• Fri. Jan 22nd, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Isu H1N1: Ulamak Bisu…kenapa?

Byadmin

Aug 10, 2009

Malaysia dilihath1n12 masih terkial-kial menangani problemo ini. Pada tahap awal lagi, saya agak hairan dengan sikap pihak berwajib yang kurang berawas mendepani pandermik berbahaya ini. Bahkan lebih membimbangkan saya, ialah sikap ‘menyembunyikan’ fakta dan angka – demi menutup pintu kepanikan – malangnya memberikan impak negatif jangka masa panjang.

Media di Malaysia nampaknya tidak mampu lagi bersandiwara dengan episod ini. Angka-angka baharu terhadap jangkitan dan juga kematian, kian meningkat. Setakat posting ini dibuat, seramai 26 orang rakyat Malaysia sudah meninggal dunia dan angka jangkitan mencecah 1,578 orang!

Sebenarnya, saya yakin bahawa kes jangkitan tempatan dan luar dapat dielakkan dari awal jika pihak berwajib mengambil pendekatan tegas, iaitu pertama melarang rakyat Malaysia ke luar negara dan kedua melarang rakyat luar negara masuk ke dalam negara Malaysia. Ini adalah langkah paling pro-aktif. Namun, tindakan ini tidak popular, memandangkan ia akan membabitkan sektor ekonomi khususnya dalam industri pelancongan negara. Namun terfikir saya, apalah ertinya ekonomi jika dibandingkan dengan kalimah ‘mati.’

h1n1Keduanya, jika kita masih memerlukan kehadiran orang luar negara atas sebab-sebab yang mustahak, maka PENGUATKUASAAN SARINGAN secara mandatori hendaklah dilaksanakan. Semua pintu masuk ke Malaysia wajib mematuhi piawaian saringan ketat ini. Namun, saya masih ingat saat pulang dari Indonesia pada 9 Jun lalu, saya langsung tidak melalui proses saringan yang sepatutnya. Bahkan para pelancong luar negara, cukup hanya mengisi borang deklarasi kesihatan. Semuanya diambil muda dan inilah akibatnya. Maka, siapakah yang patut memberikan jawapan kepada semua kelalaian ini?

Kini, rakyat terdedah kepada risiko jangkitan tanpa batasan. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak kerajaan? Saya hairan dan bertambah musykil, takkanlah pihak Kementerian Kesihatan (MOH) terlalu naif untuk mengambil langkah-langkah pro-aktif yang mampu mengekang perebakan kes ini. Misalnya:

1. Kenapa tidak dibekalkan topeng kesihatan kepada semua pelajar di Malaysia, termasuklah sekolah dan IPTA, pejabat-pejabat kerajaan dan sebagainya. Ini adalah tanggung jawab kerajaan, ia kena diambil secara penuh tanggung jawab. Wajibkan pemakaiannya dan denda bagi sesiapa yang sengaja mengengkarinya.

2. Semua institusi pendidikan misalnya IPTA yang disahkan mendapat wabak ini, sepatutnya dikuarantin dan tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman. Saya musykil dengan maksud kuarantin yang diguna pakai oleh pihak-pihak berkenaan, ini kerana mereka mengarahkan IPTA atau sekolah ditutup dan para pelajarnya dibenarkan pulang. Bukankah ini punca kepada merebaknya jangkitan dan bukankah kawalan lebih mudah jika mereka diletakkan setempat? Atau pihak kerajaan enggan mengambil tanggung jawab menanggung kos-kos lain yang berbangkit, misalnya kos makan dan sebagainya jika mereka tidak diizinkan pulang? Kerajaan kena jujur di sini.

3. Kawalan kepada keluarga yang ahli mereka dijangkita wabak ini amat lemah. Tiadanya pemantauan menyebabkan, mereka masih bebas bercampur gaul dengan jiran dan orang lain, sedangkan salah seorang ahli keluarga mereka jelas sudah mendapat wabak ini. Soalnya, adakah kerajaan khususnya MOH begitu yakin kepada pematuhan sendiri (self obedience) terhadap arahan kuarantin yang telah dikenakan kepada mereka. Tiada langsung elemen monitoring misalnya diletakkan buku log keluar masuk ahli keluarga, siapa datang siapa singgah siapa keluar, saringan secara berkala dan sebagainya. Bukankah ini memungkin perebakan yang berterusan?

4. Masih tiada penegasan daripada pihak-pihak berkenaan agar rakyat menjauhkan diri daripada punca wabak ini. Apa lagi jika bukan B-A-B-I. Apa yang berlaku, mereka sengaja menukar namanya daripada Selesema BABI kepada satu nama lain yang entah apa-apa. Kenapa? Ia seakan-akan mahu menjaga sensitiviti sesuatu pihak. Kenapa tidak berterus-terang sahaja, bahawa wabak ini tercetus akibat binatang itu? Bukankah ia asalnya campuran virus Babi + manusia + burung?

Seperkara lagi, saya pelik dan hairan dengan sikap alim ulamak di Malaysia. Mana mufti-mufti dan mana penasihat agama dan mana cerdik pandai kita. Bukankah dalam Islam, sudah digariskan pelbagai kaedah mengawal perkara-perkara seumpama ini. Kenapa tiada seorang pun mufti yang memberikan idea dan menegur kelemahan sistem pencegahan oleh kerajaan. Tidakkah mereka menganggap ini sebahagian daripada kewajipan juga?

Dalam Islam, terdapat pelbagai usul fiqh yang boleh dijadikan sandaran. Misalnya, ‘Mengambil mudarat yang lebih ringan dalam dua keadaan’, ‘Mencegah lebih baik daripada merawat’, ”Sesuatu yang wajib itu tidak akan jadi sempurna, melainkan dengan adanya perkara lain yang akan menyempurnakan kewajiban itu’ dan sebagainya lagi. Maka, implementation segala hukum berdasarkan pandangan ulama Islam adalah diperlukan dan kesenyapan mereka amat-amat menjerakan kita.

Kesimpulannya, saya bimbang sikap sambil lewa dan tidak bertegas pihak kerajaan dalam menangani isu ini, akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada rakyat jelata. Terpulanglah kepada anda pembaca untuk menilai isu ini, cuma saya sedih kerana tiada satu tindakan dan usaha bersungguh daripada kita – rakyat jelata – untuk menyatakan sikap kita kepada pihak-pihak yang berwajib di atas kesambil-lewaan mereka ini.

Wallahua’lam.

p/s: Media melaporkan kerajaan Iran sudah mengambil keputusan tegas tidak akan menghantar jemaah hajinya pada tahun ini demi mengelakkan penularan Influenza A H1N1 ke negara mereka dan inilah salah satu sikap pro-aktif yang patut diteladani oleh kerajaan kita.

Related Post

Leave a Reply