• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Phnom Penh Siri Pertama

Byadmin

Jul 9, 2010

Alhamdulillah, kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh dalam pukul 4.00 petang waktu Kemboja. Hakikatnya, waktu di Kemboja adalah lewat satu jam dari waktu Malaysia. Cuaca baik dan dari udara sebelum mendarat, saya seronok melihat bentuk muka bumi Kemboja yang seakan-akan lantai kayu parkir rumah…berkotak-kotak warna tanah. Bila makin dekat ke muka bumi, ia sebenarnya adalah kawasan pertanian yang berpetak-petak.

Urusan imigresen di lapangan terbang agak mudah, walaupun saya harus membuka beg besar yang berisi penuh dengan pakaian. Apabila keluar dari lapangan terbang, tidak begitu terasa saya sudah berada di negara orang. Apa yang sedikit membezakan ialah, corak bumbung bangunan di sini di samping tulisan Kemboja yang mengisi ruang papan tanda dan iklan. Iklim Kemboja memang seperti Malaysia.

Kemboja sebenarnya terletak di Semenanjung Indochina dan termasuk dalam negara Asean. Dahulu, Peranchis pernah menjajah Kemboja. Namun, sejarah paling sadis di negeri ini ialah, sewaktu era pemerintahan Pol Pot di bawah kerajaan Khmer Rouge, iaitu dari tahun 1975 hingga 1979. Menurut bicara jurupandu pelancong kami, Mr Virak, lebih tiga juta orang dibunuh oleh Pol Pot. Kata beliau lagi, banyak terdapat ‘killing field’ di Kemboja, iaitu tempat pembunuhan beramai-ramai era Pol Pot. Kemboja juga pernah diserang oleh Vietnam lama dahulu.

Perjalanan dari lapangan terbang ke Hotel Puncak mengambil masa kira-kira 45 minit begitu. Sepanjang perjalanan, saya melihat banyak bangunan baharu sedang dibina di sini. Ada beberapa perkara yang agak menarik untuk dikongsi. Antaranya, penunggang motosikal di sini tidak begitu mengutamakan keselamatan. Jika penunggang hadapan sudah bertopi keledar, maka pembonceng tidak perlu bertopi keledar. Bahkan, ada motor yang dinaiki oleh empat orang sekaligus.

Menurut Mr. Virak, para pengguna jalan raya di sini juga agak kurang menjaga keselamatan di jalan raya. Jika mereka memandu, maka mereka akan menukar haluan tanpa terlebih dahulu memberi isyarat. Maka, pengguna yang lain mesti berhati-hati. Saya sempat memerhatikan sendiri betapa penunggang motorsikal akan mencelah-celah di hadapan bas. Jika pemandu bas kami kurang awas, saya yakin pasti ada yang dilanggarnya.

Sepanjang perjalanan juga, pihak kerajaan Kemboja telah membina banyak kawasan rekreasi. Ada taman permainan, taman bunga dan pesiar kaki. Ramai penduduk kota menjadikan kawasan ini sebagai tempat beristirehat dan beriadah bersama famili. Mereka bermain bola, badminton dan sebagainya. Seronok saya melihatnya, kerana ibu bapa dan anak-anak akan menikmati bersama.

Kami juga dibawa memusing di bahagian bandar yang melalui sepanjang Sungai Mekong. Saya jadi teringat saat bersiaran ke pesisir Sungai Sarawak, iaitu di River Side Sarawak, kerana keadaannya hampir sama. Cuma di sini, sungainya lebih besar. Saya juga dapat menyaksikan sendiri sekumpulan rakyat Kemboja yang menari dengan rentak lagu Pocho-pocho.

Sepanjang jalan juga didapati banyak dibina pagoda dan kuil. Memang Kemboja didiami lebih 90% penganut agama Budha. Islam dan Kristian hanya dalam lingkungan 6% sahaja. Masjid jangan sebutlah, tak nampak langsung. Bahkan majoriti penduduk di kawasan bandar adalah Budha, orang Islam hanya ada di kawasan kampung sahaja.

Akhirnya kami tiba di Hotel Puncak kira-kira jam 5 petang waktu Kemboja. Hotel ini rupanya milik Tan Sri Rozali, pemilik Puncak Niaga yang menguasai perniagaan air bersih di Lembah Kelang. Padanlah namanya Hotel Puncak…sempena Puncak Niaga agaknya. Apa yang saya gambarkan, hotel ini berada di kawasan perbukitan…rupa-rupanya di tengah bandar dan di hadapan hotel kami ialah sebuah tokong Budha yang begitu besar tersergam gagah.

Malam ini selepas makan malam, kami menaiki tut-tut (sejenis kenderaan yang mampu mengisi empat penumpang dan ditarik oleh sebuah motor). Namanya seperti tut-tut di Thailand, tapi tidak sama. Kami mengunjungi Night Market. Di sini ada lagi kelainannya dengan pasar malam di Malaysia. Anda bayangkan, tikar dibentang di tengah-tengah lapangan dan mereka yang membeli makanan akan makan segera di situ, persis seperti sebuah kenduri gayanya. Kami mencari baju, tapi harganya tidaklah begitu murah. Akhirnya saya membeli dua helai ‘Table Clothe’ dan sehelai kemeja putih dengan harga USD10. 

Saya dapat rasakan, bila para peniaga itu mendapat tahu saya pelancong asing, maka mereka akan meletakkan permulaan harga yang  agak tinggi. Sehelai kemeja misalnya diletakkan harga USD5 atau sehelai kain USD10. Maknanya, kita kena bijak bermain harga. Masalahnya, mereka tidak tahu berbahasa Melayu, Bahasa Inggeris pula lintang-pukang. Saya jadi tambah pening bila berkomunikasi dengan mereka.

Pulang dari Night Market, saya dan kawan-kawan mengambil kesempatan bersiar-siar di tepi Sungai Mekong. Suasana malamnya agak menarik, cuma sayangnya saya tidak membawa kamera.

Kesimpulan awal yang dapat saya buat, persepsi bahawa Kemboja khususnya Phnom Penh ini ketinggalan 20 atau 30 tahun dari Malaysia, agak tidak tepat. Ini kerana, kemajuan sudah pun melanda negara ini. Terutamanya daripada aspek berpakaian, khususnya gadis-gadisnya…macam gadis Cina di Malaysia…dan ia membuatkan saya terpaksa menahan pandangan dan beristighfar kepada-Nya!

Related Post

Leave a Reply