• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Mencari Keberkatan: Zakat Ada Jawapannya

Byadmin

Dec 22, 2010

Nota: Disediakan untuk akhbar tabloid KABAR

Oleh: Hamizul Abdul Hamid (www.hamizul.com)

Zakat zaman awal Islam

Di dalam sejarah Islam, sejak zakat diwahyukan Allah pada tahun kedua hijrah ia menjadi satu kefarduan yang diterima dengan senang hati oleh umat Islam. Apatah lagi, zakat dari sudut sosial adalah satu bentuk kebajikan. Ia adalah satu sifat kasihan belas yang mendatangkan ihsan hingga akhirnya ia disuburkan lagi oleh agama Islam dengan dijadikan satu daripada rukun Islam.

Banyak kisah menarik pada tahap awal Islam, yang mempamerkan betapa Nabi Muhammad SAW dan para sahabat radiallahuanhum ajmain adalah pelopor kepada sifat kasihan belas dan suka berderma ini. Nabi Muhammad SAW sendiri digambarkan sebagai pemuda al-amin (yang amat dipercayai) yang amat menyantuni golongan miskin dan melarat. Digambarkan pada zaman jahiliyyah dan pra-Islam, golongan kaya di Kota Mekah seringkali mengeksploitasi golongan daif. Di antara keluarga yang ditindas ialah keluarga Ammar bin Yasser.

Muhammad al-amin telah menzahirkan rasa kasih sayangnya apabila baginda sering memberi makanan kepada orang-orang miskin, membantu anak-anak yatim dan memelihara kebajikan ibu-ibu tunggal. Bahkan, sifat kasihan belas nabi menjangkau kepada semua makhluk Allah, termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Nabi sendiri bertuah kerana baginda disokong dan diperteguhkan lagi dengan kehadiran isteri tercinta, Khadijah Al-Khuwalaid r.ha yang telah terbukti di dalam sejarah memanfaatkan harta kekayaannya demi perjuangan Islam.

Para sahabat nabi seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab dan Abdul Rahman bin Auf sendiri adalah golongan yang banyak bersedekah dan berderma. Abu Bakar sendiri menebus Bilal bin Rabah apabila Bilal disiksa oleh tuannya dengan harga beratus dinar. Justeru itu, apabila zakat diturunkan sebagai syariat, umat Islam menerimanya dengan lapang hati sekali.

Faktor keberkatan

Kenapakah zakat melahirkan keberkatan? Jawapan mudah kerana ia adalah anugerah Allah. Apabila Allah SWT mengarahkan sesuatu syariat dilaksanakan, semestinya di sana wujud pelbagai hikmah dan kebaikan. Hikmah bersolat misalnya menatijahkan kejayaan dari aspek disiplin diri. Hikmah haji melahirkan kesatuan ummah dan intergrasi antarabangsa. Hikmah berpuasa pula menumbuhkan ketaatan dan kesabaran kepada Allah SWT. Maka, hikmah zakat pula menghasilkan kehidupan yang adil dan saksama.

Berkat hakikatnya adalah subjektif sifatnya. Ia tidak nampak dek mata namun dapat dirasai oleh mereka yang dipilih Allah. Namun, kehadiran berkat dapat disaksikan oleh mata. Sebagai contoh, apabila rumahtangga yang dibina aman damai, isteri menghormati suami, anak-anak mematuhi ibu ayah dan suami sendiri menjadi suami mithali, adalah pertanda keberkatan. Pertunjuk lain, ialah apabila rezeki dikurniakan Allah sentiasa mencukupi, tidak terjadinya banyak masalah dalam kehidupan, urusan seharian dimudahkan Allah dan sebagainya lagi adalah indikator keberkatan hidup mungkin telah dikurniakan Allah SWT. Firman Allah:

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati” (Al-Baqarah: 274)

Bagaimana Memperolehi Keberkatan?

Inilah realiti berkat. Tidak susah untuk mendapatkannya namun amat sedikit manusia yang berusaha mengejarnya. Bayangkan, dengan hanya memperuntukkan 2.5% daripada rezeki iaitu pendapatan bulanan kepada zakat, sudah memadai untuk memperolehi berkat dari Allah SWT.

Allah SWT sebenarnya Maha Tahu bahawa manusia akhir zaman akan berhadapan dengan pelbagai kemelut kehidupan. Kenaikan harga barang termasuklah minyak petrol, peningkatan gejala sosial, keruntuhan akhlak, jenayah di sana-sini termasuklah bencana alam sebenarnya adalah satu peringatan daripada Allah SWT. Jelasnya, dunia ini dan kita semua adalah milik Allah, maka kita sepatutnya sedar apakah resipi bagi mencari kasih sayang Allah dan di dalam masa yang sama mencari jalan menghindari perkara-perkara yang mendatangkan kebencian Allah.

Oleh itu, di antara perkara yang dibenci Allah ialah kita terlalu menumpukkan kekayaan sehingga mengabaikan hak-hak yang wujud pada harta-harta itu. Inilah sifat yang dipanggil melampau atau ekstrim dalam berharta. Firman Allah:

“Makanlah dan minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak mengasihani orang-orang yang berlebihan” (Al-A’raf: 31).

Sebaliknya, Allah SWT amat menyukai orang-orang yang sentiasa berkasih-sayang, membantu sesama manusia dan memberikan manfaat kepada seluruh alam. Firman Allah lagi:

“Belanjakanlah hartamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik” (Al-Baqarah: 195)

Kesimpulan

Zakat adalah satu jalan dari pelbagai jalan alternatif demi mendapat keberkatan hidup. Jika tidak, masakan Islam mewajibkan zakat dan mengangkatnya sebagai satu daripada lima tiang agama Islam. Apabila zakat dihayati, maka barulah lahir keindahannya. Apakah kita tidak teringin mendapat habuan di dunia dengan hidup di dalam kedamaian dan hidup di akhirat kelak terhindar dari bakaran? Ingatlah, memberikan kehidupan yang baik di dunia dan akhirat juga adalah sebahagian daripada hak-hak badan kita yang perlu ditunaikan. Bak kata hadis nabi:

“Jasad kamu mempunyai hak, adalah menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikannya hak-hak tersebut” (Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, marilah kita berzakat dengan seikhlas hati. Mudah-mudahan kita berbahagian di dunia dan akhira nanti. Wallahua’lam.

Penulis merupakan eksekutif Perhubungan Awam di sebuah institusi zakat di Malaysia dan boleh dihubungi menerusi e-mail hamizul.ah@gmail.com.

Related Post

Leave a Reply