• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Penawar Cinta Dunia

Byadmin

Jun 22, 2010

Sebagai manusia, Allah SWT mengizinkan kita mencintai dunia. Mana mungkin kita membenci dunia, kerana ia adalah sebahagian daripada diri kita. Kita adalah makhluk yang mendiami dunia ini. Allah SWT menyebut di dalam al-Quran, yang mafhum-Nya:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga),” (Ali ‘Imran: 14)

Kecintaan kepada dunia dibolehkan, selagi mana ia tidak mengkesampingkan kecintaan kepada Allah SWT. Dalam bahasa yang sering diungkap, cinta dunia cinta yang fana; cinta Allah cinta yang baqa. Maka, seiring dengan kecintaan ini juga, kita selalu diperingatkan oleh Allah SWT: “Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah,” (al-Baqarah: 165)

Untuk melentur kecintaan terhadap dunia ini, maka Islam menggalakkan kita agar bersifat zuhud terhadapnya. Zuhud adalah salah satu daripada didikan sifat-sifat mahmuda (terpuji). Menjiwainya mampu melunakkan hati. Baiklah, mari kita cermati ungkapan Ibnu Jauzi mengenai kemelut cinta dunia dan zuhud:

“Perumpamaan orang yg mencintai dunia seperti orang yang menanam benih tapi tak kunjung ada hasil. Orang yg hatinya mencintai dunia, jasadnya kamu lihat melakukan ibadah sepanjang usianya untuk mendekatkan diri kepada Allah; tetapi hatinya menjauhkan dirinya dari Allah. Sesungguhnya kamulah pemimpin yang mengatur dunia ini dengan zuhudmu yang mampu menundukkannya. Dan kamu akan jadi budaknya jika kamu merindukan dunia. Sungguh, orang yang merindu kepada sesuatu yang dikehendaki hawa nafsu, berarti ia menjadi hamba baginya.”

Tanpa prejudis, sering kali kalimah zuhud disalah ertikan sebagai jalan yang diambil oleh orang-orang agama yang meminggirkan dunia dalam hidupnya. Akibatnya, ada orang yang hidup ala kadar, berkereta seadanya sahaja dan sebagainya lagi dianggap zuhud. Mereka ini kononnya bila makan, nasinya berlaukkan garam, bila tidur beralaskan lengan, maka zuhudlah itu.

Hakikatnya, zuhud bukanlah seperti yang digambarkan. Zuhud bukan seperti itu. Zuhud di sisi Islam bermakna, kita memiliki dunia dan segala isinya; tetapi semua itu diletakkan di tangan; bukannya di hati. Si kaya boleh kekal kaya; tetapi hatinya tidak leka. Sebaliknya, kekayaan itu menjadi medan berbuat amal yang membuahkan pahala.

Dalam sejarah, ada seorang khalifah yang pernah memerintah sebuah kerajaan yang besar. Namun, kehidupannya amat sederhana. Baginda menolak kemewahan melampau, meminimakan keraian diraja dan sebagainya lagi. Baginda sebaliknya mempromosikan kehidupan yang sederhana, dengan melazimkan diri dan keluarganya hidup sebagai ‘orang biasa.’ Namanya terkenal sekali, tidak lain tidak bukan, bagindalah Khalifah Umar bin Abdul Aziz r.a, yang memerintah pada tahun 99 – 101 hijrah daripada Dinasti Umayyah.

Sesungguhnya, Khalifah Umar Abdul Aziz adalah contoh manusia zuhud. Dunia dan isinya terbentang di depan mata; baginda boleh menikmatinya dan tenggelam dalam busa kemewahan – jika baginda mahu. Tetapi, baginda meletakkan semua itu hanya di hujung jari-jemarinya; tidak menyelaputi mata hatinya. Maka, baginda kekal sebagai manusia berjiwa merdeka yang tidak ditakluk dunia. Jika dikaitkan dengan madah Ibnu Jauzi, maka Umar Abdul Aziz adalah manusia merdeka dan bukannya hamba dunia!

Dalam kerangka yang lebih luas, baginda Rasulullah SAW adalah model manusia yang paling jelas kezuhudannya. Baginda zuhud, sedangkan baginda kaya. Baginda boleh memiliki 1/5 harta rampasan perang, jika baginda mahu. Baginda boleh memiliki gunung emas, sebagaimana yang ditawarkan Jibril; namun baginda enggan. Baginda boleh menguasai segala kekayaan Jazirah Arab jika itu yang nabi inginkan, tetapi nabi memilih kesederhanaan.

Inilah penawar kecintaan dunia, zuhud namanya. Zuhud menjadikan kita manusia yang tidak mudah kecewa bila harta luput daripada pandangan dan tidak pula lupa diri bila ia dating sebagai ujian. Firman Allah SWT, mafhum-Nya: “Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira dengan apa yang diberikan kepada kamu.” (al-Hadid: 23). Wallahua’lam.

Nota: Artikel ini disediakan untuk ruangan Mengurus Harta, majalah MIDI

Related Post

Leave a Reply