• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Pening berpolitik!

Byadmin

Aug 5, 2009

Malaysia ini negara yang relatifnya kecil, andai Sabah dan Sarawak tak jadi menyertai Malaysia 1963 dahulu, lagilah kecil. Tapi, dalam dok kecil-kecil itu, bahang politiknya amat terasa. Pening kita dibuatnya. Buka akhbar, cerita politik, buka radio cerita politik, buka TV cerita politik. Sembang di kedai kopi cerita politik, di surau cerita politik hatta dalam lif pun kisah politik.

sistem-politik-islam1Begitulah politik punya penangan. Parti A berseteru dengan Parti B. Masing-masing cuba menjatuhkan lawan. Segala kesalahan dicari, dibongkar, disebar. Jika boleh, biar semua orang tahu dan semua orang membencinya. Kemudian, dalam pilihan raya jangan pilih dia dan partinya. Biar terlungkup, biar terjelepuk. Biar kalah dan hilang wang pertaruhan. Biar ghuyub dari pandangan!

Hina sangatkah politik ini? Adakah Islam membenci politik? Jika Islam membenci politik, maka semua ahli politik atau politikus, adalah dibenci Islam. Atau, politik gaya mana yang dibenci Islam. Politik mana yang dimurkai Allah sehingga para pelakunya dianggap salah dan berdosa? Adakah semua kita perlu menghindarkan diri dari politik?

Namun, dalam Islam Muhammad bin Abdullah terkenal sebagai seorang ahli politik. Politik baginda licik sekali, mendahului masa dan sukar dijangka. Cuba lihat dan tekuni, apa jadi apabila Muhammad menandatangani Perjanjian Hudaibiyah. Umar marah-marah namun natijahnya apa? Inilah contoh politik bijaksana Muhammad. Begitu juga cara Muhammad menyatukan penduduk Madinah yang multi-racial dan multi-religious…sangat cerdik sehingga mampu mewujudkan keamanan di kalangan puak-puak yang sekian lama bersengketa.

Dalam Islam, politik adalah siasah. Islam mengiktiraf siasah dan ada bidang khusus mengenainya, iaitu Fiqh as-Siasah. Bahkan untuk mentadbir negara, ulama memperkenalkan suatu istilah dan bidang khusus iaitu Siasah Syari’yyah. Ia membicarakan perihal pemerintahan, bagaimana Islam memerintah dan manusia menggunakan Islam untuk memerintah dunia. Antara rujukan utama dalam membicarakan aspek siasah ini ialah Al-Ahkam al-Sultaniyah karangan al-Mawardi (meninggal 405 Hijrah).

Maka, apa itu siasah? Dalam Bahasa Arab Siasah bererti melakukan kebaikan untuk sesuatu. Al-Maqrizi kemudiannya mengembangkan maknanya, sehingga apa sahaja peraturan yang bertujuan untuk menjaga tata susila, kepentingan dan sistem hidup adalah siasah. Al-Maqrizi kemudian membahagikan siasah kepada dua. Pertamanya ialah siasah yang adil, yang merupakan sebahagian dari hukum syarak dan keduanya ialah siasah yang zalim, yang diharamkan oleh syarak. (Rujuk kertas Mahmud Zuhdi di sini)

Jelas, ada siasah baik dan ada siasah jahat. Maka, di Malaysia hari ini, kita sedang berhadapan dengan siasah jenis apa? Baik atau jahat? Then…anda jawaplah sendiri. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply