• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Menelusuri Agihan Zakat di Selangor (Siri 1)

Byadmin

Jun 2, 2011

 

Oleh Hamizul Abdul Hamid

Persepsi umum bahawa zakat hanya terbatas kepada golongan fakir dan miskin sahaja, perlu diperbetulkan. Hakikatnya, zakat adalah modal penjanaan ummah yang cukup luas. Ia mampu digembeleng secara konstruktif kepada semua lapisan masyarakat, selagi mana mereka termasuk di dalam kategori asnaf zakat, iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibni sabil (rujuk surah at-Taubah, ayat 60).

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyahut seruan perubahan dengan sentiasa meraikan keperluan baharu asnaf. Pendefinisian kembali asnaf misalnya, adalah inisiatif untuk menjamin agar tidak berlakunya kegagalan membantu atas masalah yang remeh-temeh. Ambil sahaja aspek fisabilillah, andai pandangan konservatif bahawa ia hanya terbatas kepada aspek mendanai peperangan sahaja, maka bagaimanakah zakat mampu berperanan secara aktif dalam kondisi aman.

Untuk itulah, LZS mentafsirkan kembali keperluan asnaf agar relevan dengan keperluan zaman. Lapan asnaf zakat yang disebutkan secara qati’e (putus) di dalam nas naqli al-Quran tidak berubah; namun diperkukuhkan dengan penjenamaan baharu yang terangkum di dalam lima program teras pembangunan asnaf. Ia merangkumi program Pembangunan Sosial, Pembangunan Ekonomi, Pembangunan Pendidikan, Pembangunan Insan dan Pembangunan Institusi Agama atau ringkasnya SEPII.

Demi memastikan kejayaan SEPII, LZS berusaha mempelbagaikan corak dan pendekatan bantuan zakat. Maka, untuk itu lahirlah sebanyak 112 jenis bantuan berdasarkan keperluan asnaf zakat yang merangkumi enam aspek utama atas keperluan asas kehidupan insan, iaitu keperluan kepada perlindungan, makanan, pakaian, perubatan, pengangkutan dan juga pendidikan.

Sebagai contoh, di bawah aspek perlindungan maka LZS mensasarkan, setiap asnaf yang memerlukan hendaklah diberikan rumah sebagai tempat berlindung. Hal ini sejajar dengan kehendak Islam, bahawa rumah adalah elemen terpenting bagi memulakan agenda perubahan sosial. Allah SWT menyatakan: “Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal (yang mententeramkan),” (an-Nahl: 80). LZS melihat, tanpa keperluan pertama ini dipenuhi, maka upaya penjanaan transformasi asnaf yang lain akan lebih sukar direalisasikan.

Untuk itu, bagi tahun 2010 sahaja LZS telah membelanjakan sebanyak RM12.92 juta bagi tujuan pembinaan rumah ini, manakala pada tahun 2009 pula sebanyak RM10.27 juta dan 2008 pula RM2.99 juta diperuntukkan. Secara keseluruhan juga, selama tiga tahun ini sahaja sebanyak lebih 500 unit buah rumah telah dibina. LZS juga telah memperuntukkan sebanyak RM7.63 juta bagi tujuan pembelian pangsapuri bagi menangani kemelut kemiskinan bandar yang meliputi sejumlah 180 unit buah rumah di seluruh Selangor.

Aspek perubatan juga menjadi keutamaan. Di bawah jenama SEPII, LZS memastikan mereka yang layak hendaklah disantuni dengan biaya perubatan yang optimum. Ini memandangkan, kos bagi memperolehi rawatan seperti rawatan dialisis, pelbagai pembedahan, rawatan barah dan sebagainya lagi kian meningkat saban hari. Tanpa sokongan kewangan, maka umat Islam yang berpendapatan sederhana sekalipun gagal memperolehi rawatan yang sesuai dan ini pastinya memberikan kesan kewangan yang serius dan seterusnya membuka ruang kepada dampak sosial yang berisiko kepada diri dan keluarga.

Oleh itu, saban tahun LZS memperuntukkan dana yang begitu besar bagi pembiayaan kos rawatan ini. Bagi tahun 2010 misalnya, sebesar RM25.24 juta telah dibelanjakan bagi tujuan perubatan. Ia telah meningkat berbanding hanya RM23.17 juta pada 2009 dan RM15.78 juta pada 2008.

Masih lagi di bawah aspek sosial, LZS juga amat prihatin dengan keperluan harian asnaf yang melibatkan saraan kehidupan, khususnya asnaf fakir, miskin dan mualaf. Maka, LZS menawarkan kepada mereka beberapa bantuan, misalnya bantuan makanan bulanan, kewangan bulanan dan bantuan menyambut Ramadan dan hari lebaran. Bagi bantuan kewangan sahaja, sebanyak RM30.21 juta telah diperuntukkan pada tahun 2010, RM35.45 juta bagi 2009 dan RM15.59 juta pada 2008.

Isu-isu sosial umat Islam tidak sekadar berkitar mengenai kehidupan peribadi dan keluarga. Di LZS, aspek kehidupan komuniti secara umum turut dijadikan agenda bertindak secara berperancangan. Misalnya, dalam membantu pihak kerajaan dan entiti berkuasa agama menangani gejala murtad dan penyelewengan akidah, maka LZS turut membiayai usaha-usaha pemulihan akidah tersebut. Oleh itu, LZS bertanggung jawab mendanai Baitul Iman yang merupakan pusat pemulihan akidah di Selangor.

Begitu juga dalam isu berkaitan keruntuhan moral dan akhlak, khususnya dalam kalangan remaja. LZS turut berperanan secara aktif dengan membiayai Baitul Ehsan, iaitu sebuah pusat sehenti bagi usaha memulihkan akhlak anak-anak remaja yang terkandas dalam kancah kerosakan sosial. Bagi kedua-dua tujuan ini, ia dikategorikan di bawah dana asnaf riqab, yakni perhambaan bentuk moden yang tidak lagi berbentuk fizikal; melainkan bersifat perhambaan spiritual dan minda yang perlu dimerdekakan agar kembali ke jalan yang benar.

Aspek hutang juga mendapat singgungan LZS. Hutang yang dimaksudkan adalah bersifat keperluan dan menepati piawaian syariah, sama ada atas keperluan peribadi dan keluarga mahu pun maslahah amah, misalnya membiayai badan kebajikan sehingga terhutang. LZS komitted menangani kes-kes seumpama ini, memandangkan hutang yang dilakukan bukanlah berbentuk suka-suka; melainkan natijahnya adalah demi masalahah ramai manusia dan juga meninggikan agama.

Kesimpulan awal pada perbincangan kali ini, LZS menjana SEPII agar ia selari dengan keperluan semasa dan tidak bersifat rigid tetapi masih dalam batas-batas agama. Untuk itu, LZS sentiasa bersikap proaktif, terbuka menerima pembaharuan dan paling utama, peka deria rasa untuk terus mendengar denyut nadi ummah dalam melebarkan agihan zakat di Selangor. Wallahua’lam.

Nota: Dalam siri akan datang, pembaca akan terus didedahkan bagaimana LZS mentransformasi asnaf dengan berpandukan SEPII dalam aspek ekonomi sebagai teras perubahan.

Related Post

Leave a Reply