• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

‘Mengudap’ di Karai dalam kebasahan kabus

ByFameThemes

May 1, 2009

dsc00693

‘Roti chanai dua Abang Jali, bungkuih 10 kepin…jangan mike lupe…terkunje anak-anak awok nak ngudap nanti…’

Setiap kali pulang ke kampung isteri, saya jarang melepaskan peluang ‘mengudap’ di Karai. Sambil menikmati roti canai, nasi lemak dan kopi susu dalam kebasahan kabus pagi yang sejuk.

Mengudap maknanya menikmati makanan pagi, kata dasarnya kudap. Mungkin ini bahasa asal orang Kuala Kangsar. Banyak lagi bahasa asal di sini, misalnya chegoye (meninjau), chupoi (tinggal sikit, sipi), peyro (mengonar, memereng), ngelupor (menggelepar), tumpo (tak de jalan dah), hancor (tak berbaloi, tak padan), ngelewor (berjalan-jalan, berlegar-legar), terkunje (terbantut, tersekat), ate (habis tu), mike/ kome (kamu), awok/ teman (saya), deme (mereka), kenaling (menggeletar), memeter (termenung), nohen (buat tak reti/ tak endah), teghoyak (menangis), yangat/ ayo hangat (air hangat, eg: kopi atau teh),  tengak/ nengak (melihat) dan banyak lagi. Pendek kata, jika saya datang mengudap dengan abah mertua di Pekan Karai, makin kayalah ‘vocabulary’ saya tentang bahasa asal orang Kuale.

Pagi ini, awal-awal pagi lagi saya dan abah mertua ke Pekan Karai, kira-kira 15 KM dari Bandar Kuala Kangsar. Karai sebuah pekan kecil. Dahulu, di sini menempatkan ketumbukan tentera British mempertahankan jambatan keretapi dari tentera Jepun. Dua buah kubu peninggalan Perang Dunia Ke-2 masih gagah dan kukuh berdiri di sini meniti usia tuanya. Sayang…tiada usaha memuliharanya dilakukan setakat ini. Kubu itu makin kusam dimakan zaman.

Di pinggir pekan lama ini, mengalir tenang Sungai Perak. Dahulu kata mak mertua dan abah mertua saya, masyarakat setempat menggunakan sungai sebagai jalan pengangkutan utama. Namun, kewujudan jalinan jalan darat yang lebih baik menghilangkan fungsi sungai. Kini tapak jeti lama itu masih ada namun bangunannya sudah hilang ditelan zaman. 

‘Gambar Jambatan Iskandar dan Sungai Perak…dipetik dari Saiful Islam.com…mike pun oghang kuale juge yeop…?’

Karai adalah pekan yang aman dan damai. Melayu, Cina dan India bebas hidup rukun dan damai di sini. Di pinggir jalan utama, berdiri beberapa buah gerai makan. Di sinilah warga sekitar duduk bersantai sambil pekena teh tarik, kopi radix dengan nasi lemak atau roti canai. Sebungkus nasi lemak hanya berharga 60 sen dan sekeping roti canai kira-kira 70 sen, kundas pula 90 sen. Mereka duduk-duduk sambil berlabun pelbagai cerita. Kadang-kadang, ada orang membentangkan guni dan melambakkan ikan sungai untuk jualan. Ada ikan tilapia, ikan tongsan, keli, kaloi dan haruan.

Sayangnya, sebuah surau tua yang walaupun sudah diperbaiki; namun nampak kusam di belakang deretan kedai makan ini. Saya pernah ke surau ini dan hati saya merasa sedih, kebajikan rumah Allah ini tidak dijaga dengan baik. Bahagian tingkat atas surau ini amat kotor, permaidaninya berhabuk dan kotor sekali, sesawang lelabah merata-rata, entah berapa lamalah ahli kariyah di Pekan Karai ini tidak menggunakan bahagian atas surau ini. Mereka nampaknya hanya ‘mengambil tahu’ bahagian bawah surau ini sahaja. Bagi saya, musollah ini tidak wajar dipersiakan sedemikian rupa. Ke manakah perginya anak-anak kariyah di sini…tidakkah mereka pernah terdengar pesanan Allah SWT:

“Sesungguhnya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah (rumah-rumah Allah di muka bumi itu), ialah mereka yang beriman (ada keyakinan kukuh) kepada Allah dan hari kemudian (akhirat), dan mereka itu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta mereka itu tidak takut (gerun dan bimbang) kepada sesiapa pun melainkan hanya kepada Allah (semata-mata), maka merekalah diharapkan (mudah-mudahan) termasuk ke dalam kumpulan orang-orang yang mendapat pertunjuk (di sisi Tuhan mereka),” (at-Taubah (9): 18)

Baiklah, saya enggan mengulas isu surau yang agak terabai itu. Luluh hati saya mengenangkannya. Itu belum saya meninjau solat lima waktunya, adakah didirikan solat berjamaah atau tidak. Saya berharap, moga-moga akan ada perubahan positif pada masa hadapan…amin.

‘Perpustakaan Pekan Karai…’

Berbalik kepada kisah saya dan abah mertua. Sejak kami menjadi mertua-menantu kira-kira 10 tahun lalu memang kami jarang ‘mis’ mengudap pagi di sini. Mak mertua sudah tahu, habis solat Subuh berjamaah, berdiskusi sekejap di surau mini milik abah, maka kami akan mula ke Karai. Dalam benak sudah terbayang roti canai Jali, kopi tongkat Ali kak Hawa, kundas kedai Mezah dan nasi lemak mak Peah. Semuanya enak-enak…isteri saya paling gemor kundas Mezah, asal saya ke sana jarang dia melupakannya.

Apa yang syioknya juga, di sinilah medan pertemuan sahabat-handai, kawan-taulan dan sanak-saudara. Anak-anak buah abah mertua saya atau sebelah mak mertua memang ramai yang bersarapan di sini. Kadang-kadang pak saudara isteri saya dan sepupu-sepapatnya pun ramai ke sini. Kami duduk sama-sama sambil minum, makan dan berbual. Selalunya, adalah yang akan membayarkan semua kudapan. Saya pun selalu mengambil peluang membuat pahala, dengan senyap-senyap membayar kepada tuan kedai. Puas hati membelanja orang kampung, kerana bagi saya mereka lurus, jujur dan telus bila berkawan.

Pada hari Ahad sebelah petang, Pekan Karai akan menjadi tapak pasar malam. Ramai akan turun membeli apa-apa keperluan. Namun kata mak mertua, harganya tidaklah murah sangat. Bahkan agak mahal jika dibandingkan dengan harga sekilo ikan bawal di Kuala Lumpur.

Apa-apa pun, kami gemarkan murtabak pakcik pendek yang gebu dan padat isinya. Juga laksa kuala dan satay. Jika saya ke pasar malam ini, jarang pulang tanpa menghabiskan hampir RM50…juga tidak lupa beberapa papan petai buat abah mertua saya!

FameThemes

This user is created while installing demo content. You should delete or modify this user’s information now.

Related Post

Leave a Reply