• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Mencari Mursyid (4)

Byadmin

Aug 12, 2009

Saya mengajak beberapa orang sahabat di asrama untuk sama-sama menyertai Jemaah Tabligh. Kiranya, saya adalah karkun yang pro-aktif. Saya berjaya menarik beberapa orang kawan, antaranya yang saya masih ingat ialah Mohd Faizal. Tapi, saya paling aktif. Bahkan penyertaan saya ke dalam jemaah ini juga menyebabkan sesetengah orang merasa terkejut. Kenapa ya?

Ya, sebelum saya disapa bayu hidayah sehingga menyertai Tabligh, saya adalah remaja yang amat meminati rock. Demam ‘rock’ melanda tanah air dan kala itu kumpulan rock tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Belajar di Taiping lebih mendedahkan saya kepada suasana ini. Ramai pelajar SMKE7 yang menggilai irama rock dan kami menzahirkannya dengan corak pakaian kami (Foto: Search adalah antara ikon rock yang digilai era 1980-an).

Bayangkan, dalam keterujaan menyarung seluar ketat dan berbaju singkat hingga nampak pusat, tiba-tiba saya berubah menyarung serban di kepala! Pastilah ada suatu kekuatan luar biasa yang mampu mengubah corak pandangan saya, khususnya dalam mendepani kehidupan buat masa muka.

Kala itu, sewaktu membaringkan diri di atas tilam yang berlubang-lubang di asrama, di dalam kelambu dan lampu yang dipadam mengikut waktu, saya sering memikirkan ke mana arah tuju saya apabila usia saya mencecah 30 dan 40 tahun akan datang. Adakah saya akan terus mengekalkan imej rock saya? Saya cuba membayang-bayangkan, rupa saya ketika usia sudah diangka ’40’ dan kala itu masih mengenakan jeans ketat dan baju singkat serta rambut panjang mengurai. Lebih tidak mampu dibayangkan, saat itu saya pastinya sudah berkahwin dan apakah masih relevan bagi saya untuk mengekalkan imej rock itu di hadapan anak-anak saya? (Foto: Amy sendiri sudah berubah kini…)

Sebenarnya, itulah rupanya cara manusia mencari hidayah. Dengan akal anugerah Allah SWT, kita sebenarnya boleh berfikir dan terus berfikir. Seperti mana Nabi Ibrahim a.s berfikir mencari Tuhan, maka baginda berusaha menggunakan akalnya. Disangkanya bulan itu Tuhan, oh tidak…disangkanya matahari itu Tuhan…pun tidak. Hinggalah akhirnya Allah SWT, Tuhan yang sebenar-benarnya, menurunkan hidayah kepada Nabi Ibrahim a.s. Firman Allah SWT:

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) karena Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan mematikan,” orang itu berkata: “Saya dapat menghidupkan dan mematikan”, Ibrahim berkata: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat,” lalu terdiamlah orang kafir itu; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim,” (al-Baqarah: 258)

Inilah detik permulaan bagi saya, untuk mula menggunakan akal fikiran anugerah Allah SWT ini sebagai neraca membuat pilihan. Sebelum itu, saya tidak pun memikirkan apakah episod yang akan mendatang. Saya tidak terfikir pun, bahawa hidup ini adalah suatu pertanggungjawaban. Setiap gerak kerja, amal perbuatan dan kata-kata, akan dicatat di sisi Allah SWT. Semuanya akan dihisab. Semuanya akan diberikan balasan di akhirat.

Maka, saya berterima kasih juga kepada jemaah Tabligh ini, lantaran sedikit sebanyak perubahan dalam diri telah berjaya dilakukan, berkat saya mengenalinya. Bahkan saya masih ingat kata-kata emak di kampung saat melihat perubahan positif itu. Sebelum itu, emak sebenarnya amat bimbang melihat gaya dan penampilan saya. Emak hanya melihat dengan ekor matanya apabila saya mengenakan seluar ketat dan baju penuh contengan dan mula berkawan dengan anak-anak muda serta melepak di tepi jalan raya. Bahkan saya menjadikan bus stop di kampung sebagai tempat melepaskan geram dan hobi. Saya membeli pen cecair pemadam (liquid paper) yang berwarna putih dan saya tulis di bus stop itu nama-nama kumpulan rock yang saya hafal. Penuh akhirnya di atas dipan di bus stop itu saya conteng. Saya tidak rasa bersalah sedikit pun, bahkan terbit rasa bangga apabila ada anak-anak muda menegur. Bagi saya, kemampuan mengenali dan menghafal berpuluh-puluh bahkan beratus-ratus nama kumpulan rock itu, adalah suatu kelebihan yang wajib dibanggakan dibandingkan anak-anak muda kampung yang mungkin hanya mengenali beberapa nama kumpula rock sahaja.

Namun, dalam diam emak dan opah memerhati dan mereka sedikit pun tidak merestui. Emak berdoa pastinya. Opah bermunajat tentunya. Maka, tatkala saya berubah dengan menyarungkan kopiah putih ke kepala, emak sudah pasti gembira. Saya tidak nampak air mata gembira emak yang mengalir; tetapi saya rasainya dari getar suara emak di bibir. Emak pernah berkata: “Mak tidak lupa mendoakan agar anak mak selamat. Alhamdulillah, nampaknya Allah kabulkan doa mak…”

Kini, saya termenung jauh mengenangkan kisah itu. Sesungguhnya, akuilah bahawa doa seorang ibu itu amat mustajab sebenarnya. Maka, tidak hairanlah syurga itu terletak di telapak kaki mereka…

(Bersambung lagi, insya-Allah)

Related Post

Leave a Reply