• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

PEMIMPIN YANG BAIK, MENDENGAR PANDANGAN ANAK BUAHNYA

Byadmin

Jun 23, 2011

Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid

Dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabat, saya terdengar salah satu segmen motivasi di IKIM.FM, iaitu segmen bersama Dr. Tengku Ismadi. Antara yang menarik hati saya, salah seorang pendengar telah mengadu berkenaan ketuanya yang enggan mendengar pandangan anak buahnya.

Lalu jawapan Dr. Ismadi pendek sahaja, iaitu: “Malanglah bagi sesebuah institusi atau organisasi yang memiliki ketua berpendirian dan bersifat sedemikian.” Beliau bahkan mengulang-ulang kalimah ‘malang’ itu beberapa kali.

SALING MELENGKAPKAN

Secara nalar, tiada sesiapa pun sempurna di atas muka bumi ini. Masing-masing diciptakan Allah SWT dengan adanya kelebihan dan adanya kekurangan. Seorang doktor perubatan memang mahir bagi merawat orang sakit, namun bila paip di rumahnya bocor, dia akan memerlukan tukang paip. Bila keretanya pula ‘sakit’, maka dia juga memerlukan mekanik untuk ‘merawat’ keretanya.

Bahkan seorang doktor juga memang memerlukan orang lain (sama ada bergantungan dengan orang lain atau saling berkolaborasi) dalam menyelesaikan tugasan asasinya, iaitu jururawat, tukang x-tray, ahli farmasi, atendan bahkan drebar ambulans. Hakikatnya, kekurangan dan kelebihan menjadikan kita saling bergantungan; namun saya lebih suka menggunakan perkataan ‘saling melengkapkan.’

Dalam konteks interaksi di dalam sesebuah institusi ataupun organisasi, seorang ketua dan anak-anak buahnya hendaklah menjadikan diri masing-masing sebagai saling melengkapi. Orang putih kata: ‘complement each other.’ Baharulah sesuatu yang dirancang akan menjadi bertambah baik keputusannya dan jika sebaliknya pula yang terjadi, maka akibatnya itu tetap akan ditanggung secara kolektif agar tidak ‘menghempap’ hanya satu individu sahaja.

KERJA KOLEKTIF

Hal ini bertepatan dengan kehendak Islam, yang menggariskan bahawa setiap individu Islam hendaklah melaksanakan tugasan secara bersama ataupun diistilahkan sebagai amal jamai’e. Kini ia diberi nama lebih sofistikated, iaitu berkerja secara kolektif.

Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran pada banyak tempat mengenai hal ini, di antaranya: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran (kejahatan). Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.” (al-Maidah: 2)

Begitu juga di sini: “Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (as-Saff: 4)

Bahkan Nabi Muhammad SAW turut menegaskan seperti berikut: “Barangsiapa daripada kamu semua (yang) menginginkan tinggal di tengah-tengah syurga, maka hendaklah (kamu) berpegang teguh kepada al-Jama’ah, kerana (sesungguhnya) syaitan bersama orang (yang bersendirian) dan dia daripada dua orang, dengan lebih jauh (yakni syaitan akan lebih jauh daripadanya jika berdua dan jika bertambah tiga orang maka akan bertambah jauh lagi).” (Hadis riwayat Imam Baihaqi, Hakim, Ahmad dan Termizi)

AKU KAN BOSS!

Fenomena ‘aku boss’ memang sering diperkatakan orang. Pernah berlaku (sering atau tidak tiada pula kajian saintifik dan empirikal dilakukan), orang yang diangkat jawatannya atau mendapat promosi naik pangkat atau baharu dipindahkan ke sesuatu jabatan baharu, akan bersifat ‘bossy.’ Apa yang berbeza, kadangkala ‘bossy’ dalam halus dan ada yang ‘bossy’ secara kasar.

Sifat ‘bossy’ ini – sama ada halus atas kasar – lazimnya tidak mengundang keenakan dalam aura berkerja secara berkumpulan. Bahkan budaya ‘bossy’ boleh merencatkan interaksi positif di antara bos dan anak buah, sedangkan itulah yang sepatutnya dipupuk dan dibajai di dalam sesebuah organisasi.

Boss atau ketua yang ‘bossy’ ini selalunya akan cuba bersikap sebagai matang, professional, serba tahu dan serba cekap dan pandai mengambil hati. Demi mengukuhkan kewujudannya, maka boss yang ‘bossy’ ini akan cuba berkerja dengan lebih baik dan lebih banyak daripada anak-anak buahnya. Jadi, tiadalah ruang untuk dipertikaikan oleh anak-anak buah.

Mereka juga selalunya mempunyai kriteria tertentu yang menjadi ‘trade mark’ tersendiri sehingga mudah diingati anak buah. Ada kes di sesebuah organisasi, kakitangan bawahan di situ mengingati bosnya kerana ‘mulut laser’ pemimpinnya; namun tak kurang juga diingati kerana ‘lembut bicara’ dan ‘sikap caring’ yang dipaparkannya (walaupun masih dalam kelompok bossy juga).

Apa-apa pun, boss memang sering cuba menegakkan ideanya sendiri kepada organisasi yang dipimpinnya. Jika tidak, dia bimbang akan dicap sebagai ‘penerus’ sahaja kepada legasi orang lain atau pemimpin sebelumnya. Maka, kita tidak pelik melihat, ada negara yang tidak bertukar kerajaan dan hanya bertukar kepimpinan, namun pemimpin yang baru naik akan tetap cuba mengemukakan idea menerapkan pandangan dan pembaharuan.

Apabila idea ini dibawa, maka pemimpin yang ‘bossy’ akan berusaha menerapkan ideanya – sama secara tegas dan kasar atau halus dan lembut. Apa kaedah sekali pun, anak-anak buahnya tetap terpaksa ‘menelan bulat-bulat’ apa sahaja yang dihadapkan tanpa ruang diskusi. Saya mengistilahkan proses ini sebagai indoktrinasi.

Samalah kaedahnya bila sesebuah kerajaan cuba merubah persepsi negatif rakyatnya, maka mereka akan menjalankan propaganda demi propaganda untuk melunakkan semua persepsi negatif itu. Cuma, dalam konteks sebuah organisasi yang kecil dan sederhana, pastilah corak indoktrinasi dan propaganda ini lebih halus dan lunak dilakukan.

Jujurnya juga, budaya bossy ini memang menjelekkan bagi sesiapa sahaja, kecuali beberapa kerat manusia jenis pengampu yang akan berusaha melunakkan dan menselesakan dirinya dengan pelbagai sikap dan bawaan bossnya. Selalunya, golongan ini dengan mudah ‘menyerap’ indoktrinasi seperti span yang menyerap air dan akhirnya menjadi rapat dengan boss yang demikian, sungguh pun bagi masa hadapan organisasi, ia tidaklah menguntungkan.

SEMAK DAN IMBANG A.K.A ‘CHECK AND BALANCE’

Wal hal, interaksi yang positif di antara pemimpin dan anak-anak buahnya, mampu menghasilkan budaya ‘semak dan imbang’ atau ‘check and balance’ agar setiap keputusan dan tindakan tidak berlaku kesilapan. Jika berlaku juga kesilapan, maka skalanya dapat dikecilkan.

Hal inilah yang telah dijadikan budaya oleh Rasulullah SAW. Misalnya dalam menghadapi peperangan, nabi akan membuka ruang demi mendapatkan pandangan daripada para sahabatnya. Nabi adalah pemimpin dan sahabat-sahabatnya adalah anak buah. Nabi boleh bersikap bossy, kerana nabi pilihan Allah dan didampingi Malaikat Jibril a.s; tetapi nabi masih bersifat terbuka menerima pandangan bahkan kritikan.

Dalam Peperangan Ahzab atau juga dikenali sebagai Perang Khandak, nabi bercadang untuk mempertahankan Madinah dari dalam kota. Namun, seorang sahabat nabi bernama Salman al-Farisi telah membuka idea baharu, dengan mencadangkan agar tentera Islam berkubu di dalam kota dan digali parit di sekeliling Madinah.

Bagi nabi dan para sahabat yang berbangsa Arab, ini idea baharu yang amat canggung. Namun, tidak bagi Salman kerana di Parsi (Iran hari ini), mereka telah lama menerapkan strategi ini di dalam peperangan. Jangan kita lupa, Parsi adalah antara kerajaan tertua dan tergagah dalam lembaran sejarah tamadun dan kekuasaan empayar dunia.

Idea ini akhirnya diterima secara musyawarah (kolektif) dan masyarakat Madinah bergandingan bahu merealisasikannya secara bersama. Ini adalah keputusan bersama mereka dalam mesyuarat; maka pastilah mereka secara bersama juga akan melaksanakannya.

Ternyata akhirnya, tentera ahzab gagal menyerang Madinah. Parit yang besar dan dalam yang digali hasil idea Salman, nyata berkesan sekali. Inilah hikmahnya nabi membuka ruang perbincangan dan lebih hebat lagi, kesediaan nabi menerima pandangan anak buahnya.

INDOKTRINASI DAN KEBERKATAN

Di samping itu, amalan enggan berkompromi dan juga memaksa idea sendiri untuk dipatuhi oleh organisasi adalah bercanggahan dengan konsep musyawarah dalam Islam. Sedangkan Allah SWT menyarankan: “Dan juga bermesyuaratlah (syura) dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian sesudah engkau berazam (setelah melaksanakan syura untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Ali ‘Imran: 159)

Begitu juga dengan gesaan Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang hendak melakukan sesuatu urusan umat Islam, (maka) hendaklah bermesyuarat nescaya Allah memberikan taufiq bagi memperelokkan urusan mereka.” (Riwayat at-Tabrani)

Inilah perlunya perbincangan, diskusi ataupun mesyuarat dalam organisasi. Tidak semestinya mesyuarat rasmi; jika diskusi santai pun dikira memadai. Apa yang penting, ialah kerjasama dalam mencanai idea demi mencari kaedah terbaik menangani sesuatu perkara. Apabila ia berlaku, maka kita sudah berusaha mendaulatkan saranan Allah dan rasul, yang natijahnya pastilah keberkatan.

Keberkatan inilah elemen yang perlu dipupuk dalam organisasi. Apabila masing-masing memberikan idea dan input, maka akan terhasillah gagasan terbaik. Andai nabi yang dipandu wahyu pun masih mahu menerima pandangan sahabat, apatah lagi kita yang sering dipandu nafsu dan sering pula membuat ralat.

Sebaliknya pula, seandainya unsur musyawarah atau diskusi ini dikesampingkan, maka apa yang dirancang lebih bersifat indoktrinasi secara peribadi. Daripada aspek lain, hilanglah serinya kerana ia hanya bersifat ‘one way communication’ ataupun sesetengah pihak mengistilahkannya sebagai ‘wahyu atasan.’

Pihak yang dibawah tiada pilihan melainkan mesti mematuhi arahan. Mereka melakukannya dalam paksa. Hilang sifat ikhlas, hilang sifat sayang dan hilang sifat ihsan. Akhirnya, dibimbangi hilang jugalah nilai keberkatan.

Apatah lagi andai dalam perlaksanaannya itu, berlaku pula beberapa kesulitan, maka segalanya akan dilonggok kepada seorang sahaja. Bahkan akan diungkit segala macam ketidak puasan hati. Akhirnya, aura negatif menguasai dan kala ini, bagaimana mungkin kita mengharapkan sebuah keberkatan untuk muncul di sisi?

KESIMPULAN

Wahyu Allah SWT sahajalah yang ‘absolute’ dan wajib dipatuhi tanpa soal. Jika ia mahu disebutkan sebagai indoktrinasi, maka hanya Islam sahajalah yang boleh diindoktrinkan kepada manusia, apatah lagi kepada kita sebagai penganutnya. Selain daripada itu, semuanya masih terbuka dalam ruang bicara dan diskusi. Andai kita sendiri menutup ruang itu, maka tunggulah saat kehancurannya.
Ingatlah limitasi diri dalam memikul beban amanah di dunia. Organisasi yang besar mustahil dapat ditanggapi secara bersendiri. Kita memang memerlukan idea semua orang, yakni dalam kerangka idea yang postif dan juga bersifat pro-aktif. Andai ini dimungkiri, maka kita akan melakukan banyak kesilapan, kerana kita ini bukanlah pakar dalam segala bidang.

Peringatan nabi kepada kita: ““Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggu saat kehancurannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Maka, jadikanlah kepimpinan itu sesuatu yang kolektif dan bertindaklah juga secara kolektif. Tidak rugi kita, justeru Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: “Ia (kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali (bagi) mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya (dengan penuh hak – penulis).” (Hadis riwayat Muslim). Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply