• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Mengenal NAFSU…dalam bab kaya

Byadmin

Oct 27, 2009

Allah SWT tak pernah menghalang kita mencari harta. Carilah sebanyak-banyaknya. Sebab itulah, ada di kalangan nabi dan rasul yang kaya-raya. Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Nabi Yusuf a.s misalnya, adalah di kalangan nabi yang kaya…ada seorang lagi, iaitu Nabi Ayub a.s.

Tetapi, ada juga nabi dan rasul yang miskin dan susah, Nabi Ayub a.s juga pernah miskin setelah diuji oleh Allah SWT…sehingga isteri-isterinya cabut lari. Hai…isteri nabi pun lari, nampak gayanya…memang susah nak tarbiyyah isteri. Nabi Muhammad SAW sendiri memilih kepayahan dalam hidupnya. Walaupun nabi boleh memilih untuk jadi kaya, tapi nabi enggan menerimanya. Jibril a.s boleh sahaja pada bila-bila masa menukarkan bukit menjadi emas untuk nabi – tapi nabi enggan menerimanya.

Dan saya selalu kata, mujurlah nabi kita yang agung ini, memilih untuk tidak menjadi kaya-raya, jika tidak hari ini pasti ramai umat Islam akan membuat alasan, kononnya nabi kaya-raya maka sebab itulah nabi boleh membuat amal soleh dengan mudah. Tapi dek kerana nabi pun susah, maka apa lagi alasan mereka, apa lagi dalih untuk tidak berjuang menegakkan Islam sedang nabi yang miskin pun berjuang. Nak-nak lagi jika kita diberikan sedikit kekayaan, maka kita sepatutnya malu kepada Rasulullah SAW yang komitted berjuang walau dihimpit kesusahan dan kemiskinan. Paling takut ialah, jika ada tohmahan bahawa Allah SWT pun pilih kasih, beri Nabi Muhammad SAW jadi kaya-raya tetapi biarkan orang lain papa-kedana…hai…mujur sungguh nabi kita tidak memilih untuk jadi kaya…kan?

Allah SWT maha tahu, apa yang diidam-idamkan oleh manusia. Kita semua dibekalkan nafsu yang sifatnya tak pernah merasa puas. Sebab tu masa mengaji Ilmu Ekonomi atau Asas Perdagangan masa form one dahulu, terjadinya perdagangan kerana wujudnya permintaan dan penawaran. Manusia ini, dia sentiasa mahukan sesuatu, maka teciptalah permintaan. Bila ada permintaan, datanglah penawaran dan terjadilah perdagangan. Mula-mula, orang bertukar barangan – Barter Trade – lama-lama, orang gunakan mata wang sebagai medium pertukaran. Begitulah…

Nafsu manusia memang sentiasa mahukan lebih. Dengan nafsu jugalah, manusia mampu membuat kehidupan menjadi lebih seronok. Nafsulah menyarankan agar rumah dicat berbagai warna, kereta berbagai saiz dan corak, baju berbagai fesyen dan makanan pelbagai resepi dan citarasanya. Ini semua penangan menu. Kucing di rumah saya pun tahu mempelbagaikan menunya kerana dia ada nafsu. Kadang-kadang dia pun nak juga rasa ayam KFC, ikan sardin dan susu segar. Sebabnya, dia ada nafsu untuk menikmati yang lebih baik. Sebab itulah, jika manusia hanya tahu melayan nafsu maka dia akan menurunkan tarafnya seperti haiwan…

Oleh kerana Allah SWT dah bekalkan nafsu, maka Allah SWT tak larang manusia mencari kekayaan dan kenikmatan. Allah SWT jelaskan dalam al-Quran: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) dunia,” (al-Qasas: 77)

Carilah, walau terpaksa merentas gurun mendaki gunung dan menurun lurah serta membelah lautan. Tetapi, awas…jangan lupa bahagian di akhirat pula.  Dan ada satu peringatan menarik mengenai nafsu manusia yang tak pernah puas ini, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya (hadis nombor 1009), daripada Anas r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: “Andai kata manusia itu telah mempunyai harta-benda sebanyak dua lembah, mereka masih ingin untuk mendapatkan satu lembah lagi. Tidak ada yang dapat mengisi perutnya sampai penuh (puas) melainkan hanya tanah (mati). Dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat kepada-Nya.”

Alakullihal, nafsu perlu dilentur, dibentuk dan dicanai sehingga ia mampu berperanan sebagai pencetus keceriaan sahaja; tak lebih daripada itu. Nafsu untuk makan kena ada yeop, jika tidak mahu kurus-kering kita tak ada selera- tapi jangan berlebihan pula. Dan demi membentuk nafsu inilah, kita perlu kepada pelajaran tasawuf. Perlu kenal apa itu sifat qanaah – yakni berpada dengan apa yang ada. Kena belajar untuk rasa cukup, belajar untuk bersyukur dan belajar untuk berkongsi – dan sebab itulah Islam mensyariatkan zakat dan sedekah, agar kita berkongsi kekayaan. Bahkan, zakat dan sedekah ini juga salah satu cara membentuk nafsu kita…wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply