia yang berusaha untuk merealisasikan hadis nabi, membuka kota kedua di benua Eropah nanti, amin…!

Related Post

Leave a Reply