• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Pengalaman Ramadan

Byadmin

Aug 7, 2011

Kita pasti punya pengalaman tersendiri mengenai Ramadan ini. Pastinya, kenangan zaman anak-anak adalah yang terindah. Ramadan dinanti-nanti, kerana padanya nanti akan diadakan solat tarawih dan sesudah itu adanya moreh. Zaman kanak-kanak, solat tarawih di masjid atau surau menjadi medan untuk berkumpul. Solatnya kurang lebih sahaja, tapi main yang utama. Kemudian, apa lagi jika bukan menikmati jamuan moreh.

Sewaktu saya dalam usia 10 ke 12 tahun, menjelang Ramadan maka kami kanak-kanak sepermainan akan duduk bermesyuarat. Antara topic yang dibincangkan ialah, apakah jenis permainan yang akan kami mainkan nanti pada malam-malam bulan Ramadan. Bukan bermesyuarat untuk menentukan masjid dan surau mana untuk dihadiri atau menentukan berapa banyak rakaat tarawih yang mahu dikerjakan; tetapi di mana kami akan bermain sakan.

Maka, tiba sahaja Ramadan, habis berbuka puasa, kami kanak-kanak lelaki akan berkumpul. Saya masih ingat, kami suka benar berkumpul di perkarangan rumah Paklang Sudin. Ini kerana, kawasan rumahnya mempunyai halaman yang luas, ada pula bendang tinggal di sebelah rumahnya dan arwah Paklang Sudin juga setiap malam memasang lampu ‘spot light’ yang melimpahkan cahaya yang amat diperlukan bagi kami meneruskan permainan.

Antara permainan yang sangat kami minati ialah ‘police sentry’. Kami akan membentuk dua kumpulan. Untuk menentukan siapa jadi polis dan siapa jadi pencuri, kami akan bertanding ‘ooo som’. Ada satu lagu yang sering kami nyanyikan, iaitu ‘polis sentry one two jaga, polis mati pencuri jaga.’ Kami lebih suka menjadi pencuri, kerana polis akan mengejar kami. Amboi…bukan senang kerja mengejar dan menangkap pencuri, kerana mereka akan berusaha segigih mungkin demi mengelakkan ditangkap.

Masih tergambar dalam minda saya, dalam kegelapan dan remang lampu itulah, kami lari bersusup-sasap menyelamatkan diri daripada polis. Sesiapa yang ditangkap, maka mereka akan dikumpulkan di satu tempat. Yang selamat, kena terus melarikan dirinya sehinggalah dia hanya tinggal seorang diri.

Kemudian, dengan segala keupayaannya, dia hendaklah berusaha menyelamatkan kawan-kawan yang telah ditangkap. Caranya, dia mesti menyentuh anggota tubuh kawan-kawan yang sudah ditangkap, baharulah kemudiannya mereka boleh bebas. Dalam proses ini, kebarangkalian orang yang mahu menyelamatkan itu pula ditangkap polis. Jika semua sudah ditangkap, maka giliran polis pulalah menjadi pencuri untuk dikejar lagi.

Kini, semua ini sudah menjadi memori. Paklang Sudin sudah lama berpulang ke rahmatullah. Isterinya pun sudah gemulah. Rumahnya di kampung, pernah sekian lama sepi tanpa penghuni. Baru-baru ini sahaja ada orang menyewanya. Ini kerana, anak-anaknya berada jauh di bandar besar. Dahulu, setiap kali pulang ke kampung dan melihat ke halaman rumah itu yang agak luas, masih teringat zaman kanak-kanak kira-kira 30 tahun silam, kerana di situlah kami bergelumang dan bermain selagi mahu.

Tidak terfikir saya, betapa permainan itu sangat bahaya. Kami bermain dengan kasar. Lari ke sana dan ke sini menyelamatkan diri. Tidak terfikir jika ada paku karat atau dawai kawat berduri, tidak terfikir binatang berbisa, lipan bara atau ular dan kala, semuanya kami redah sahaja. Andai kata dipatuk ular, raya ke mana, hospitallah jawabnya.

Inilah secebis memori silam. Anak-anak moden kini tiada pengalaman mengenainya, kerana mereka hanya tahu bermain polis sentry dalam computer sahaja…

Salam Ramadan, jangan lupa, jadikan Ramadan ini yang terbaik buat kita sekeluarga…insya-Allah!

Related Post

Leave a Reply