• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Musim orang ‘kawin’ datang lagi!

Byadmin

Mar 12, 2010

Anda pernah membaca noval ‘kawin-kawin’ karya Cikgu Azizi Hj Abdullah? Hmm…saya sudah membacanya, lama dahulu dan telah pun menghasilkan ulasan mengenainya. Ringkasnya, novel berkenaan sarat dengan kritikan. Ia hanya menjadikan cerita ‘perkahwinan’ sebagai ‘platform’ untuk mengkritik isu yang lebih besar. Ibarat marah anak sindir menantu, begitulah caranya sasterawan menegur. Bak mafhum bicara Pak Samad Said juga, tugas sasterawan itu antara lain, ialah memperbijak akan bangsanya dengan tulis dan baca.

Saya jadi teringat, zaman masih awal remaja. Masa itu saya tidak dapat membayangkan bilakah saatnya saya akan menamatkan zaman bujang. Senangnya, bila harus menikah! Namun, hakikatnya, semasa awal remaja itu juga saya sudah punya anganan sendiri-sendiri. Sudah ada orang yang saya minati, sudah mula beranganan dalam mimpi untuk berjalan berpimpinan tangan dengannya. Sudah ada riak-riak nakal mahu merasa nikmatnya cinta. Alahai…jerawat pun mulai tumbuh di dahi dan pipi. Kata orang, itu jerawat gatal. Kata orang, itu saatnya sang remaja mula menjadi angau. Kata orang, itulah ketikanya mahu mencuba bakat mengurat anak dara orang. Nasiblah, jika pandai berkata-kata, maka melentoklah ‘si dia.’ Jika tidak berani bersemuka, maka titipi sahaja sekeping warkah cinta dengan madah berbunga. Taruhkan sedikit bedak beraroma biar wangi saat dia membukanya. Jika mahu, kirimlah salam selalu padanya melalui temannya. Jika dia membalas positif…aduhai, terasa mahu tembus saat jantung berdegup laju waktu itu!

“Buat adik-adik yang baharu sahaja melangsungkan pernikahan, inai di jari masih basah merahnya, ambillah cerita ini buat pedoman.”

He…he…itulah dia kenangan dahulu. Saya juga punya kenangan sendiri. Maka tersengih seorang diri saya dibuatnya bila terkenang akan semua itu. Terasa malu sendiri pun ada juga. Terasa hebat pun ada juga. Bukannya apa, dalam ramai-ramai ‘jejaka’ rupa-rupanya kita yang dijadikan ‘pilihan.’ Apatah lagi saat dikhabarkan, bahawa ‘si dia’ bukan orang sembarangan, bertuahlah orang yang ‘mendapatkannya.’ Ketika itu, kembang rasa hati. Jika teman diajak belanja di kantin sekolah, sanggup sahaja dibelanja mee goreng sepinggan dan segelas sirap bandung special!

Eh, apa kaitan tulisan ni dengan tajuk di atas? He…he…saje, saya jadi teringat dengan kisah silam. Hari ini, semua si dara yang pernah saya ‘jatuh hati’ dengan mereka itu, hakikatnya semua sudah ‘berpunya.’ Saya sendiri sudah ‘dipunyai’ oleh isteri tercinta. Masing-masing sudah ada pasangan hidup yang sesuai menurut perkiraan akal yang sihat dan matang. Kini, jika ditakdirkan saya kembali menemui mereka, maka kenangan lama itu memang akan menjelma. Tapi itu semua hanyalah kisah silam, memori yang hanya terlukis dalam kanvas sejarah. Ia tidak bisa diputar atau berputar kembali seperti berputarnya sekeping VCD kisah cinta. Ia sudah berlalu pergi bersama arloji masa. Detik-detik itu, menjarakkan semuanya.

Saya bahagia dikurniakan seorang isteri yang bukan sahaja cantik paras wajahnya, tetapi lebih penting ialah kesefahaman antara saya dan dia yang sering dipupuk. Kesefahaman adalah anak kunci kebahagiaan. Saat senang atau susah, saat gembira atau duka, saat pedih terluka atau ceria bahagia, saat diuji atau saat dipuji, semuanya diladeni bersama secara bersama. Inilah hadiah termahal bagi seorang suami dan juga bagi seorang isteri. Tanpa kefahaman yang ‘mutual’ antara satu sama lain, pasti sahaja perkara enteng menjadi ‘bengkeng’ dan kedamaian dengan mudah bertukar ‘mamai.’

Saya juga rasa bahagia dikelilingi anak-anak yang semuanya adalah simbolik kepada keutuhan perhubungan di antara suami dan isteri. Ibarat keluk ekonomi yang menaik ke atas, ia adalah simbolik suburnya pendapatan negara. Anak-anak akan ceria jika ibu bapanya ceria. Anak-anak akan bahagia di rumah jika ibu bapanya bahagia di rumah. Anak-anak akan gembira bersama keluarga jika ibu bapanya adalah pencetus kegembiraan. Semua ini telah dan sedang berlangsung dalam hidup saya. Harapnya ia terus kekal dalam keluarga saya, untuk hari ini, untuk esok dan lusanya bahkan untuk sampai bila-bila…amin ya Rabb!

Nota: Buat adik-adik yang baharu sahaja melangsungkan pernikahan, inai di jari masih basah merahnya, ambillah cerita ini buat pedoman, insya-Allah.

 

 

 

 

Related Post

Leave a Reply