• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Projek Zakat: Malaysia Sebagai Model (Siri 1)

Byadmin

Mar 21, 2011

Senario Dunia Islam

Di dunia kini, tiada sebuah negara Islam pun yang boleh diangkat sebagai model dalam menerajui pengurusan zakat. Hal ini amat menyedihkan, justeru zakat adalah sebuah institusi yang amat rapat perkaitannya dengan pemerintahan dan ummah. Jika ditinjau kepada aspek rukun Islam, zakat menduduki hierarki tertinggi sesudah solat dan dua kalimah syahadah. Dengan posisi sedemikian, zakat sepatutnya menjadi satu agenda besar yang wajar didaulatkan oleh setiap umat dan negara Islam.

Jika kita menelusuri sejarah Islam, zakat yang difardukan pada tahun kedua hijrah telah menerima pelbagai inovasi pasca kewafatan Rasulullah SAW. Pada era pemerintahan Umar al-Khattab r.a (634-644 M) misalnya, Umar telah melakukan beberapa penambahbaikan kepada hukum zakat. Di antara jasa terbesar Umar ialah, mengasaskan konsep pengembangan harta (an-nama’) kepada harta zakat; yang menyaksikan setiap harta yang berpotensi untuk berkembang wajib dizakatkan.

Pada waktu itu, Umar telah mengenakan zakat ke atas semua haiwan ternakan, termasuklah anak-anak kambing yang baharu lahir. Umar mengatakan bahawa anak haiwan itu adalah ‘pengembangan’ kepada haiwan sedia ada dan hendaklah dikirakan bersekali dengan induknya dalam menentukan nisab zakat. Hari ini, konsep an-nama’ inilah yang digunapakai dalam sistem zakat pendapatan, zakat saham dan zakat berasaskan kewangan yang menjadi penyumbang terbesar dalam kutipan zakat.

Zakat terus menerima inovasi di bawah kepimpinan lain semasa zaman Khulafa ur-Rasyidin, seperti Usman bin ‘Affan r.a (644-656 M) yang memberikan kelonggaran zakat ditunai dengan tukaran wang; zaman Bani Umaiyyah dengan kebijaksanaan Umar bin Abdul Aziz r.a (717-720 M) yang terkenal sebagai zaman keemasan zakat dan juga zaman pemerintahan Bani ‘Abbasiyyah (750-1258 M) yang terkenal dengan pemerintah Harun al-rasyid (786-809 M) dan al-Ma’mun (786-833 M) yang memperkasakan Baitul Mal dengan pelbagai projek seperti pembinaan hospital dan Baitul Hikmah sebagai pusat kecemerlangan ummah.

Kini, setelah ribuan tahun berlalu, umat Islam ketandusan model dalam dunia pengurusan zakat. Era Khilafah Islam di Turki (Uthmaniyyah atau Ottoman) yang bermula pada 1281 dan jatuh pada 1924, menyaksikan negara itu lebih menonjol dalam sistem wakaf. Banyak pengkaji sejarah mencatatkan, Kerajaan Turki Uthmaniyyah telah berjaya mengasaskan sistem wakaf sehingga ia berjaya membantu pihak kerajaan memberikan pelbagai prasarana terbaik kepada rakyat atas nama wakaf.

Misalnya, menurut Dr. Murat Cizakca, kejayaan Kerajaan Turki Uthmaniyyah dalam memperkenalkan amalan wakaf tunai telah berjaya meringankan beban pihak pemerintah dalam menyediakan pelbagai prasarana kepada rakyat, seperti pendidikan, kesihatan dan perbandaran. Halil Inalcik pula menyatakan, Turki zaman Uthmaniyyah adalah ‘Negara Berkebajikan’. Ini kerana, pada zaman itulah, kerajaan Turki Uthmaniyyah telah mengaplikasikan sistem wakaf secara meluas dalam kehidupan seharian rakyatnya sehingga menjadi sebahagian daripada mekanisme pengagihan dan perkongsian kekayaan di Turki semasa itu.

Bersambung…insya-Allah

Related Post

Leave a Reply