• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Mencari sesuap rezeki

Byadmin

Jul 6, 2009

Petang semalam, saya ke Pasar Borong Selayang. Setelah membeli dua ekor ayam, saya ke gerai sayur-sayuran. Saat lalu di gerai berdekatan, saya melihat seorang kanak-kanak lelaki dalam baya 10 – 12 tahun, duduk di galang basikalnya, dengan sebuah beg di sandarkan pada pengayuh dan di handle basikalnya penuh dengan gayutan petai.

Dia melihat ke arah saya, tanpa sepatah suara. Hati saya berbisik, apa budak sebesar ini buat di pasar ini, dalam lingkungan jam 5.00 petang. Jika anak saya, pasti lebih seronok bergelongsor di padang permainan atau berlawan angin menarik layang-layang.

“Assalamua’laikum! Petai ini adik jualkah?”

– Angguk.

“Yang ini berapa ringgit?” (Seraya saya menunjukkan seikat petai yang mengandungi tiga papan petai)

– Yang ini RM2 dan yang ini RM4 (Sambil dia menunjukkan dua ikat petai yang berbeza bilangan jumlah papannya).

“Okay, bagi pakcik yang ini…” Saya mengunjuk ke arah sikat petai yang berharga RM4.

Saat membayar, saya tergerak mahu bersedekah RM1, tetapi ada baiknya saya tambah lagi RM1 dan saya beli pula seikat petai yang berharga RM2 tadi. Saya fikir, itu lebih menyeronokkan hatinya, kerana dua ikat petainya laku dan dia memperolehinya setelah berusaha menjualnya.

Saat sebelum pulang, saya memohon izin memfotokan potretnya yang masih setia di atas basikal. Dia mengizinkan. Saya berazam mahu mengisahkan perkara ini kepada anak dan isteri saya, bahawa untuk hidup, kita mesti mencari rezeki. Apatah lagi bagi anak-anak kita, yang kadangkala tidak pernah diberikan apa-apa tanggung jawab pun, semua sudah tersedia, wang saku, wang yuran, wang tambang kenderaan, wang buku dan alatulis dan sebagainya…bimbang mereka tidak menginsafi, bahawa daripada setiap sen yang mereka belanjakan itu, itulah sesuap rezeki yang perlu dicari dan ia tidak datang sendiri. Inilah kisah, mencari sesuap rezeki!

Related Post

Leave a Reply