• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Nostalgia zaman dahulu

Byadmin

Nov 10, 2009

Zaman kecik dulu, aku membesar di bawah naungan pokok getah. Susunya yang putih bertukar menjadi sekerap yang busuk. Tapi…busuk sekerap itulah pun yang mengisi tembolok kami. Busuk sekerap itulah yang membayar yuran sekolah kami. Busuk itu jugalah yang menyara anak-beranak kami.
  
(Inilah rupa getah sekerap kami) Kebun getah memagari saujana panorama kampung kami. Di kaki bukit hingga ke kawasan tinggi, ia subur menghijau. Udaranya nyaman membugarkan jiwa. Hati jadi tenang, walaupun di situlah nyamuk jantan dan betina berkeliaran. Kami tega membiarkan para nyamuk itu menghurungi kami dan meliang-liangkan kulit belulang kami yang hitam. Nyamuk-nyamuk itulah rakan kongsi kami di kebun getah.
  
Pisau motong telah kami asah siap-siap semalamnya. Tajamnya bukan main. Jika terkena tangan pasti luka berdarah. Ia berhulukan kayu dan matanya bengkok. Bunyinya ketika diasah asyik sekali. Batu asahnya pun nipis sahaja. Nyiungggg…nyiunggg…hingga tajam berkilat. Selepas itu, mak atau abah akan ambik kain buruk dan balut mata pisau itu. Takut terkena tangan sape-sape pulak nanti.
  
Berbekalkan lampu suluh di kepala, sesetengah orang turun ke kebun seawal jam 4 atau 5 pagi. Amboiii mak, idak le mak dan abah sio beut gitu. Opah pun tak sanggup. Bahaya pegi kebun pagi bebeno. Yang rajin tu biasanya orang-orang Cina.
  
Pagi-pagi seusai mendirikan solat Subuh, menadah tangan memohon ampun dan rahmat daripada Allah, kami pun bersiap ke kebun getah. Berbekalkan air kopi atau teh dalam botol plastik, berbasikal tua atau motor cabuk, kami meredah denai dan lorong menuju ke kebun getah. Permai dan indah.
  
Kebun getah adalah nadi orang kampung. Ia menjadi tempat kami mencari sesuap rezeki. Selang dua atau tiga hari, kami kumpulkan getah sekerap yang telah beku dan dikeluarkan daripada pot. Kami masukkan dalam karung guni. Dari sepokok ke sepokok sehinggalah kembung guni. Beratnya bukan main. Busuknya jangan cakaplah.
 
Kami bawak turun hasil keringat kami itu ke bawah bukit. Musim hujan jalan menjadi licin. Kadang-kadang kami terseradung akar. Kadang-kadang tayar basikal atau motor kami gelong. Kami jatuh terperosok ke dalam belukar. Nasib baik tak ada ular. Kami bangun dan kami gendong guni getah. Itulah duit kami nanti buat membeli beras, sayur sawi dan ikan temenung.
 
Di kampung kami, ada dua tiga orang peraih getah. Getah ditimbang. Beratnya dicatatkan. Dapatlah sedikit habuan buat kami. Getah kala itu bukanlah mahal. Sekilo adalah dua ringgit. Tapi le ni lagi karut…sekilo RM1…mati orang kampung nak makan dengan hasil getah semata!
 
Dapat duit, kena bahagi dua lagi. Separuh untuk tuan tanah…jika kita memotong getah milik orang. Maka…fikirlah, betapa peritnya hidup sebagai penoreh getah…hidup yang zahirnya indah walau hakikatnya amat susah.

Tapi itulah pun kehidupan kami…

Nota: Catatan ini dari halaman blog pertama saya http://u-hah.blogspot.com/ yang kini sudah tidak diaktifkan lagi. Dicatat pada 20 Dis 2008.

Related Post

Leave a Reply