• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

“Mendekati artis di lorong mereka”

Byadmin

Dec 31, 2009

Artis di Malaysia mempunyai sisi yang tersendiri dalam kehidupan masyarakatnya – khususnya muda-mudi dan tua-tui yang akrab dengan hiburan. Media massa memberikan mereka ruang yang selesa. Kisah mereka mengatasi kisah cendikiawan apatah lagi agamawan. Kematian salah seorang daripada mereka sering diberikan liputan besar berbanding matinya seorang ahli agama.

Pihak kerajaan juga memberikan ruang yang selesa kepada mereka. Jika mahu mendekati masyarakat, mereka boleh mengaturkan konsert secara besar-besaran dan tidak perlu tauliah. Mereka boleh menghiburkan seramai mana manusia, sampai santak jam berapa pun tak kisah. Jauh berbeza dengan layanan kepada ahli agama, yang bila mahu mendekati masyarakat maka wajib ada tauliah dan permit ceramah. Perhimpunannya pula sering diawasi oleh sang mata-mata, takut ada sesuatu yang tak betul diisi sama.

Demikianlah hebatnya sang artis di negara kita. Namun, saya sering terfikir bahawa mereka adalah manusia yang sama dengan kita. Mereka ada hati dan akal yang boleh menimbang dan memikirkan sesuatu yang baik. Maknanya, jika mereka didekati dan dididik dengan ilmu dan akhlak, kekallah sebagai artis tak mengapa; namun mereka mengajak manusia kepada Allah.

Inilah lompang dakwah yang ada di Malaysia. Di kalangan agamawan, tak nampak sangat siapa yang berusaha bersungguh-sungguh mendekati mereka. Bukan tidak ada, tetapi bilangannya kecil. Maknanya, ia bukanlah suatu inisiatif yang serius – Seserius usaha memenangi sesuatu pilihan raya!

Kita pasti teringat kepada beberapa nama yang kini makin dekat dengan Islam. Amy Search, Aishah, Ogy Ahmad Daud, Radzi Melissa, Erma Fatima dan ramai lagi. Mereka ini sebenarnya adalah pintu-pintu yang jika dibuka, nescaya akan membuka lebih banyak lorong lain di dalamnya. Nescaya akan ramai lagi yang dapat disentuh. Nescaya akan lebih ramai yang tersentuh. Soalannya, siapa yang akan memulakannya?

Jujurnya, peranan ini wajar didominasi oleh gerakah dakwah di Malaysia. Kita ada pelbagai jemaah, ada Abim, ada JIM, ada Hizbut Tahrir, ada Tabligh, ada Pas…jadi siapakah di kalangan jemaah ini yang akan menjuarainya?

Related Post

Leave a Reply