• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Musibah!

Byadmin

Jun 30, 2009

musibah

‘Cermin penumpang belakang Atos…’

Setiap yang hidup, selalu sahaja didatangi musibah. Musibah yang pastinya menggoncang jiwa. Musibah yang menguji kesabaran, mencabar keimanan dan menilai ketakwaan. Musibah yang menyebabkan manusia menangis hiba atau meratap lara. Mana ada orang ditimpa musibah masih bisa ketawa terbahak-bahak. Mana ada…

Pesan Allah SWT: “(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun.” (al-Baqarah: 156)

musibah4

‘Tingkap depan sebelah kiri kereta Ipsum…’

Semalam, saya ditimpa musibah. Saat saya bangun pagi dan membuka pintu pagar mahu ke surau, jam menunjukkan seputar angka 5.45 pagi, saya melihat ada cermin berteraburan di bahagian depan kereta Toyota Ipsum saya. Kereta itu, saya parkir betul-betul di hadapan pagar rumah. Biasanya, saya memarkir Ipsum saya di bawah garaj surau, tapi kehadiran jemaah tabligh yang memenuhi kawasan surau dengan kenderaan mereka, menyebabkan saya terpaksa memarkir kereta di luar pagar surau.

Saya mula tidak sedap hati. Segera saya merapati. Aduh…cermin kiri depan penumpang sudah pecah berderai. Bukan itu sahaja, pemain DVD skrin sesentuh bernilai lebih RM1,000 yang saya pasang tahun lepas juga sudah lesap. Casing-nya diumpil kasar. Barang-barang berteraburan diselongkar. Laci di dash board dan bahagian tengah antara pemandu juga dibongkar. Turut hilang ialah kerusi urut ‘mobile’ Ogawa saya bernilai lebih RM500, dua buah beg cakera VCD dan DVD yang 99% original (sayang…banyak lagu nasyid best yang lesap!) dan wang lebihan yang disimpan di dalam laci kecil kereta…rasanya dalam jumlah sekitar RM100.

musibah51

‘Habis…kena selongkar…’

Bukan itu sahaja, semasa saya melewati kereta Atos isteri, kaca tingkap bahagian belakang sebelah kanannya turut berderai. Sah! Kena pecah juga. Baju-baju dan sehelai seluar slack yang saya sangkut di bahagian belakang serta sepasang kasut kerja saya ‘lebuh’. Baju, seluar dan kasut itu saya biarkan tersangkut sejak pulang dari Morib pada petang Ahad. Mujurlah beg besar berisi baju-baju lain sudah saya angkut ke dalam rumah. Jika tidak, mesti hilang juga rasanya.

Anak-anak saya yang mengekori di belakang, merasa terkejut melihat keadaan kedua-dua buah kereta kami yang dipecah orang itu. Namun, saya tidak memberikan reaksi melampau. Benda sudah berlaku. Apa yang nak dikata.

Kami meneruskan solat jemaah di surau. Usai solat, pulang dan saya menenangkan hati dengan membaca surah Yaasin. Saya juga berniat, biarlah orang yang mengganggu ketenteraman saya, turut ditimpakan musibah oleh Allah SWT. Anak-anak saya yang keriau memaklumkan kepada umi mereka perihal kereta kami yang sudah dipecah orang.

Nota: Musibah, menurut ulamak terbahagi kepada tiga. Musibah al-bala, musibah at-tarbiyah dan musibah al-jazak. Saya harap musibah yang menimpa saya ini adalah musibah al-tarbiyah daripada Allah SWT, yang mahu mendidik saya kerana kealpaan saya mungkin. Manakala, doa saya kepada orang yang menzalimi saya, biarlah dia ditimpakan musibah al-jazak…pembalasan yang akhirnya akan menyedarkan kesilapan dirinya…amin.

Firman Allah SWT: “Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu,” (at-Taghaabun: 11)

Related Post

Leave a Reply