• Wed. Jan 20th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

PRINSIP AGIHAN ZAKAT

Byadmin

Jul 11, 2011

Soalan: Sebagai institusi zakat yang tugas asasinya adalah menguruskan kutipan dan agihan, apakah prinsip-prinsip agihan zakat yang diamalkan, khusus di Lembaga Zakat Selangor (LZS)?

Jawapan: Amalan pengagihan zakat di Selangor adalah selaras dengan tuntutan syarak dan Fatwa Agihan Zakat Selangor yang telah diwartakan pada 29 Ogos 1994. Namun begitu, seiring perkembangan zaman, maka Fatwa Agihan Zakat Selangor 2009 (Kemaskini) telah diluluskan yang turut memasukkan beberapa elemen lain demi memperkasakannya. Antaranya, dimasukkan prinsip-prinsip agihan zakat yang perlu diimplementasikan dalam agihan zakat di Negeri Selangor, iaitu:

1. Menyeluruh

Harta zakat wajib diagihkan kepada semua asnaf yang wujud iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, gharim, riqab, fisabilillah dan ibn sabil dengan mengikut keperluan asnaf tersebut. Walau bagaimanapun keutamaan hendaklah diberikan kepada empat asnaf terawal. Pemindahan peruntukan daripada satu asnaf ke asnaf yang lain dibenarkan dan ia berdasarkan kepada keperluan dan lebihan yang ada.

2. Ketetapan

Harta zakat hanya boleh diagihkan kepada asnaf-asnaf tertentu sahaja dan tiada ijtihad lagi dalam masalah menentukan asnaf yang menerima zakat kecuali pada perkara-perkara yang berkaitan dengan definisi, kriteria asnaf dan bentuk agihan kepada asnaf.

3. Hak

Harta zakat yang terkumpul adalah hak asnaf yang mesti disalurkan kepada mereka sama ada dalam bentuk zat atau manfaat dan kehilangan harta zakat yang disebabkan oleh kecuaian mesti diganti semula dan agihan hendaklah mengikut keperluan semasa asnaf. Walau bagaimanapun bantuan zakat khususnya kewangan bulanan bukanlah bersifat selamanya kerana ia lebih kepada bantuan sementara bagi membolehkan seseorang ketua keluarga berusaha mencari pendapatan sendiri.

4. Pengawasan

Semua agihan dan penyerahan harta zakat hendaklah dilakukan dengan pengawasan dan kawalan yang paling rapi. Oleh itu, sebarang pengagihan zakat yang meragukan serta memerlukan kepada qias dan ijtihad baru mestilah mendapat persetujuan daripada Mufti Kerajaan Negeri Selangor. Setiap permohonan hendaklah disiasat dan disahkan oleh sekurang-kurangnya dua orang. Peringatan amanah terhadap penggunaan wang zakat hendaklah diberikan kepada penerima. Pihak amil berhak untuk mengawasi dan bertindak terhadap asnaf yang gagal menggunakan bantuan zakat sebaiknya mengikut pandangan syara’.

5. Mencukupi Had Pemberian

Agihan zakat kepada asnaf dan individu fakir miskin hendaklah menepati kepada keperluan asasi sebenar dan berdasarkan kepada hak yang ditetapkan oleh syara’. Pemohon diberi hak menerima zakat apabila pendapatannya adalah tidak memenuhi had kifayah yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. Oleh itu penentuan status fakir atau miskin adalah berdasarkan had kifayah yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

6. Serta Merta

Amil yang terlibat dalam memproses permohonan hendaklah menjalankan tugas dengan segera dan agihan juga hendaklah dilaksanakan dengan segera setelah dipastikan asnaf yang menerimanya adalah layak menurut hukum syara’.

7. Amanah

Semua hasil kutipan zakat adalah merupakan amanah di tangan pengurusan (amil) yang wajib diagihkan kepada asnaf yang berhak menerimanya.

8. Telus

Pengurusan agihan zakat hendaklah dilaksanakan dengan telus serta dibentangkan dan di audit. Penerima bantuan zakat juga hendaklah jujur memaklumkan dan tidak menyembunyikan maklumat bantuan yang diterima.

Demikianlah sepintas lalu prinsip-prinsip agihan zakat yang diamalkan oleh pihak institusi zakat, dalam memastikan urusan agihan zakat benar-benar menepati kehendak syariah dan juga memenuhi keperluan ummah. Semoga dengan ini, para pembayar zakat akan lebih merasa puas hati terhadap tatacara pengagihan zakat hendaknya. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply