• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Nukilan Untuk Abang Long 2

Byadmin

Jan 15, 2012

(Foto terbaharu along, kanan, berbaju biru tahun 2011 bersama teman sekolahnya)

Inilah malam pertama anak sulongku, Iqbal Hidayat berpisah dalam erti kata yang sebenarnya. Sebelum ini, memang aku dan anak-anak sering berpisah. Adakalanya atas nama arahan bertugas di luar daerah. Boleh jadi kerana urusan keluarga. Atau kerana aku melancong dalam masa yang agak lama. Pernah juga aku titipkan anak-anak untuk menikmati cuti sekolah yang lama di kampung. Kala itu, kami berpisah, tetapi hanya untuk tempoh sementara cuma.

Namun, hari ini aku telah melakarkan satu sejarah penting dalam takah-takah membina kematangan sebuah keluarga. Ibarat mengusahakan sebuah perusahaan, kini aku dalam tempoh pengembangan yang lebih besar. Pasti sahaja, ada pengorbanan yang perlu aku bayar.

Sejak sekian lama, aku amat mencemburui teman-teman yang punya anak seorang hafiz. Jujurnya, aku sendiri pingin menjadi seorang huffaz. Mampu mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh penghayatan. Namun, apa yang mampu aku lakukan amat terbatas. Ini kerana, aku tidak melalui proses seorang huffaz yang sebenar. Aku hanya menghafal setakat yang larat. Pasti banyak cacat dan celanya. Maka, inilah peluang yang Allah titipkan. Untuk menghasilkan seorang anak yang huffaz, pasti sahaja pengorbanannya adalah besar dan mencabar.

Petang tadi, kala memeluk Along, aku rasakan dada ini sendat, padat dan membuak-buak. Isteriku seperti menahan sesuatu. Aku tahu, dia menahan sendu. Aku juga begitu. Jika mampu, kami enggan mempamerkan kesedihan kepada Along. Kami sebaliknya mahu dia merasa bangga. Dia anak sulong, yang wajar menjadi teladan unggul kepada adik-adiknya.

Namun, wajah Along nampak sedikit mendung. Saat kami melepaskannya, dia memandang ke arah lain. Gayanya dia juga cuba menyembunyikan kesedihan dirinya. Along memang seorang yang tenang dan matang. Teman-temanku yang pernah bersua dengan Along, menyatakan kekaguman mereka dengan ketenangan Along. Aku yakin, Along mewarisi sifat tenang dan bersahaja ini daripada sisi isteriku. Kerana, aku sendiri sedar bahawa aku adalah jenis orang yang tidak boleh atau sukar menyembunyikan perasaan. Tetapi tidak dengan Along, dia mampu mengawalnya.

Aku ada berpesan pada Along, jika mampu, catatlan perjalanan hidupnya sebagai pelajar madrasah tahfiz, hari demi hari, seperti mana sewaktu di rumah, dia rajin dan acap menokok cerita di dalam blog peribadinya. Aku mahu, dia menjadikan budaya mencatat sebagai rutin hariannya. Manalah tahu, kelak catatannya itu amat berguna dan boleh dijadikan sebuah buku pula.

Along memang mempunyai bakat menulis yang aku yakin sangat, adalah dari sisi diriku sendiri. Membaca karangannya, membuatkan aku rasa kagum dan teruja. Dia mampu mengarang dengan baik dan teratur. Aku bahkan pernah mengesyorkan agar dia menghantar karyanya ke mana-mana majalah kanak-kanak. Tapi sayangnya, dia tidak melakukannya. Mungkin kerana, dia sendiri seperti aku sewaktu remaja dan di zaman persekolahan, tidak menganggap ia sesuatu yang penting. Padahal, apabila sudah berusia seperti aku sekarang ini, baharulah terasa sesal kerana tidak menggunakan bakat dan kesempatan semasa muda dan remaja dengan sebaiknya. Atas hakikat itu jugalah, Along telah menyematkan cita-citanya mahu menjadi seorang penulis. Mungkin dia terinspirasi dengan kemunculan tulisanku di pelbagai media dan buku. Aku yakin itu.

Tadi juga, usai solat sunat di surau selepas solat jemaah Isyak, tiba-tiba sahaja bagai terngiang-ngiang suara Along di gegendang telinga. Ah…perasaan sentiasa menduga, sabar dan ketabahan menjadi senjatanya. Aku tahu, ini adalah pelaburan, bukan untuk diriku, isteri dan juga Along; tetapi untuk ummah seluruhnya. Jika ditakdirkan Along berjaya menjadi seorang hafiz, maka jalan yang terbuka amat besar baginya melebarkan sayap perjuangan dan amal baktinya. Seluas hamparan bumi, saujana tiada bertepi.

Maka, aku gagahkan semua ini. Moga Allah menyabarkan diriku, sebagaimana sabarnya kala ibu Muhammad bin Idris as-Syafie menitipkan bocah lelaki, anaknya yang masih mentah keluar dari bumi Palestin bagi mencari ilmu. Moga juga Allah menitipkan kemudahan demi kemudahan buat anakku dalam prosesnya menimba ilmu. Moga Allah selalu memberkati jalan ini. Jalan yang aku pasti, akan membawa kebahagiaan hakiki kepada Along anakku dan juga kami seisi keluarga, di dunia dan di akhirat yang abadi, yang pasti, yang memang pasti!

Dicatat pada 11.10 pm
15 Jan 2012, Taman Kepong Indah, KL

Related Post

Leave a Reply