• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

PELUNCURAN BUKU PERTAMA SAYA ‘ZAKAT TERAPI KEKAYAAN’

Byadmin

Jul 13, 2011

Emak saya di kampung, sering bertanya dua soalan kepada saya. Pertama, bila buku pertama saya akan dilancarkan. Kedua, bila saya akan muncul dalam rancangan agama di televisyen. Senyum…itulah jawapan saya.

Alhamdulillah, berkat doa emak dan keluarga serta teman-teman, buku pertama saya berjudul ‘ZAKAT TERAPI KEKAYAAN’ bakal berada di pasaran menjelang akhir bulan JULAI 2011 ini. Penerbit KARYA BESTARI (KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF) telah bertungkus-lumus memotivasikan saya agar buku ini siap sebelum Ramadan. Mereka mahu pembaca dapat memanfaatkan buku itu semasa ramadan ini.

Ini kerana, bagi saya ada dua sebab kenapa ia perlu dimiliki menjelang Ramadan. Pertama, demi merebut pahala sedekah (termasuklah berzakat) yang dijanjikan nabi saw dengan gandaan yang amat tinggi (hadis riwayat Salman al-Farisi), bahkan nabi menyatakan, amalan sedekah paling utama adalah dalam bulan Ramadan (hadis riwayat Termizi).

Keduanya, kerana saya memang memuatkan bab zakat fitrah dan persoalan-persoalan yang berkaitan dengannya di dalam naskhah buku ini. Jadi, pastilah ia amat diperlukan dan bermanfaat di bulan ramadan ini.

Ada enam bab semuanya sempat saya titipkan, iaitu bab 1: harta dan persoalan; bab 2: harta dan keberkatan; bab 3: zakat dan anda; bab 4: isu-isu zakat semasa; bab 5: isu-isu kemiskinan dan bab 6: zakat dan persoalan.

Dalam bab 1, antara topik yang saya sentuh di dalamnya ialah, Islam memelihara harta, berharta ada adabnya, melunak sabar dalam berharta, sebaik-baik harta, qana’ah itu ubat dalam berharta, harta itu dilaburkan; bukan dileburkan, antara kebajikan harta, utamakan yang terdekat, kenapa memberi? Kerana itulah falsafah harta dalam Islam dan bijaklah dalam mengurus harta .

Manakala pada bab 2, antara topik yang dikupas ialah, bagaimana menambah nilai kewangan kita?, inilah jalan buat mencari keberkatan, mencari keberkatan: zakat ada jawapannya, cuba fikir, kenapa Allah bantu Abdul Rahman Bin ‘Auf menjadi kaya?

Pada bab 3 pula, saya menyinggung aspek zakat untuk ukur kekayaan?, kenapa perlu berzakat?, Zakat: formula Illahi untuk kita, fahami syarat dalam berzakat dan zakat sebagai bantu loncatan.

Dalam bab 4, saya menyentuh isu-isu zakat semasa seperti menganjak paradigma baru zakat, zakat: potensi dalam memperkasa umat, zakat: penanda aras & agen mobilliti sosio-ekonomi ummat, pandangan Islam terhadap agih sendiri zakat, fungsi zakat dan cukai dalam Islam dan mengkomersialkan zakat.

Bab 5 yakni mengenasi isu kemiskinan, saya menjentik perihal kenapa tuhan jadikan aku miskin?, kaya vs miskin dalam islam, tiru nabi tangani kemiskinan dan fenomena ambang kemiskinan: peranan aktif zakat.

Bab terakhir, yakni zakat dan persoalan pula saya menyajikan perihal fikah zakat sepintas lalu, huraian ringkas tentang perkembangan harta zakat, penerima zakat (mustahiq), had al-kifayah (had minima kecukupan) dan juga persoalan-persoalan umum zakat yang meliputi syarat-syarat wajib zakat, rasional ubah haul, tidak gugur zakat sebab kematian, perbezaan nisab, kadar dan haul zakat harta, kenapa wujud perbezaan dalam amalan zakat di malaysia, tunai zakat dengan kad kredit konvensional, zakat seorang pelajar dan zakat orang berhutang serta banyak lagi.

Bab ke-6 merupakan bab terpanjang, ini kerana saya juga mengetengahkan pelbagai persoalan zakat meliputi zakat emas, perak, pendapatan, simpanan, saham, perniagaan, qada zakat, agihan zakat dan juga zakat fitrah.

Mungkin buku ini tidak secanggih dan sehebat buku Fiqh az-Zakah karya Al-‘Allamah As-Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi atau Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan atau Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaily, tetapi saya memang menjadikan naskhah karya mereka sebagai referensi wajib. Banyak yang saya kaji, cedok dan paparkan kembali sebagai wahana terbaik buat pembaca.

Apa yang utama, persoalan-persoalan ini tidak bersifat awang-awangan. Majoritinya adalah refleksi para audiens saya kala memberikan kuliah, ceramah dan juga lewat e-mail, justeru saya memang mengendalikan Kolum Tetap Bicara Zakat di Utusan. Soalan-soalan itu saya bingkaikan kembali dan susunkan di dalam sebuah buku, maka terhasillah ZAKAT TERAPI KEKAYAAN ini.

Oh ya, tidak lupa ucapan terima kasih kepada sahabat di LZS, Ustaz Farid Zainal, Ustaz Hashim Fikri dan Ustaz Faryzan Subhi yang sudi memberikan masa dan komen terhadap pelbagai persoalan yang saya keutarakan. Diskusi memantapkan lagi jawapan bagi buku ini. Begitu juga Kak Wan Rohana dari Karya Bestari yang banyak memotivasi. Moga Allah swt membalas jasa baik kalian dengan sejuta kuntuman pahala yang dapat sama-sama kita petik dan nikmati wangi baunya di syurga, amin.

Related Post

Leave a Reply