• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Mudik di Sungai Melaka

Byadmin

Oct 18, 2009

Semasa kecil dulu, waktu belajar Sejarah Melaka…saya sering terbayangkan betapa indahnya bumi Hang Tuah ini. Sungainya yang sibuk dengan perahu, jong dan tongkang memunggah barang-barang dagang. Saya terbayangkan pelbagai rupa manusia diam dengan aman di Melaka, Melayu, Arab, Cina, India dan sebagainya…semua ada. Saya terbayangkan jikalah saya boleh kembali merentasi masa, kembali ke zaman silam. Berjumpa dengan orang-orang zaman dulu, yang bicaranya penuh sopan lagi santun, hatta nak bertikam keris pun masih berlapik bahasa dengan pantun seloka.

Kali pertama saya berjaya menginjakkan kaki ke Kota Melaka A’ Famosa ialah pada tahun 1989, kala itu saya di Form 3, mengikuti rombongan sekolah dengan kawan-kawan sekelas. Ingat sangat, saat saya berdiri di hadapan A’ Famosa, terasa terhimbau kembali saat Melaka dijajah Portugis lahanat, saat orang Melayu berjuang mempertahankan bumi dari dijajah tetapi tewas di tangan pengkhianat dan orang Melayu menjadi bangsat.

Melaka bagi saya adalah negeri nostalgia – penuh nostalgia! Bukan kerana saya lahir dan membesar di sana, jauh sangat kerana cinta pertama saya orang Melaka; tetapi mungkin kerana jiwa sejarah saya yang saya perasan kini menurun pula ke dalam diri anak sulong saya – Along. Saya sayangkan Melaka, justeru ia pernah menunjukkan kehebatan bangsa Melayu dan jauh lebih hebat daripada itu, Melaka pernah menjadi nadi penyebaran dakwah Islam di nusantara. Bahkan saya pernah terjumpa dengan sebuah kitab lama yang ditemui semula oleh Yayasan Karyawan Melayu yang dipengerusikan oleh Datuk Hassan Ahmad mantan KP DBP – dan mereka memberitahu saya betapa banyak kitab dan manuskrip Melayu lama yang dirampas dan dibawa balik ke Eropah, sedangkan semuanya itu milik kita hakikatnya!

Maka, kini dengan sedikit kemudahan saya sering juga berkunjung ke Melaka. Sementelah, makcik saya ada di sana. Boleh dikatakan, setiap tahun saya dan keluarga akan berkunjung ke sana. Bahkan, tulisan ini pun setelah saya ke Melaka pada Sabtu dan Ahad semalam, 17 dan 18 Oktober 2009. Kota A’ Famosa, Bangunan Stadthiyus, runtuhan gereja St. Paul, Menaran Jam Lama dan banyak lagi, bukanlah kali pertama kami kunjungi. Namun, tak pula kami rasa boring mengunjunginya.

Pada kali ini, saya bercita-cita sangat untuk memudiki Sungai Melaka dengan botnya. Nama canggihnya Melaka River Cruise. Adik saya di Melaka (Fizah) menyarankan, jika mahu menaikinya, maka ambillah trip waktu malam. Lebih cantik pemandangan sepanjang sungai. Lalu, menjelang Maghrib kami bersiap sedialah. Tiket berharga RM10 bagi dewasa dan separuh harga bagi kanak-kanak. RM80 jugalah bagi rombongan kami.

Kemudahan agak baik. Di jeti bot, gudang-gudang lama zaman dahulu masih ada. Turut diubah suai di situ, ialah kemudahan membeli-belah cenderamata; namun agak kurang menyerlah berbanding di Dataran Pahlawan. Sementara menunggu turn menaiki bot, kami mengambil gambar keluarga sebagai kenang-kenangan. Ramai juga pelancong bersama kami, maklumlah khabarnya menarik perjalanan yang bakal ditempuh nanti.

Kami memulakan perjalanan dalam kerlipan neon serta pelbagai lampu di waktu malam. Bau air sungai agak hanyir walau tiada kelihatan sampah atau botol-botol di permukaannya. Baguslah, setidak-tidaknya kebersihan Sungai Melaka akan terus terpelihara jika semua orang tahu menjaga kebersihan. Memang cantik apabila sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan malam yang penuh lampu warna-warni. Tiang-tiang lampu di sepanjang sungai dihias dengan lampu-lampu berwarna-warni, pancutan air bermuzik juga berwarna-warni, rumah-rumah kedai setinggi dua hingga tiga tingkat juga terjaga kebersihannya dan diterangi lampu. Jambatan pelbagai bentuk banyak merentasi Sungai Melaka dan ada pengunjung yang melambai-lambai kepada kami dari atasnya.

Namun, pengalaman paling mengujakan perasaan ialah saat melewati Kampung Morten, yang dikenali sebagai ‘Muzium Hidup’, yang saya rasa adalah sebuah perkampungan lama yang sejak dahulu lagi sudah wujud di tebing Sungai Melaka. Di kampung itu, mereka memasang lampu di setiap rumah hinggakan atapnya pun disimbahi cahaya, terang-benderang kampung itu. Memang menarik sekali untuk disaksikan oleh kami. Dan…saat asyik melayan perasaan itulah, tiba-tiba sebuah masjid di kampung itu melaungkan azannya…aduhai, sangat meruntun perasaan sekali. Indah sungguh alunan suara muazzin menyeru kepada Allah SWT, dan saya berharap, hendaknya adalah manusia non-muslim yang bersama-sama kami di atas bot itu akan terdetik hatinya untuk lebih mengenali Islam kelak, insya-Allah. Anda boleh membaca lebih lanjut mengenainya di sini.

Keseluruhan masa sehala dalam perjalanan, mengambil kira-kira 20 minit. Jika anda ingin berjalan kaki atau berjoging, maka silakanlah…siar kaki turut dibina sepanjang tebing sungai itu. Bahkan ada satu bahagian yang turut ditanami dengan pohon-pohon bakau, memang cantik dan merimbunkan.

Anak-anak saya seronok semuanya…ya, kami mudik di Sungai Melaka…sungai yang dahulunya mungkin pernah dimudiki oleh Hang Tuah, Hang Li Poh dan Sultan Melaka!

Related Post

Leave a Reply