• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Opah tersayang

Byadmin

Apr 6, 2010

opah-samSabtu lepas, aku pulang sekejap ke kampung. Ada urusan segera. Singgah sekejap berjumpa opah. Opah makin tua. Opah kian dimakan usia. Tapi kasih dan sayang opah tetap sama. Aku peluk opah. Aku hadiahkan ciuman sayang buat opah. Aku peluk opah. Kudapat rasai belulang opah yang kian renta. Tubuh opah tidak lagi gebu seperti dahulu. Opah kian kurus. Namun aku puas kerana kasih opah tidak pernah kurus dan pupus.

Opah itulah yang membugarkan aku sejak dahulu. Aku punya sejarah yang mendalam dengan opah. Tatih hayat ini aku mulakan di rumah opah. Opah membesarkan aku. Opah yang menyemai didikan dalam diri. Opahlah yang mengisi ruang sepi hidup ini.

Setelah emak bernikah semula pada usiaku lapan tahun, aku tidak betah meninggalkan opah. Rumah opah adalah rumahku. Di situ ada bahagia walau opah garang dalam asuhannya. Aku dibesarkan dalam disiplin yang ketat. TV adalah bahan larangan sehinggalah usiaku menginjak 18 tahun. Pernah opah menyergah pada jam 12 malam, saat aku membuka TV dengan suara yang amat perlahan…dan kala itu umurku sudah pun 15 tahun!

Opah mengajarku mengaji al-Quran. Opah garang dan aku tiada pilihan. Sama ada dibelasah tali pinggang milik tok atau aku duduk membuka lembaran. Tapi, akhirnya aku sedar; tanpa usaha tegas opah pasti aku kandas dan buta al-Quran. Mujurlah opah tidak menurut kehendak malasku kala itu. Maklumlah, siaran TV jam 8.00 malam memang agak mengancam.

Opah juga sering berkata: “Jangan kerana hang duduk dengan opah, nanti hang gagal dalam peperiksaan dan orang salahkan opah.” Opah tahu, ramai nenek membesarkan cucu sehingga segala mahu diturut melulu. Akhirnya, cucu yang pandai pun menjadi lalai. Bila gagal dalam persekolahan, orang akan menunding jari. Siapa lagi, jika bukan salahnya si nenek. Maklumlah, ramai nenek tewas dengan rengek si cucu. Tapi, tidak sama sekali dengan opah.

Masih aku ingat sangat, setiap pagi opah mengejutkan aku daripada tidur untuk ke sekolah dengan ayat yang hampir sama: “Ju! Cepat bangun…dah nak pukul tujuh pagi dah ni!” Aku bergegas bangun, tapi sebenarnya baharu nak masuk jam 6.30 pagi. Bila bangun dan bergegas untuk mandi, aku sudah terdengar hentakan lesung batu opah menumbuk cili kering atau terbau sudah tumisan sambal cili opah. Nanti, saat aku membuka tudung saji…pasti sudah terhidang nasi goreng opah. Itulah sarapan wajib aku setiap pagi daripada sekolah rendah hinggalah ke menengah. Dan opah tidak pernah jemu menyiapkannya!

Opah menoreh getah di kebun milik Tuan Hj Hamid di kampung kami. Itulah pekerjaan opah sejak dahulu lagi. Kala itu, opah menoreh bersama anak bongsunya, acik. Aku hanya membantu opah di hujung minggu, memungut getah sekerap dan mengusungnya dengan basikal untuk dibawa turun dan dijual. Kasihan opah, susahnya menoreh getah, susahnya membawa turun getah sekerap ke bawah dan itulah mata pencarian opah.

Pernah sekali aku merosakkan basikal yang selalu opah gunakan untuk mengangkut getah sekerap. Opah bising…pot-pet-pot-pet mulutnya memarahi aku. Akhirnya, aku tinggalkan sahaja basikal BMX di rumah, lantas berjalan kaki ke sekolah yang letaknya kira-kira 3 kilo meter dari rumah. Aku tidak memberitahu opah bahawa aku berjalan kaki. Mujurlah ada orang menumpangkan aku di pertengahan jalan. Saat itu, aku sudah lupa kenapa aku sanggup berjalan kaki…tapi mungkin kerana aku sudah kekeringan wang saku.

Ah…banyak kisah manis dan suka duka bersama opah. Namun, inilah secebis daripadanya…

Related Post

Leave a Reply