• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Menyantuni Asnaf Zakat

Byadmin

Oct 26, 2009

Ketika mula-mula menjawat jawatan sebagai amil, saya telah dibawa dalam satu program memindahkan satu keluarga miskin yang terpinggir di Hutan Simpan Ulu Kelang, kawasan Kemensah bersebelahan Zoo Negara. Anda jangan terkejut jika saya nyatakan, keluarga itu terdiri daripada seorang ayah dan dua anak dara sunti. Haa…selalunya kita terdengar ibu tunggal, suaminya lari; tetapi yang ini bapa tunggal atau lebih tepat bapa tinggal. Isterinya yang lari dan yang lebih menyedihkan, isterinya lari dengan meninggalkan dua anak dara sunti yang baru berusia 9 ke 10 tahun merempat bersama-sama bapanya!

 

Insiden ini berlaku sekitar April 2003. Namun, segala-galanya masih jelas tergambar di benak pemikiran saya. Masakan saya bisa melupakannya dengan mudah, kerana masih terbayang-bayang lagi betapa daifnya rumah atau lebih tepat pondok tempat tiga beranak itu merehatkan diri. Atap dan dindingnya hanyalah cebisan kadbod dan kanvas. Tingginya hanya separas pinggang lelaki dewasa. Dapurnya alahai…juga seekor kucing peneman si anak.

Ketika kami dari Pusat Zakat Selangor (kini dah naik jadi Lembaga Zakat Selangor) mengunjunginya, kami terpaksa meredah kawasan berbukit dan berbelukar masuk ke dalam hutan. Di dalam Pajero, saya masih ingat kala itu…saya, Abang Syam, Bro Aidi dan siapa ya seorang lagi…pot-pet dan pot-pet meluahkan rasa gusar dan sedih – bayangkan, apabila si ayah keluar maka anak-anak daranya ditinggalkan begitu sahaja dan bayangkan seribu bahkan sejuta kemungkinan yang boleh berlaku. Ngerinya kami bayangkan…

Diringkaskan cerita, si ayah menitiskan air mata saat kami memberikannya anak kunci rumah baharu, yang kami siap bayarkan wang muka dan sewanya, juga siap dengan pelbagai kelengkapan yang kami beli pada petang hari yang sama di Warta lama Selayang…dapur gas, makanan dan sebagainya. Antara luahan si ayah… “Saya ingat, dah tak ada lagi orang yang mahu membantu saya…”

Kini, saya seronok meneruskan kerja di Lembaga Zakat Selangor. Kendati pun saya ditugaskan sebagai Pegawai Dakwah, namun kerja-kerja agihan masih saya lakukan. Anda tahu…saya dapat rasakan keberkatannya di sini…alhamdulillah!

Nota: Foto di atas adalah kenangan semasa menyampaikan bantuan pada bulan Ramadan 1430 / 2009 baru-baru ini di Hulu Selangor, hasil sebuah kisah yang ditulis oleh sahabat saya, Ust Radzi di Utusan setelah saya dan beliau melawati keluarga susah ini. Alhamdulillah, kesusahan itu dikongsi bersama oleh KFC akhirnya…

Related Post

Leave a Reply