• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Nostalgia nasyid zaman dahulu

Byadmin

Aug 3, 2009

1987-1989, kala itu usia saya baharu belasan tahun. Setiap hari Sabtu saya suka ke Pekan Lenggong (Pasar Minggu) dan mencari-cari kaset nasyid terbaharu di sebuah gerai milik peniaga berketurunan India dari Taiping. Kala itu, kumpulan Nada Murni adalah pilihan nombor satu. Saya sempat membeli beberapa buah kaset kumpulan ini, dan membesar dengan lagu-lagu mereka, misalnya Asma Ul Husna, Sifat 20, Di Pondok Kecil dan sebagainya lagi. Masih basah di minda saya, lagu Di Pondok Kecil amat-amat ‘berhantu’, sehingga Cik Nab (anak bongsu atuk) mengalirkan air mata saat mendengar lagu ini. Barangkali Cik Nab terlalu merindukan Tok yang memang memanjakannya (Tok meninggal pada tahun 1987).

Semasa itu, Nada Murni adalah ikon kumpulan nasyid di Malaysia.Vokalisnya, Ustaz Asri Ibrahim amat sinonim dengan kumpulan ini. Turut menjadi vokalis ialah Munif Ahmad (kini vokalis Hijjaz). Bahkan seingat saya (jika tidak salah), ahli-ahli kumpulan Raihan juga merupakan sebahagian daripada ahli kumpulan ini. Mereka kemudiannya berpecah, sebahagian kekal di dalam Nada Murni dan sebahagiannya membentuk kumpulan The Zikr yang akhirnya selepas al-Arqam diharamkan, membentuk Raihan pada tahun 1996 atau 1997.

Lagu-lagu Nada Murni memang menghidupkan jiwa. Seorang sahabat saya semasa di tingkatan enam, pernah membeli sebuah kaset yang antara lain memuatkan lagu munajat dengan gambar Ust. Asri sebagai ‘cover’nya. Lagu itu amat membekas dalam hati dan sehingga kini, saya masih mampu mengingati lagi antara liriknya: “Munajatku…mohon restu, merindui maghfirah-Mu…” Juga lagu ‘Sunnah berjuang’, ‘Indahnya Hidup Bersama Illahi’ dan pastinya ‘Thola’al Badru Alaina’, benar-benar berbekas sehingga kini.

Semasa di kampus, saya turut memanggil kumpulan Nada Murni yang akhirnya bertukar kepada Rabbani membuat persembahan di Dewan Kuliah Utama (kini Dewan Anuar Mahmud), dalam Konsert Amal di Kamsis C. Bahkan hubungan personal saya bersama Ustaz Asri sendiri agak rapat kala itu.

Mujurlah Inteam Records menyedari bahawa lagu-lagu ini wajar dihidupkan kembali. Bagi saya, nostalgia silam yang pernah dicetuskan oleh Nada Murni, bukan sekadar mencetuskan memori silam yang sukar dilupa; namun ia adalah pembakar obor perjuangan yang makin lama makin kelam – kelam dengan kepelbagaian rentak nasyid yang terlalu keduniaan!

P/S: “Tadi saya ke Pesta Buku Selangor 09 di PKNS dan membeli CD Nostalgia Nada Murni ini dengan rega RM23.00.”

Related Post

Leave a Reply