• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Mencari Jalan Pulang

Byadmin

Aug 6, 2009

Setakat ini saya masih belum menamatkan telaah saya terhadap naskhah Memoir ‘Mencari Jalan Pulang – Daripada sosialisme kepada Islam’ oleh Kassim Ahmad. Memang begitulah saya, apabila sudah memegang sesebuah buku, maka saya susah mahu mencari titiknya. Namun, apabila sudah diletakkan kembali, lama pulalah masanya untuk ditamatkan. Namun, membaca memoir memang kesukaan saya. Ia adalah kisah benar perjalanan hidup seseorang, susah dan senang, suka duka dan tawa ria dikongsi bersama. Hitam putih kehidupan manusia memang pelbagai, inilah yang mengasyikkan di dalam sebuah memoir.

Dalam memoir ini, Kassim Ahmad kelihatannya masih menebal dengan idelialisme Sosialismenya. Namun, setelah melewati beberapa bab, saya tertarik kepada salah satunya yang bertajuk ‘Terlepas dari muara,’ yang terkandung di dalam bab ketiganya (Perantauan).

Dalam sub bab ini, penulis memaparkan senario kehidupan di Kota London. Oh ya, Kassim Ahmad sempat berkhidmat di School Of Oriental and African Studies, University of London. Dia mengajar subjek sastera dan bahasa Melayu di sana. Wah, hebatkan?! Universiti London mempunyai bidang pengajian sastera dan bahasa Melayu, sedang universiti di Malaysia pula tergila-gila mahu mempopularkan bahasa Inggeris!

Dalam sub-bab ini, dipaparkan bahawa semua orang bisa menjadi apa-apa sahaja di London. Jika mahu menjadi orang popular boleh, orang berilmu boleh dan orang merempat pun boleh. Tiada sesiapa yang akan menentukannya, kecuali diri sendiri. Namun, saya tertarik apabila Kassim Ahmad berbicara soal kebebasan. Dia bertanya, apakah yang membezakan tamadun Barat dan tamadun Timur? Kenapakah kebebasan wujud dalam tamadun Barat tetapi tidak di Timur? Adakah ini bermakna, tamadun Barat jauh lebih baik berbanding Timur ataupun sebaliknya? Semua ini menurut Kassim Ahmad, adalah hasil falsafah kebebasan yang dianuti oleh Barat, iaitu falsah amoral.

“Inilah sebabnya saya namakan bab ini ‘Terlepas dari muara.’Muara melambangkan tempat bertaut, tempat kita berpijak atau sauh. Sebuah kapal, kalau tiada bersauh, akan hanyut dipukul dan dilambung ombak. Demikianlah manusia. Kehidupan kita bermakna, bukan sesia.” (Mencari Jalan Pulang, halaman 131-132)

Benar, bangsa Barat amat mengagung-agungkan kebebasan. Jika kita membelek kitab sejarah, setelah berlalunya era kegelapan (the dark age) dan berlakunya zaman renaissance, Barat bagaikan sudah serik berada di bawah kawalan feudalisme. Mereka tidak mahu sejarah kegelapan itu berulang kembali. Kepahitan dikongkong istana dan golongan agama, meninggalkan parut mendalam. Maka, terlepas zaman itu, bermulalah era kebebasan. Mereka bebas, jika mahu bercinta sesama jenis pun bebas, mahu menukar jantina bebas, mahu bersekedudukan secara bebas pun bebas!

Maka, dalam perbandingan antara dua tamadun – Barat dan Timur – adakah neraca kebebasan ini yang diambil kira. Adakah apabila Timur tidak bebas seperti Barat, maka kita tidak bertamadun? Inilah dia pembezanya. Bangsa Timur mempunyai sauh atau tambatan yang menambat kebebasan itu agar tidak lenyap ditelan gelombang. Cantikkan analorgi Kassim Ahmad?

Sekarang, mari kita nilai secara jujur kehidupan bangsa Timur. Masihkah orang Timur mempunyai sauh yang kejap dan kukuh menambat tali kebebasannya? Saya memejam mata dan menggelengkan kepala. Apa yang ada di Barat, kini ada di Timur. Hampir sama semuanya. Maka, masih tertambatkah tali bahtera di muara? Kassim Ahmad pasti sudah ada jawapannya!

Related Post

Leave a Reply