• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Mencari ketenangan di kampung halaman

Byadmin

Apr 30, 2011

Kala terdengar lagu-lagu yang bernuansakan kedesaan (misalnya Di Desa Kasihku Tertumpah nyanyian Datuk D.J Dave dan Desa Tercinta nyanyian Nora atau Balik Kampung dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad), jiwa saya selalu meronta-ronta untuk segera pulang ke kampung halaman. Terbayang sudah di pelupuk mata akan kehijauan alam rimba yang memagar kampung, aliran air sungai yang sejuk dan jernih, kabus pagi yang menyerkup keheningan kala bersarapan, siulan pagi beburung yang meraikan alam ciptaan Tuhan. Tidak ketinggalan, pastinya wajah-wajah mulus emak, abah, opah dan semua sanak-saudara di kampung tercinta. Wajah mulus yang ceria menyambut kehadiran kita kala pulang ke desa.

(Jambatan cantik Raja Nazrin Shah menuju ke Lenggong melintasi Tasik Raban. Foto diambil dari http://www.pelanconganlenggong.my/tasikraban.html)

Sebab itulah, pabila cuti menjelma, maka saya teruja amat untuk segera pulang ke desa. Pulang ke desa juga seperti ‘recharge’ kembali jiwa dan minda kita. Di kampung yang damai, kita mampu mendapat ketenangan yang asli dan dapat menyegarkan diri yang letih daripada keserabutan kota, jalanan yang macet, asap dan kebisingan juga pastinya kelelahan menuntasi semua pekerjaan. Pastinya di pejabat, setinggi atau serendah mana pun kedudukan kita, maka kita pasti dihadapkan dengan pelbagai kerja rutin dan juga ‘deadline’ yang acap kali menjerakan. Semuanya mesti dilangsaikan menurut jadual, memenuhi sasaran KPI dan itu semua belum lagi belum dicampur darab dengan arahan yang datangnya tetiba. Semuanya merenggut stamina dan memerlukan ketajaman minda yang ‘luar biasa’.

Nah! Di kampung berbeza. Di kampung, kita boleh bersarapan pagi di kedai kopi, bersembang itu dan ini dengan orang-orang yang meraikan kita seadanya. Mereka tidak pula galak bersembang isu-isu besar – misalnya projek juta-juta – atau kala berbual, bualan itu terbantut dengan deringan ‘hand phone’ yang sering memualkan – maaf, apa nak buat, orang memanggil kita selalunya tidak kira masa – tapi di kampung, jarang itu berlaku. Kita boleh melabun sakan, misalnya kisah Pak Uda jual ikan sungai, Pak Chat nak buat kenduri kahwin anak, Mak Hawa jual nasi lemak – ya, isu yang amat santai dan ringan yang selalunya berrantaian di sekitar kita.

Saya juga amat terkesan dengan sikap orang-orang kampung yang santun dan hormat. Kala berselisih di jalanan, mereka sanggup memberhentikan motorsikal dan turun bersalaman dengan kita. Hanya sekadar bertanya bila sampai ke kampung, berapa lama bercuti dan bersalaman lalu pamit. Selalunya, soalan itu amat lazim dan sudah seperti FAQ pula. Boleh sahaja mereka mengagak, kita sebenarnya mungkin sampai semalam, cuti pula mengikut cuti yang diperuntukkanlah (seperti mana dalam kalendar biasanya) dan selalunya kita akan pulang ke bandar apabila cuti habis. Tapi itulah, keramahan dan kesantunan mereka selalunya menyebabkan mereka tetap bertanya soalan-soalan yang berbentuk lazim dan FAQ itu, ya, mereka mungkin sekadar berbasa-basi tetapi itulah sebenarnya pertanda kelunakan hati dan keikhlasan mereka.

Paling menyeronokkan juga ialah kala kita tersua kembali dengan rakan-taulan sepermainan waktu kecil-kecil dahulu yang sudah lama tiada khabar dan cerita, sama ada terserempak di pekan kecil di kampung, di pasar minggu atau di pasar malam. Lalu saling bersalaman, bertanya khabar dan bertukaran nombor ‘hand phone’ dan apa yang patut. Terasa benar diri kita sudah pun di usia tua, maklumlah masing-masing sudah beranak-pinak, ada yang rambutnya sudah beruban dan badan yang dahulunya ‘slim’ sudah berubah berisi. Seronok lagi kalau dapat kembali menghimbau dan mengenang kisah lama dan mendapat info terkini tentang perkembangan sahabat-sahabat yang kini bertebaran ke mana-mana.

Namun, bagi saya yang amat menjentik naluri ini kala sampai di kampung halaman, ialah menatap kesyahduan wajah emak, abah dan opah (termasuklah abah dan mak mertua) yang sudah sekian lama berbakti kepada kita. Pada wajah mereka, sungguh…ada kerinduan yang tidak terkatakan. Pada redup mata mereka, ada naungan kasih-sayang yang tidak terungkapkan. Juga kalimah kecintaan yang semuanya dizahirkan pada sambutan dan peluk erat penuh kemesraan. Bagi saya, itulah nikmat termahal, saat dapat menjejakkan kaki di laman rumah di kampung halaman tercinta.

Nota: Saat ini saya sekeluarga sedang menikmati cuti di kampung. Sebentar tadi selepas solat Subuh berjamaah, saya dan abah mertua ke Pekan Karai, menikmati kudapan pagi (ada roti canai, nasi lemak dan kundas) sambil melabun dengan orang-orang kampung. Di rumah, emak mertua masakkan kuah durian. Sebentar lagi saya akan pulang ke Lenggong pula. Oh ya, rumah abah mertua saya sudah ada Streamyx…tu yang dapat ‘up-date’ story’ dalam blog.

Related Post

Leave a Reply