• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Musim memilih pemimpin

ByFameThemes

May 5, 2009

‘Zuhud adalah aset paling penting bagi seorang pemimpin, ini kerana dia berkuasa ke atas dunia; lalu diletakkan dunia di tangannya; bukan di hatinya…, maka tiadalah rasuah, bakhil dan haloba di sisinya.’

Dalam Islam, aspek qiyadah, imamah atau kepimpinan, ia amat penting. Ia seperti solat berjemaah, tanpa imam maka jemaah tidak jadi jemaah. Tanpa imam, maka anak-anak kariyah boleh jadi bercempera. Apatah lagi jika selepas itu mahu diadakan majlis tahlil dan doa selamat, jika ditakdirkan imam kurang sihat, mulalah bilal lidahnya jadi pelat. Mulalah tok siak mula nak mengelat kononnya kaki dah tergeliat. Maklumlah, silap-silap hari bulan merekalah yang akan memimpin majlis tahlil dan doa. Bukan tak tahu…tapi tak biasa…sebenarnya tak berapa hafal doa…mahu pitam dibuatnya!

Di negara ini, sekarang ini dan beberapa waktu lepas adalah musim orang memilih pemimpin. Umno, sebuah parti Melayu-Kebangsaan sudah pun mengadakan Mesyuarat Agung mereka bulan Mac lalu. Sudah dipilih siapa pemimpin dan sudah ditolak mereka yang difikir tidak layak memimpin. Selepas sahaja pemilihan pemimpin Umno dan serentak dengan itu juga Pak Lah berundur dan Datuk Najib naik takhta, maka seorang editor senior di sebuah akhbar perdana menghubungi saya, minta dituliskan sebuah artikel mengenani imamah atau kepimpinan.

Saya pun menggagahkan diri, maka lahirlah sebuah artikel pendek sahaja yang tajuknya berbunyi: ‘Kepimpinan Model Islam.’

Kini, rakyat Malaysia khususnya para pendokong perjuangan Islam digamatkan kembali dengan pemilihan kepimpinan, menjelangnya Muktamar Agung PAS pada Jun 2009 ini. Saya membaca, mendengar, melihat, meneliti dan menganalisis, dari kaca mata seorang manusia biasa. Saya bukanlah pakar sains politik walaupun saya minat juga dengan politik. Lalu, izinkan saya membuat andaian awal, bahawa aliran pro-pakatan bakal mendominasi kepimpinan PAS pasca Jun ini.

Walau bagaimanapun, saya amat berharap agar criteria kepimpinan ulama’ yang telah digariskan oleh PAS khususnya era transformasi pimpinan Allahyarham Tuan Hj Yusuf Rawa pada tahun 1983 dahulu, benar-benar direalisasikan.

Isu siapakah ulama’, ciri-ciri dan model kepimpinannya sudah menjadi perdebatan umum hari ini. Ramai yang mengatakan, PAS mesti mengekalkan kepimpinan ulama’. Bahkan Datuk Dr Harun Din menegaskan, kepimpinan ulama’ di dalam PAS telah menzahirkan kejayaannya setelah ia diimplementasikan 25 tahun silam. Ia jadi lebih hangat, apabila timbul beberapa istilah nakal seperti ‘ulama mee celup’ vs ‘ulama mee goreng’ dan sebagainya. Juga spekulasi bahawa kepimpinan ulama dalam PAS diwakili oleh duo ikon: Tuan Guru Hj Hadi dan Tuan Guru Nik Aziz.

Jadi, sungguh pun PAS bakal didominasi oleh Pro-pakatan, namun saya amat berharap mereka mengekalkan cirri-ciri kepimpinan ulama yang tegar dalam PAS.

Eh…ulama-ulama-ulama…tolong terangkan sikit ciri-ciri ulama’?

Baiklah, berikut adalah pandangan saya sendiri dan beberapa pandangan lain yang saya kumpul bagi menjelaskan ‘siapakah ulama’ yang patut dipilih oleh mereka yang berkenaan:

Pertama: Ulama’ mestilah seorang yang fakih dalam ilmu agama. Fakih bukan sekadar alim atau berilmu, kerana dia faham apa yang dipelajari dan ditekuninya. Bahkan kefakihan (kefahaman) dalam agama menjadi syarat, bagi seseorang itu mampu mengendalikan dunia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT, iaitu ‘khalifah di atas dunia ini’. 

Firman Allah SWT: “Allah menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Qur’an dan As Sunnah) kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar telah dianugerahi karunia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).” (al-Baqarah (2): 269)

Kedua: Ulama juga mesti seorang yang mampu berdepan dengan keperluan zaman. Kata orang ‘laa ni, they should be competent enough to face this sophisticated millennium’. Maknanya, jika kini zaman IT, maka ulama mesti terdedah kepada IT. Pendeknya, ulama yang sebenar tidak hanya sekadar tahu menyatakan hukum halal, haram dan sunat serta makruh sahaja. Ulama mesti ada kelengkapan dua ilmu, ilmu agama dan ilmu alat. Eloknya, dia ulama dan dia juga jurutera. Seperti mana para nabi, mereka bukan sekadar nabi dan rasul tetapi juga penempa besi terhandal (Nabi Daud a.s), Menteri Kewangan (Nabi Yusuf a,s), Pemerintah terhebat (Nabi Sulaiman a.s), Panglima perang dan saudagar hebat (Nabi Muhammad SAW) dan ramai lagi. Pendeknya, dia adalah ulama yang professional. 

Firman Tuhan: “Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan negara (hasil bumi  Mesir); sesungguhnya aku adalah seorang yang pandai menjaga (teliti dalam penjagaan) lagi mengetahui cara mentadbirkannya,” (Yusuf (12): 55) 

Ketiga: Ulama yang bijaksana dan berani memberikan panduan sesuai dengan keperluan zaman. Tidaklah sekadar bertaklid mudah-mudah kepada kitab-kitab karangan ulama silam. Mereka mesti bersedia dengan ilmu dan kepandaian sendiri, kerana makin hari dunia makin canggih. Jika ulama itu jumud atau terlalu konservatif, maka dia akan menyusahkan manusia lain pula jika menjadi pemimpin. Islam akan nampak susah, kerana sikap mereka yang tidak mahu berubah. Sedangkan Imam as-Syafie pun berubah dalam keputusan pandangannya (qaul qadim dan qaul jadid), maka takkanlah ulama hari ini terlalu rigid dalam menerima angin perubahan. 

Keempat: Ulama itu mesti ada nilai tambah yang tidak ada pada orang lain, bukan sekadar ilmu tetapi amalan peribadinya. Misalnya, sangat zuhud, sangat warak, sangat pemalu dan sangat menjaga amalan sunat. Inilah cirri-ciri yang mampu mengangkat martabatnya. Ciri-ciri inilah yang ada pada Umar bin Abdul Aziz r.a, Sultan Muhammad al-Fateh dan sebagainya lagi. 

Kelima: Ulama itu mesti berani, menegur segala kepincangan dan memperbetulkan kesilapan sesiapa sahaja. Jika ulama itu ada ‘milage’ tertentu, maka dia akan bersikap berat sebelah kelak setelah menjadi pemimpin. Ulama jenis inilah yang digambarkan ‘ulama mee udang’, iaitu ada udang di sebalik batu. Mereka bersikap opportunist dalam keputusan dan tindakannya. Nabi menggelar mereka ini ulama suu’.

Kata Saiyidina Ali kwj: “Akan datang suatu masa, Islam itu hanya akan tinggal namanya sahaja, agama hanya bentuknya sahaja, al-Quran hanya dijadikan bacaan sahaja, mereka mendirikan masjid, sedangkan masjid itu sunyi dari zikir menyebut nama-nama Allah. Orang yang paling buruk pada zaman itu ialah para ulama, daripada mereka akan timbul fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka juga dan semua yang tersebut adalah tanda-tanda hari kiamat.”

Keenam: Ulama yang kuat, cergas dan cerdas, tidak uzur memanjang, asyik sakit sehingga sukar melaksanakan kepimpinan. Lebih jelas, ulama itu tidak patut seorang yang cacat aggota yang akhirnya menyusahkan dan merencatkan misi pemerintahan dan pentadbirannya. Tidak boleh juga ulama itu seorang yang pemalas, yang hanya ‘berlengkar’ di rumah sahaja dengan alasan ‘menelaah kitab’, kerana ia akan memberikan gambaran negatif dan akhirnya menyusahkan masyarakat bagi mengambil manfaat daripadanya sebagai panduan dalam urusan seharian.

Firman Allah SWT: “Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: “Ya bapaku ambillah dia (Musa) sebagai orang yang bekerja (pada kita), karena sesungguhnya orang yang paling baik yang (patut) kamu ambil untuk bekerja (dengan kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya,” (al-Qasas (28): 26) 

Ketujuh: Ulama yang praktikal dan tidak sekadar berteori sahaja. Ramai ulama yang hanya mampu berceramah; namun gagal pula bila diberikan amanah. Sesetengahnya hanya kelihatan hebat semasa membaca kitab; namun kecundang bila memikul tanggungjawab. Itulah ulama yang hanya bijak berkata-kata dan berteori; tapi ‘kantoi’ dalam gerak kerja amali. Nabi Muhammad SAW selalu menegur orang-orang begini. 

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan,” (as-Shaff (61): 2-3) 

Kelapan: Ulama yang bersifat terbuka dan berlapang dada dan minda apabila ditegur dan menerima idea-idea pembaharuan. Maklumlah, bila sudah dianggap tuan guru atau ustaz, punya pengaruh besar dan dipandang mulia, maka ada yang sudah terasa hebat dan sukar menerima teguran. Dalam hal ini, ulama patut belajar daripada Saiyidina Umar al-Khattab ketika menerima teguran daripada seorang pemuda dan juga semasa dileteri oleh isterinya. Umar tidak marah sebaliknya bersikap terbuka dan berlapang dada seadanya.

Kesembilan: Ulama yang tinggi maruahnya, dipercayai (thiqah) dan diyakini akan kemampuannya. Jika dia sendiri selalu bercakap namun gagal menunaikan ucapannya, dilihat hanya sekadar berteori dan beretorik, maka bagaimanakah dia diharap mampu menunaikan amanah kepimpinan yang maha berat kelak. Dalam surah al-Qasas (28) di atas pun, anak Nabi Syuaib a.s meminta ayahnya mengambil Musa dek kerana dia juga boleh dipercayai dalam urusan kerjanya.

Kesepuluh: Ulama yang mengutamakan gerak kerja berorganisasi dan mementingkan syura dalam tindakannya. Ini sesuai dengan saranan Allah SWT sendiri dan juga sunnah Rasulullah SAW. Adalah malang jika mereka meninggalkan keputusan mesyuarat dan mengutamakan pendapat sendiri dan apabila timbul masalah mereka lambakkan kembali kepada jemaah. 

Pesanan Nabi SAW: “Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:” Sesiapa yang hendak melakukan sesuatu urusan umat Islam hendaklah bermesyuarat nescaya Allah memberikan taufiq bagi memperelokkan urusan mereka.” (Riwayat at-Tabrani) 

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh (organisasi yang tersusun rapi dan saling melengkapi),” (as-Shaff (61): 4)

Wallahua’lam bissawab

FameThemes

This user is created while installing demo content. You should delete or modify this user’s information now.

Related Post

Leave a Reply