• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Muhasabah cinta

Byadmin

May 19, 2011

Oleh Ust Mizul

Cinta itu lumrah. Bercinta itu pula asyik. Cinta memotivasikan. Kala muda-mudi bercinta, malam dingin hangat terasa. Maka semailah cinta di perbatasan yang benar. Pupuklah ia dengan humus dan airilah ia dengan embunan hidayah. Biar tumbuh memekar, mengorak kelopaknya menebar semerbak haruman. Biar sang kupu-kupu dan rerama hinggap menciumi bunga-bunganya, membawa debunga lekit dan menghasilkan putik-putik indah. Kelak, ia pasti akan berbuah. Kelak, manusia akan bisa menikmati manisnya buah. Itulah natijahnya cinta.

Itulah metafora yang saya fikir, molek menjadi mukaddimah kepada penulisan kali ini. Manusia dan cinta, harus ada titik muhasabahnya. Cinta sesama manusia, cinta kepada harta dan cinta kepada Tuhan yang menciptakan-Nya. Semuanya ada darjat masing-masing, hierarki yang menentukan di mana kita dalam meladeni kehidupan dunia. Boleh jadi kita tersalah dalam meletakkan cinta, terkhilaf dalam meraih cinta dan tersadung dalam cinta buta. Inilah saat dan peluangnya buat kita memuhasabah diri, muhasabah cinta yang lestari dan hakiki.

Allah SWT menukilkan kalimah indah dalam wahyu-Nya: “Dan mereka tidak mengerjakan solat, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan,” (at-Taubah: 54).

Solat adalah perkara utama, begitu juga menginfakkan harta yakni sedekah dan zakat. Di dalam al-Quran Allah SWT menggandingkan dua kalimah yakni solat dan zakat, di 32 buah tempat semuanya. Ia menandakan, kedudukan manusia dalam menginfakkan harta adalah utama di samping solat sebagai terajunya. Sebagai bukti kecintaan manusia kepada Allah SWT, ia ditandai dengan sikap manusia yang tidak rakus dengan harta-bendanya. Sebaliknya dizahirkan dengan amal perbuatan, misalnya amat gemar dia berbahagi sesama insan.

Alangkah dahsyatnya, andai cinta kepada harta sudah menebal, sudah membekas sehingga akhirnya menandingi cintanya kepada Allah SWT. Kala itu, harta yang dimiliki sudah berubah takhtanya di hati. Ia bukan lagi sebagai penyedap dunia sementara; namun menjadi agenda utama. Jika dalam solat, hidup dan mati demi Allah hanyalah ucapan paksa di bibir sahaja; kerana di hatinya hidup adalah untuk dunia dan hartanya.

Nah! Kala inilah, pengabdiannya kepada Tuhan yang memberikannya kekayaan adalah kerana terpaksa. Tangannya memberi; tetapi di hati penuh keengganan, persis seperti singgungan Tuhan di atas tadi. Semuanya digagahkan juga, kerana ia sudah kewajipan. Percayalah, orang seperti ini jika diberikan pilihan, nescaya dia akan memilih untuk menyimpan sahaja hartanya. Baginya, semakin banyak harta disimpan, semakin terasa nikmat kepuasan.

Kerana itulah Allah SWT menyatakan, orang-orang seperti ini adalah manusia yang melakukan pengabdian dengan paksa. Tiada keikhlasan di hati mereka. Tanpa ikhlas, jika mereka mengeluarkan zakat atau mendirikan solat, maka jadilah ia sesuatu yang amat berat. Bagaikan ada rantai-rantai besi yang bergayutan di bahu dan pancang-pancang besi yang memasak hatinya. Dia melangkah longlai mengadap Allah dan kala tangannya menghulurkan sedekah, matanya dipicing penuh gundah.

Allah SWT menyatakan lagi menerusi lidah nabi kita: “Dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk,” (al-Baqarah: 45).

Namun, ia amat berbeza dengan golongan yang sememangnya tidak mampu. Mereka ini, mempunyai hasrat menggunung untuk berbakti; sayangnya kekangan harta dan kedaifan menggalang diri. Mereka dikasihani Allah lantaran itu dianggap terkecuali. Firman Allah SWT lagi: “Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, orang-orang yang sakit dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikitpun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,” (at-Taubah: 91).

Kesimpulannya, bermuhasabahlah kita atas keberadaan kita, juga terhadap apa yang kita namakan cinta. Biarlah semua cinta kita itu membawa kita ke jalan syurga. Hendaklah kita berusaha ke arahnya. Tidak sepatutnya kita menghela diri ke neraka, andai kita sudah tahu di mana puncanya ke sana. Elakkanlah dan akhirnya, tanyalah soalan ini pada diri sendiri: “Adakah cintaku ini membawa kepada Ilahi?” Jawaplah dengan ikhlas, jujur dan jelas. Selamatkan diri daripada cinta buta dunia yang lara, menuju cinta Allah yang takwa dan sejahtera. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply