• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Mencari seorang mursyid?

Byadmin

Jul 29, 2009

Lama dahulu, sewaktu saya mula mengenali jemaah, saya amat mengagumi jemaah Tabligh. Jemaah ini, amat menekankan aspek amalan sunnah nabi. Mereka juga amat menyantuni sesama ahli jemaah yang mereka kenali karkun. Waktu itu, tahun 1988, saya merasa nyaman sekali di kelilingi para karkun yang berjanggut panjang, bergamis labuh dan berkayu sugi (gambar bawah ialah Masjid India KL, markaz Tabligh sebelum mereka berpindah ke Masjid Sri Petaling) .

masjid-indiaSungguh pun hanya beberapa tahun bersama Jemaah Tabligh, namun banyak benda yang saya pelajari daripada jemaah ini. Misalnya, meraikan seorang kawan yang dipanggil ‘ikram muslimin’, membiasakan diri dengan amalan sunnah -misalnya makan sedulang kongsi lima orang -, memakai serban tiap kali solat – dan ini saya istiqamah hingga kini -, mengenakan wangi-wangian dan budaya ta’lim wa ta’lum (mengajar dan belajar).

Saya juga sempat memesrai jemaah al-Arqam, pernah merasa tinggal serumah dengan ahlinya, menziarahi perkampungan al-Arqam Sg. Penchala dan mengikuti halaqah mereka. Banyak perkara baik yang dibawa oleh Jemaah al-Arqam dan memberikan kesan agak mendalam juga kepada saya. Misalnya, budaya mengamalkan pakaian sunnah, mereka amat menekankan pemakaian jubah dan serban. Saya sendiri suka berjubah, bahkan semasa di kampus dahulu, sayalah sorang-sorang yang memakai jubah ke dewan kuliah! (Yang muslimat tu, lain ceritalah…)

Al-Arqam juga berjaya menyemai sifat kasih-sayang sesama pengikutnya. Semasa saya berkawan dengan beberapa orang pengikut jemabuyaaah ini yang membuka kedai al-Arqam di Pudu Raya (sekitar tahun 1990-an), mereka begitu menyantuni kenalan baharu. Jika naik teksi, mereka segera membayarnya untuk kita. Jika makan di restoran, mereka juga mendahului kita membayarnya. Bahkan, sewaktu di rumah jemaah mereka, saya dapati mereka masih menjaga batas-batas pergaulan. Gurau mereka pun beralas, tidaklah melampau. Namun yang paling ketara, dalam jemaah ini mereka ada idola mereka, iaitu mursyid mereka, Abuya Ashaari Muhammad (foto beliau kat sebelah ni lah…).

Apa-apa sahaja yang datangnya daripada abuya, mereka akan taat dan patuh, tanpa banyak bicara. Nasyid yang kita dengar tak enak pun, jika dikarang lirik dan lagunya oleh abuya, sedap pada gegendang mereka. Pendek kata, abuya itulah segalanya. Bahkan, abuya dijadikan contoh tauladan terunggul buat mereka. Cara berpakaian, cara bercakap, cara berjalan, minda abuya dan segalanya, adalah titipan murni yang wajib diteladani.

Kemudian saya berkenalan dengan sebuah jemaah lain yang terlibat dalam politik. Jika dahulu, jemaah Tabligh dan al-Arqam, mereka adalah jemaah yang lebih bersifat ‘non-partisan’, namun jemaah ini totally partisan. Maka, bermulalah sebuah episod baharu saya dalam meladeni hidup berjemaah dan mencari seorang mursyid yang benar-benar mursyid pimpinannya… (Bersambung akan datang, insya-Allah).

Related Post

Leave a Reply