• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Mengambil iktibar israknya nabi

Byadmin

Jun 21, 2011

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid

Israk dan mikraj adalah satu peristiwa besar dalam sejarah Islam. Ia berlaku penuh hikmah dan pengajaran. Menambahkan keimanan bagi yang mahu mengambil pengajaran. Menimbulkan ketakwaan bagi orang-orang yang berkesedaran. Mencetuskan kegerunan bagi manusia yang tumbuh dalam hatinya rasa bertuhan.

Maka, acap kali datangnya tarikh 27 Rejab, kita pun dilagukan kembali dengan kisah besar ini. Kisah bagaimana nabi dibedah dadanya oleh Malaikat Jibril, lalu dibawa Buraq bagi merentas waktu dan bumi ke Baitul Maqdis serta kisah Nabi Muhammad SAW mengimamkan seluruh nabi lain mendirikan solat di Masjidil Aqsa. Buraq langsung membawa nabi merentas malam ke langit yang berbalam.

Kisah demi kisah dikupas. Bagaikan penglipur lara, ramai orang kusyuk mendengar cerita. Hakikatnya, kita tidak pernah rasa jemu untuk mendengar kisah ini lagi dan lagi. Biar pun usia kita sudah menjangkau separuh abad, namun tidak pula terasa bosan mengulanginya. Biarlah para penceramah bercerita, kita masih sudi mendengarnya.

Namun, apalah ertinya sekadar suka mendengar jika tiada apa-apa perubahan yang terjadi ke atas diri kita. Ibarat menyemai benih, bila ia cambah dan mulai menampakkan sulurnya, kita pasti terasa gembira. Hari demi hari, kita bajai dan sirami dengan air. Lalu sulur pun meninggi hingga akhirnya tumbuh menjadi sepohon pokok yang teguh, berdaun lebat, berdahan kukuh dan berbunga kemudiannya meluruhkan buah-buahan manis buat kita.

Inilah natijah daripada sebuah penyuburan kepada pokok. Maka, kisah israk dan mikraj yang dilipurkan kepada kita, hendaknya ia bersifat seperti baja dan humus yang mampu menyuburkan rohani dan akli. Mentransformasi diri menjadi manusia yang benar-benar merasai kewujudan Tuhannya – dalam setiap gerak laku, dalam setiap hala tuju.

Orang yang beriman, wajib sedar bahawa israk dan mikraj lebih daripada sekadar kisah pengembaraan nabi. Ini kerana, di sepanjang perjalanan nabi itu, pelbagai peristiwa telah dipaparkan. Bukan satu kisah, tetapi pelbagai kisah. Misalnya, dipaparkan keadaan usia dunia yang sudah begitu tua, dipaparkan api yang marak menyala, dipaparkan juga pelbagai keadaan manusia.

Nabi melihatnya secara nyata. Kisah manusia yang dicampakkan ke dalam neraka, siapa pula yang mendominasinya. Nabi juga dibawa ke syurga, lalu nabi lihat siapa pula yang meramaikannya. Nabi melihat siksanya azab Tuhan, nabi juga melihat betapa agungnya kurniaan nikmat dalam syurga Allah.

Semuanya berbaur, antara nikmat dan azab; antara takut dan harap. Nabi turun ke bumi, langsung menyampaikannya kepada seluruh umat manusia. Ini bukan cerita dongengan, ini satu kebenaran. Kisah yang berlaku hanya pada satu malam; namun penuh keajaiban dan juga satu peringatan.

Mungkin ada orang mempertikaikan kisah ini. Masakan manusia mampu merentasi langit hingga ke suatu tahap tertinggi. Sedangkan manusia hari ini, jika mahu menjejaki bulan pun harus menaiki kenderaan khas, kapal angkasa yang dilengkapi serba macam kecanggihannya.

Tolonglah, jangan difikir dengan akal yang pendek. Allah SWT mampu melakukan segalanya, justeru Dia yang menjadikan semua yang berada di sekeliling kita. Janganlah berpewatakan seperti Ubai bin Khallaf yang membawa cebisan tulang kepada nabi, dengan niat memperlekehkan Tuhan. Masakan Allah mampu menghidupkan manusia yang sudah mati, jika hanya cebisan tulang yang berbaki.

Allah SWT membalasnya, bukankah dahulu manusia tiada kemudian ada. Adanya manusia hanya berasal daripada setitik air mani yang hina. Keluarnya dari lubang kencing manusia. Itulah jawapan buat kita, jika masih mencurigai israk dan mikraj ini.

Kesimpulannya, jadikanlah israk dan mikraj ini sebagai medan memuhasabah diri. Kita tidak patut rasa selesa dengan hanya mendengar cerita, kerana kita patut melihat apakah kesan selanjutnya. Jika dengan kisah yang diberikan itu kita tidak menjadi apa-apa, maka rugilah kita.  Tetapi jika selepas mendengarnya, iman kita makin membugar, rasa cinta kepada Islam kian segar dan ditandai dengan keinginan menjadi wira Islam yang tegar, itu yang terbaik. Mudah-mudahan, ada hikmah di sebalik kedatangan 27 Rejab pada tahun ini hendaknya. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply