• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Mencari mursyid (siri 2)

Byadmin

Jul 30, 2009

Saya tahu, dalam kehidupan ini kita perlu ada panduan. Jika zaman dahulu, umat Islam yang hidup pada zaman nabi, mereka bertuah kerana Rasulullah SAW adalah panduan mereka, role model yang menjadi tauladan sepanjang masa. Apabila mereka ada masalah, maka mereka segera berjumpa nabi dan mendapatkan penjelasan. Tapi, kini nabi sudah tiada dan yang tinggal hanyalah waris para nabi, itulah ulamak. Sebab itulah Nabi Muhammad SAW menegaskan: “Ulama’ itu pewaris para nabi,” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Semasa saya mendekati Jemaah Tabligh, saya adalah budak mentah yang tersangat naif dalam bidang dakwah. Saya begitu terpesona dengan petah bicara para karkun tabligh yang berdiri sebagai penceramah, mereka memanggil ceramah ini sebagai ‘bayan’ dan tukang ceramah ialah ‘tasykil’ – jika saya tak salah-lah. Saya duduk dalam halaqah mereka di Masjid Pakistan Taiping, saya dengar buah bicara yang disampaikan, antara ucapan penstasykil yang masih terkesan hingga kini ialah:

“Tuan-tuan yang mulia, bersyukurlah pada Allah SWT kerana telah memilih kita untuk duduk di dalam majlis yang mulia ini, iaitu majlis fikir atas iman dan amal. Saat ini, ribuan orang di luar sana, mereka tak dapat hidayah Allah, tapi kita, Allah SWT kumpulkan di sini…”

Saya suka memandang ke wajah orang yang berucap. Apabila mata bertemu mata, saya dapat rasakan keikhlasan dan kepuasan. Apa yang disampaikan pula, dapat mengalir dengan deras tetapi tenang ke tasik minda saya. Lama-kelamaan, saya jatuh cinta dengan Jemaah Tabligh. Saya jadi kasmaran pada suara pentasykil yang akan berdiri seusai solat Maghrib bagi membicarakan soal iman dan amal. Saya jadi rindu pada suasana jemaah yang saling mengambil berat antara satu sama lain, saling memuliakan dan saling memberi motivasi dalam beribadat. Saya jatuh hati kepada jemaah ini juga, kerana mereka amat menitik beratkan sunnah Rasulullah.

Kemuncak kepada komitmen saya kepada jemaah ini, saya sanggup menafkahkan diri untuk keluar tiga hari pada tahun 1988. Seingat saya, ada dalam dua atau tiga orang student yang ikut keluar bersama. Memandangkan saya masih student kala itu, baharu di tingkatan dua, jadi saya mendapat sedikit keistimewaan. Misalnya, saya diberikan sedikit diskaun wang bayaran makanan. Bahkan, dek kerana kemampuan saya menghafal surah-surah pendek dalam al-Quran, mereka (yakni para karkun senior) jatuh hati dengan kebolehan saya. Mereka seakan-akan gembira kerana saya memilih Jemaah Tabligh sebagai wadah dakwah bersama-sama mereka.

Dalam Jemaah Tabligh, saya belajar banyak benda. Semuanya berdasarkan ucapan dan perlakuan para karkunnya. Misalnya, jika mahu berjalan membuat usaha dakwah (gasy), maka kami kena mengikuti amir dan mematuhi arahannya. Kami juga akan memilih laluan sebelah kanan, kerana kanan itu lebih berkat. Apabila bergerak dari rumah ke rumah, maka kami kena menjaga adab. Sepanjang perjalanan, kami tidak digalakkan berbual kosong melainkan berzikir kepada Allah. Apabila mendatangi rumah orang, jika memberi salam sehingga tiga kali tetapi pintu masih berkunci, maka tinggalkanlah. Jika pintu dibuka, maka tahan pandangan mata, jangan terus melilau memerhati apa yang ada di dalam rumah.

Di surau atau masjid pula, sepanjang usaha gasy dilakukan, mesti ada seorang karkun yang mengaji al-Quran memohon Allah SWT memberikan hidayah kepada setiap orang yang kami jumpa, agar mereka sudi mendengar apa yang bakal kami sampaikan dan akhirnya sama-sama datang ke masjid berjemaah.

Saya juga belajar bagaimana adab makan berjemaah. Bagaimana satu hidangan di dalam talam, boleh memenuhi keperluan lima orang. Bagaimana cara duduknya yang betul, duduk cara sunnah yang secara automatik pula akan mengawal caera pemakanan kita. Maka, kita tidak akan makan berlebihan hingga kekenyangan. Bukankah (kononnya) Nabi ada menyatakan: “Kami adalah umat yang makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang,” (Hingga kini baharu saya terjumpa bahawa ini bukanlah hadis nabi, tetapi ungkapan hukamak – wallahua’lam).

Saya juga belajar, apakah hikmahnya makan berjemaah. Apa yang patut dibuat dan apa yang tidak patut dibuat. Misalnya, jika mahu memulakan makan, siapa harus membaca doa dan siapa yang harus memulakannya. Bagaimana nak makan dalam dulang dengan semuanya berkongsi bersama. Jika kita ditakdirkan mahu berhenti dahulu, apakah yang patut kita lakukan. Boleh bangun terus begitu sahajakah?

Saya masih teringat kepada Abang Halim, senior saya di asrama dan individu yang bertanggung jawab memperkenalkan saya kepada Jemaah Tabligh. Beliau begitu fanatik kepada sunnah makan ini, bayangkan…apabila kami masing-masing sudah makan, beliau akan menyapu kuah-kuah di dalam dulang dan menghirupnya. Anda mampu lakukan? Saya…maaf, tak sanggup. Tapi, abang Halim sudah buktikan tahap ukhuwwahnya!!!

Dalam pada itu, saya juga belajar membahagikan tugasan dalam jemaah ini. Kami akan membuat jadual penggiliran, siapa tukang masak, membeli bahan mentah di kedai, menyampaikan bayan, tukang azan dan sebagainya. Bahkan sebelum meninggalkan masjid atau surau, kami akan bergotong-royong membersihkan kawasan rumah Allah itu. Kami tak mahu masyarakat memandang negatif kepada jemaah, kerana setelah kami pergi bersepah pula segala sampah. Kami akan susun kembali sejadah dan kitab, kami kutip dan kumpulkan segala sampah, bakar atau kumpulkan setempat. Setelah bersih, baharulah kami boleh bergerak pulang (Bersambung lagi…insya Allah).

Related Post

Leave a Reply